RSS
 

Muzium Tsunami, Banda Aceh

Posted: June 22, 2010 at 2:20 pm

22 Jun

 

Tarikh Lawatan : 29 April 2010
Lokasi Lawatan : Muzium Tsunami, Banda Aceh

Catatan ringkas semasa sesi lawatan ke Muzium Tsunami…
Kepada para tetamu yang ingin melihat paparan sebahagian koleksi foto di ruang pameran muzium ini, sila berkunjung ke sanggar Galeri (di bawah tajuk Album Tsunami).

 

Rekabentuk bangunan Muzium Tsunami yang sempat saya rakam semasa melalui jalan besar dalam perjalanan menuju ke masjid Baiturrahim di Desa Meuraxa, Ulee Lheue.

 

Oleh kerana jalan utama dengan bangunan muzium agak berdekatan jaraknya, jadi saya tidak dapat merakam keseluruhan rekabentuk bangunan yang binaannya berbentuk melengkung ini.

 

Laluan masuk sebelum menuju ke ruang pameran…pengunjung yang berjalan di sepanjang laluan tersebut akan dihujani tempias air yang mengalir dari sisi kanan dan kiri dinding bangunan. Unsur air dan suasana gelap sepanjang melalui lorong ini pastinya diilhamkan oleh perancang senibina untuk membawa pengunjung mengimbau kembali saat tragedi tsunami melanda.

 

Menara berbentuk silinder ini berada di bahagian kiri sebelum pengunjung keluar dari lorong gelap di atas. Kaligrafi kalimah Allah diabadikan di puncak menara muzium.

 

Jambatan kayu menuju ke ruang pameran umpama mendaki bukit. Permukaan jambatannya tidak mendatar sebaliknya agak cerun sedikit.

 

Kolam air di bawah laluan jambatan…sinar matahari menembusi bumbung bangunan memberikan kesan cahaya kepada ruang tengah binaan.

 

Perspektif di sepanjang laluan di luar ruang pameran. Rekabentuk lengkungan pada binaan bangunan ini tambah menarik dengan aplikasi prinsip kesatuan sehingga mewujudkan keharmonian…lihat deretan tiang dan jalur melintang pada permukaan lantai yang disusun secara berulang-ulang.

 

Pemandangan di satu sudut dalam ruang pameran yang menempatkan sebahagian besar himpunan foto pra dan pasca tsunami. Hati saya amat tersentuh dan sebak saat terpandang sebuah rakaman foto seorang ibu yang sedang meratapi kematian anak kecil dalam pangkuannya. Hilang harta boleh dicariganti…hilang nyawa tiada galang gantinya.

 

Paparan video semasa dan selepas kejadian tsunami di ruang luar bilik pameran.

 

 
No Comments

Posted in Muzium

 

Leave a Reply