RSS
 

Muzium Lukut

Posted: October 4, 2010 at 10:14 pm

04 Oct

Tarikh: 14 Jun 2010
Lokasi: Muzium Lukut

 

Sejarah Lukut Sepintas Lalu…

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Lukut membawa maksud sejenis tumbuhan atau pohon renek. Pada awal abad ke-19, Lukut merupakan sebuah wilayah yang berasingan dari Selangor selain Kelang, Bernam dan beberapa tempat lain. Lukut pada asalnya didiami oleh Orang Laut yang menjalani kehidupan sebagai nelayan dan petani (bercucuk tanam).

Walaupun sejarah tidak begitu jelas tentang penguasaan Selangor terhadap Lukut, namun di bawah pemerintahan Sultan Salehuddin (Sultan Selangor yang per-1) sehinggalah ke pemerintahan Sultan Ahmad Shah (Sultan Selangor ke-3), Lukut adalah sebahagian daripada pengaruh penguasaan Selangor. Era pemerintahan Raja Bot merupakan permulaan era kemerosotan Lukut kerana terdapat pelbagai masalah yang dihadapi semasa pemerintahan baginda. Di antaranya adalah tuntutan wilayah Lukut oleh Sungai Ujong, penentangan Raja Sulaiman (Pembesar Sungai Raya), bebanan hutang yang semakin berat dan hasil pengeluaran biji timah yang semakin merosot.

Termeterainya Perjanjian Persempadanan Selangor – Sungai Ujong pada 31 Julai 1880, menandakan berakhirnya era pemerintahan pembesar Melayu di Lukut. Raja Bot menyerahkan Lukut kepada Sungai Ujong secara rasminya melalui perjanjian tersebut.

 

Bermulanya episod kunjungan ke Muzium Lukut…

 

Tanggal 14 Jun 2010 yang lalu saya telah berkunjung ke Muzium Lukut. Seperti biasa, kunjungan ke lokasi ini bukanlah agenda utama yang dirancang sebelum melangkah keluar dari rumah, sebaliknya adalah lawatan mengejut sebaik ternampak papan tanda tertera ‘Muzium Lukut.’ Saya dan keluarga sering melalui jalan lama menuju ke Seremban, namun sering ‘melepaskan peluang’ membuat kunjungan. Justeru keputusan mendadak untuk singgah telah dibuat setelah merasakan alangkah rugi sekiranya tidak melihat artifak yang ada sebagai mengenang sejarah Kota Lukut yang pernah mencapai kegemilangannya sejak dari pemerintahan Raja Jumaat bin Raja Jaafar (1847-1864).

 

Bangunan ini adalah galeri utama yang menempatkan Sejarah Kota Lukut. Galeri ini mempunyai beberapa segmen antaranya berkisar tentang Latar Belakang Sejarah Lukut, Kota Lukut Sebagai Kota Pertahanan, Lukut Pesat Ekonomi dan Pentadbiran, Lukut Dalam Aspek Politik, Laporan Kapten Macpherson dan Perlombongan Bijih Timah di Lukut. 

 

 Anak tangga menuju ke bahagian tingkat atas bangunan muzium.

 

Dari arah galeri utama Muzium Lukut, pengunjung boleh melihat dengan jelas Kota Lukut yang terletak di bahagian atas bukit.

 

Mini lanskap pancuran air di hadapan galeri mewujudkan suasana tenang dan damai.

 

Meriam Raja Jumaat (dari sisi atas) kedudukannya terletak di bahagian hadapan bangunan Muzium Lukut.

 

Meriam Raja Jumaat (dari sisi hadapan) dijadikan sebagai monumen di sisi kiri dan kanan di bahagian hadapan galeri.

 

Meriam tembaga ini dijumpai secara tidak sengaja pada tahun 1993 pada masa kerja-kerja survei arkeologi di Bambek Shoal, Port Dickson bagi mengenalpasti sebuah kapal British iaitu Caroline yang tenggelam pada tahun 1886. Pada 6 Ogos hingga 9 Disember 1995, ekskavasi menaikkan artifak Kapal Nassau termasuk meriam ini telah dilaksanakan pihak kerajaan Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa agensi lain. (Sumber info: Pameran Kapal Nassau, Muzium Lukut)

 

Kelihatan dua ekor naga dengan bahagian kepala tanpa ekor sedang mengulum sebiji batu pada permukaan meriam tembaga (meriam di atas). Kedudukan meriam ini terletak di kaki bukit bertentangan dengan tangga menuju ke Kota Lukut.

 

Tangga ini perlu dilalui dan dinaiki oleh pengunjung untuk menuju ke Kota Lukut.

 

Pemandangan kehijauan alam yang dapat dinikmati dari atas Kota Lukut. Hanya perabung Muzium Lukut yang kelihatan.

 

ARTIFAK DI RUANG DALAM GALERI MUZIUM LUKUT 

 

 

Meriam Lela adalah senjata api tradisional Melayu yang diperbuat daripada tembaga. Ianya sejenis alat bedil mudah alih dan agak kecil saiznya.

 

Tempayan (kanan) dan martaban (kiri) digunakan sebagai tempat menyimpan air, makanan dan barangan pada masa zaman kegemilangan Lukut.

 

Alat menapis amang bijih ini adalah salah satu daripada peralatan yang digunakan untuk memproses bijih timah oleh para pelombong di Lukut pada suatu masa dahulu.

 

Alat ini pula dikenali sebagai bekas amang bijih. Ianya diperbuat daripada kayu keras. Fungsi alat ini adalah untuk menyimpan amang bijih yang telah diasingkan daripada bijih timah.

 

 
No Comments

Posted in Muzium

 

Leave a Reply