RSS
 

Sepetang di Pasar Sinsuran

20 Jun

 

Tarikh : 9 Mei 2013
Lokasi : Pasar Sinsuran

 

Perjalanan yang telah dilalui lebih sebulan ditampilkan dalam sebuah catatan. Rakaman foto ikan segar menjadi pilihan setelah melalui proses saringan. Tanpa perlu berceloteh panjang, saya sajikan sejumlah foto paparan beserta keterangan. Sepetang di Pasar Sinsuran buat perkongsian dengan tetamu sekalian.

 

 

IMG_2697

Melangkah santai di celahan Pasar Sinsuran

 

IMG_2694

Cili, limau, halia~ mahu pilih yang mana?

 

IMG_2709

Deretan bot nelayan di tebing Pasar Sinsuran

 

IMG_2719

Segar

 

IMG_2724

Udang kara panjang sehasta

 

IMG_2721

Bagai terkulai

 

IMG_2726

Kerapu merah pilihan juadah

 

IMG_2731

Dari dalam peti~ Bersedia untuk dijadikan sajian mengikut citarasa pembeli

 

IMG_2729

Warna ikan bayan biru kehijauan mengundang perhatian

 

IMG_2737

Senyuman terakhir si ikan sebelum isi bercerai dari badan.
Akhirnya yang tinggal hanyalah tulang, barisan gigi beserta rahang

 

~ Sekian catatan santai buat perkongsian ~

 

Secebis Kisah Arwah Tok Abdullah

26 May

Bismillahirrahmanirrahim…

Sekitar penghujung Disember 2012, salah seorang ayahanda saudara (daripada sebelah ayahanda) telah berkongsi kisah lama. Rakaman kisah tersebut telah saya simpan dalam kotak ingatan berdasarkan perbualan secara lisan di antara saya dengan ayahanda saudara sewaktu dalam perjalanan ke Kalimantan Barat.  Perjalanan tersebut adalah siri perjalanan ke-2 ayahanda saudara bersama keluarga saya di luar dari cakupan Malaysia. Beliau dan keluarga pernah mengikuti kajian lapangan saya ke Acheh sekitar tahun 2010. Perjalanan tersebut disifatkan sebagai serampang dua mata kerana selain tuntutan menjalankan kajian di lapangan, saya turut membawa ayahanda saudara sekeluarga melawat beberapa lokasi cagar budaya. Malah, saya turut berpeluang membawa beliau dan keluarga berziarah sehingga ke Kompleks Makam Sultan Malikussaleh di Pasai, sebelum kami berpisah meneruskan haluan masing-masing~ Ayahanda sekeluarga meneruskan perjalanan ke Medan manakala saya berpatah semula ke Banda Aceh meneruskan kajian lapangan.  

Bapa saudara yang saya panggil Caca ini adalah anak ke-7 daripada 9 bersaudara (ayahanda saya anak ke-5). Jarang saya dapat bertemu Caca kerana beliau bermastautin di Kota Bharu. Caca satu-satunya adik-beradik ayahanda yang tinggal berjauhan kerana berada di bahagian Pantai Timur Semenanjung. Sejak dari zaman bujang beliau berhijrah ke sana sehinggalah mendirikan rumah tangga dan beranak pinak di sana. Saya difahamkan bahawa, Caca adalah anak yang paling lama menemani arwah Tok Abdullah semasa hayatnya. Justeru, banyak kisah yang pernah dilalui oleh Caca bersama arwah ayahandanya (Tok Abdullah) dan jalinan peristiwa tersebut masih terakam kemas dalam ingatan.

Sepanjang perjalanan, begitu teruja saya mendengar kisah yang dituturkan oleh Caca. Mendengar setiap patah kata yang diutarakan oleh Caca membuatkan saya merasa seolah-olah turut terbawa melalui saat-saat bersama Tok Abdullah. Hanya bayangan yang terjelma apabila Caca mengimbau kenangan lama kerana saya sendiri tidak pernah bertemu Tok Abdullah semasa hayatnya, lantaran arwah telah kembali ke rahmatullah sebelum kelahiran saya ke dunia.


Arwah Tok Abdullah (1909 – 1972)
 

Antara perihal arwah Tok Abdullah yang dikongsikan oleh Caca…

Arwah Tok Abdullah seorang yang disifatkan sebagai rajin dan gigih berusaha. Pernah satu ketika, Caca (pada masa tersebut bersekolah rendah) menemani arwah ke satu kawasan bukit sekitar Hulu Selangor untuk diteroka. Sebaik tiba, arwah mencari pohon yang paling besar di kawasan tersebut. Di bawah pohon besar itulah didirikan pondok kecil yang dijadikan kawasan untuk mereka berdua berteduh. Pohon-pohon bersaiz sederhana dan kecil di sekitar kawasan tersebut ditakik satu persatu. Begitu juga pohon besar tempat mereka berdua berteduh, turut ditakik bahagian pangkalnya. Dalam tempoh yang singkat (sekitar sebulan), bukit yang pada awalnya kelihatan berhutan, akhirnya terang. Pohon besar yang ditakik pangkalnya hari demi hari akhirnya ditumbangkan oleh arwah sehingga merebahkan pohon-pohon lain di sekelilingnya. Pohon besar yang tumbang mengelongsor dari atas bukit bagaikan menyapu bersih pohon-pohon lain sehingga ke bawah bukit. 

Arwah Tok Abdullah juga mempunyai kemahiran menjebak kancil di hutan. Arwah membuat sendiri sangkar untuk menjebak kancil. Menurut Caca, pernah suatu ketika arwah menunjukkan seekor kancil yang berjaya dijebak. Kancil tersebut telah dihurungi lalat pada bahagian mulut dan mukanya. “Itu helah kancil, berpura-pura mati,” kata arwah kepada Caca. Begitu cerdiknya kancil berpura-pura diam tidak bergerak umpama habis nyawa sehingga mengeluarkan bau daripada lelehan air liurnya semata-mata untuk melepaskan diri. 

Arwah turut menghasilkan tengkalak yang diperbuat daripada sebatang buluh untuk menangkap ikan-ikan kecil dan menghasilkan lukah untuk menangkap ikan-ikan besar di sungai. Ayahanda juga pernah bercerita bahawa arwah semasa hayatnya turut mengambil madu lebah di sekitar Perak dan Selangor. Madu tersebut diambil sebagai bekalan makanan untuk keluarga dan selebihnya dijual dengan harga RM25 sekati pada masa tersebut.

Selain mendengar kisah yang dipertuturkan daripada ayahanda, ayahanda / bonda saudara dan waris lainnya, saya turut menjejak anak murid yang pernah berguru dengan Tok Abdullah dalam bidang persilatan. Pertemuan tersebut memberi ruang dan peluang kepada saya mendengar sendiri perihal arwah semasa hayatnya. Arwah Tok Abdullah semasa hayatnya adalah guru silat di Tanjung Malim. Saya sendiri tidak pernah menyaksikan di hadapan mata langkah silat arwah, namun pernah dikhabarkan tentang kehebatan ilmu persilatan yang diwarisi daripada bekas anak murid arwah dan ayahanda saudara yang berkongsi cerita.

Arwah akan membuka langkah secara spontan apabila mengetahui sekiranya ada ancaman bahaya di belakangnya. Caca sendiri pernah memaklumkan kepada saya bahawa arwah mempunyai kebolehan membuat tiga tendangan serentak dalam satu masa. Perumpamaannya ibarat menakik pokok sebanyak tiga kali dalam satu libasan parang. Antara peristiwa getir yang pernah dilalui arwah adalah berdepan dengan rusuhan yang dicetuskan kumpulan kongsi gelap Cina di Selangor. Rusuhan dapat dileraikan, namun ekoran peristiwa tersebut, arwah telah disembunyikan berbulan-bulan lamanya dalam kawasan Istana Kuala Kangsar. Saya sendiri pernah mengajukan pertanyaan, “Mengapa disembunyikan di kawasan Istana?” Namun, soalan tersebut tergantung tanpa disambut sebarang jawapan, sehingga membuatkan saya masih tertanya-tanya.

Ayahanda dan adik-beradik lelaki yang lain tiada seorang pun yang mewarisi ilmu persilatan arwah Tok Abdullah. Namun begitu, kesemua mereka mempunyai kemahiran bertukang, menyelam sambil menembak ikan, mengambil madu di pohon tualang (walau pun pernah diserang lebah termasuk tebuan tanah) dan lain-lain pekerjaan kampung.

 

Foto lama ayahanda di Sungai Bernam (Awal 70-an)
Sungai tumpuan tempat ayahanda dan adik-beradik lelakinya menyelam sambil menembak ikan

 

Alhamdulillah, akhirnya terluah jua sebuah kisah. Kenangan lama ini walaupun dianggap sekadar penulisan biasa buat sajian para pembaca, namun amat bermakna bagi saya. Penzahiran Secebis Kisah Arwah Tok Abdullah ini sebagai tanda kasih dan ingatan berkekalan daripada seorang cucu terhadap arwah datuknya. Walaupun di antara kami tidak pernah bersua muka di alam nyata, namun saya tidak pernah jemu mendengar kisah-kisah lama oleh waris daripada sebelah ayahanda. 

Sekian sahaja catatan saya abadikan buat perkongsian setelah sekian lama tersimpan dalam kotak ingatan…

Al Fatihah daripada cucunda buat arwah Tok Abdullah…

 

 

Himpunan Rumpun Melayu Nusantara

18 May

 

Tarikh : 31 Januari 2013
Lokasi : Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu 

 

Sebuah catatan yang telah terperap hampir empat bulan lamanya. Namun, tetap saya tampilkan dalam ruang catatan penulis buat perkongsian di laman sanggar ini. Tanggal 31 Januari 2013, saya telah diundang dalam program Himpunan Rumpun Melayu Nusantara. Hadirnya saya adalah sebagai pembentang makalah bertajuk Menelusuri Asal Usul Diri: Dari Perak ke Kota Raja, Rao.  Siri Jelajah Budaya Selangor ini adalah anjuran Seniman Paksi Rakyat dan Persatuan Seni & Sastera Malaysia (SESAMA) dengan kerjasama Program Pengukuhan Budaya dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Penghargaan yang tinggi saya ucapkan kepada penganjur program yang sudi mengundang dan memberi ruang untuk saya berkongsi pengalaman bersama peserta yang hadir daripada pelbagai suku antaranya seperti Rawa, Mandailing, Bugis dan Kerinci. Tajuk pembentangan bagaikan menyorot semula pengalaman saya dalam siri jejak salasilah di Kota Raja, Rao dalam batasan Sumatera Barat sekitar tahun 2004. Pencarian secara serius telah dilalui sejak penghujung tahun 2001/ awal tahun 2002 ketika sedang dalam pengajian MA dalam bidang Persuratan Melayu di UKM, Bangi. Namun, di hujung pencarian asal usul diri, saya menemukan perkaitan salasilah keluarga daripada sebelah bonda dengan Acheh saat sedang melalui kajian Doktor Falsafah di UPSI. Pemilihan batasan wilayah Acheh sebagai limitasi kajian bagaikan laluan dalam menemukan jawapan dalam pencarian. 

Sekian, sahaja mukadimah catatan…saya tampilkan sebahagian foto rakaman buat tatapan.

 

Di luar Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu sebelum acara bermula

 

Slot pembentangan saya yang sepatutnya dikongsikan pada sesi kedua, mendahului slot pembentangan Dr. Mohamad Alinor Abdul Kadir yang tiba agak lewat sedikit. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Minang, Kerinci dan Kampar: Sejarah dan Budaya.

 

Sesi soal jawab bermula…di hadapan saya semuanya otai-otai belaka. 

 

Program ini dipengerusikan oleh Prof. Dr. H.M Bukhari Lubis dari Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa & Komunikasi, UPSI. Beliau adalah Penyelaras Unit Kajian Jawi dan Khat UPSI. Apa yang membuatkan saya tersenyum sendiri apabila mengenangkan sesi impal balas dengan peserta. Apabila soalan menjurus kepada perihal budaya Rawa, beliau akan menghalakan mikrofon ke arah saya. Saya pula akan melakukan hal yang sama iaitu menghalakan mikrofon ke arah beliau apabila perihal tentang budaya Mandailing diajukan oleh peserta. 

 

Reaksi hadirin semasa acara

 

Soalan yang diajukan kepada saya oleh salah seorang peserta yang bersusurgalurkan Dato’ Maharajalela. Beliau mendakwa pernah dikhabarkan oleh salah seorang bapa saudaranya tentang hubungan darah Dato Maharajalela dengan penghulu pertama Tanjung Malim iaitu Hj. Mustafa Raja Kamala (Moyang kepada bonda saya). Persoalan yang sama pernah berlegar di kepala saya, namun persoalan yang dikemukakan oleh beliau menguatkan lagi keyakinan. “Sebuah dokumen rasmi pernah dibacakan di hadapan saya tentang hubungan Haji Mustafa Raja Kamala dengan Dato’ Maharajalela oleh salah seorang bapa saudara,” sebagai respon kepada persoalan yang ditanya. Jawapan yang keluar daripada mulut saya pada masa tersebut tidak memberikan jawapan “ya” atau “tidak” kerana saya hanya mendengar kenyataan tersebut dibacakan tanpa melihat sendiri isinya di hadapan mata. 

Sekian, perkongsian catatan terperam sebelum menutup tirai malam…Wassalam

 

 

Akal Sari Menulis…

18 May

 

Sumber Foto: www.melindaearsdon.com


Assalamualaikum…

Hari ini demam semakin kebah. Sejak hari Isnin, 6 hari yang lalu badan diserang rasa lemah. Barangkali cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini ditambah pula dengan jadual pergerakan tugas yang agak ketat di tempat kerja baru.

Tugasan baru yang digalas memerlukan saya kerap keluar daerah bersama rakan sejawat memberi taklimat di setiap zon. Slot saya terkait Bahasa Seni Visual, perlu dibentangkan kepada Jurulatih Utama di setiap zon tumpuan. Saya dan beberapa teman Jurulatih Utama Kebangsaan baru sahaja pulang dari Zon Sarawak (23-26 April), Zon Sabah (7-10 Mei) dan Zon Tengah (14-17 Mei). Rasa tidak sihat mula menyerang sebaik pulang dari menghadiri latihan Supplementary Profesional Development Middle Year Programme International Baccaulaureate (MYP IB) di Maktab Melayu Kuala Kangsar (11-12 Mei). Sebaik pulang dari Zon Sabah, pada hari yang sama bergegas pula ke Kuala Kangsar untuk menghadiri latihan MYP IB pada keesokan harinya.

Pada 20-23 Mei iaitu selang dua hari lagi saya perlu bertolak ke Sungai Petani pula sebelum menyusul tugasan di Zon Timur (10-13 Jun) dan Zon Selatan (18-21 Jun) bulan berikutnya. Catatan ini bukanlah keluhan, namun hanya sebuah luahan buat perkongsian. Inilah nilai pengorbanan yang harus dibayar apabila berhijrah ke Bahagian Pembangunan Kurikulum di KPM. Jadual yang ketat bukanlah kekangan untuk melaksanakan tugasan, namun apa yang perlu didepani adalah kegigihan dalam memikul amanah yang diberi. Sebagai manusia biasa, kita bukanlah sempurna. Sesekali kita mengalami gejala yang menjejaskan kesihatan diri.  Setiap penyakit ada penawarnya, kecuali mati. Justeru hikmah yang dipelajari, berikhtiar untuk penyembuhan diri sendiri.

Dalam sakit, terubat juga hati. Alhamdulillah, penulisan ilmiah telah pun saya sempurnakan dalam kesibukan melakukan itu dan ini. Draf disertasi Ph.D telahpun disemak oleh penyelia pembimbing saya iaitu Prof. Dr. Zakaria Ali. Notis penyerahan disertasi telahpun diserah kepada fakulti. Dalam tempoh ini, saya perlu menyediakan 7 naskhah bercetak sementara menanti cadangan nama pemeriksa luar yang akan dipilih untuk sesi Viva nanti. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan tugasan saya dalam proses penantian ini…Aamien.

Sekian sahaja coretan buat tatapan…sekadar merakamkan kisah serba ringkas buat penjelasan setelah menyepi berbulan-bulan.  Salam manis sebagai penutup tirai Akal Sari Menulis… =)


 

Istana Seri Menanti

15 May

 

Tarikh : 20 Januari 2013
Lokasi : Istana Seri Menanti

 

Bismillah sebagai mukadimah…

Saya muncul di laman sanggar ini setelah sekian lama menyepi. Bukan melarikan diri, namun kekangan masa dek kesibukan tugas sejak akhir-akhir ini. Bertapa sementara menyempurnakan tugasan utama. Namun, sebagai tuan empunya sanggar ini, sudah menjadi rutin harian saya menjengah ke sini. Perumpamaan buat diri sendiri~ ibarat menyewa sebuah rumah, namun tidak menginap… sekadar hinggap. 

Lambakan foto dalam album galeri, membuatkan saya gagahkan diri berkongsi catatan serba ringkas ini. Tanpa berlengah masa, saya tampilkan sejumlah foto semasa berkunjung ke Istana Seri Menanti yang telah dikunjungi pada tanggal 20 Januari. Selain hadir ke lokasi ini, saya turut berhajat berkunjung ke ruang pameran buaya yang berlangsung di sisi kiri binaan istana. Namun, pameran yang sepatutnya berakhir pada sebelah malam telah ditutup awal atas arahan pihak penganjur ekoran seekor buaya putih di ruang pameran telah dicuri pengunjung. Saya difahamkan, buaya putih tersebut bukanlah buaya replika, tetapi buaya sebenar yang diawetkan. Saya pula hadir bukanlah semata-mata dengan satu tujuan melihat pameran, namun turut mengambil kesempatan melihat lebih dekat keindahan ukiran yang menghiasi permukaan tiang dan dinding Istana Seri Menanti. 

 

Masuk ke perkarangan memulakan jejak ke Istana Seri Menanti…

 

Indah! cukup dengan hanya satu perkataan diterjemah

 

Istana Seri Menanti dari pandangan hadapan

 

Istana kayu bertingkat ini didirikan tanpa penggunaan sebarang paku

 

Pandangan sisi Istana Seri menanti

 

Salah satu tiang berukir dengan aplikasi teknik tebuk timbul. Stailisasi motif bunga dan daun daripada tumbuhan peony.

 

Tibalah masa untuk melangkah pulang. Gerbang dengan reka bentuk minangkabau semakin jauh berada di belakang. Singgah seketika di sebuah restoran kayu bersetentang gerbang membawa keluarga menjamah makanan dek perut yang mula bergendang.

 

Sekalung penghargaan khas ditujukan buat adinda Nurul Idayu yang sudi menemani dalam siri kunjungan ini. Sebagai penutup perjalanan, saya bawa adinda yang bertindak selaku pemandu peribadi menjamu selera menikmati juadah yang digemari. 

Sekian sahaja paparan buat perkongsian…wassalam