RSS
 

Masjid Tua di Kedah

Posted: April 3, 2010 at 1:56 am

03 Apr

 

Tarikh  :   25 hingga 28 Mac 2010
Lokasi  :   1. Surau Tok Janggut
                  2. Masjid Limbong
                  3. Masjid Zahir
                  4. Balai Seni Negeri Kedah

  

Pilihan lokasi tinjauan pada kali ini adalah di bahagian utara tanah air. Saya membuat keputusan menjejak sebuah surau tua di Langgar  (pada mulanya saya sebut Masjid Langgar) setelah melayari artmelayu.blogspot.com beberapa bulan yang lalu. Justeru, perancangan untuk menjalankan pemerhatian ke atas senibina surau kayu berdekatan Makam DiRaja Langgar pun diatur. Informasi yang diperoleh dari laman blog tersebut amat berguna dalam kajian saya kerana ia umpama kunci yang memberi laluan kepada saya menjejak lokasi masjid-masjid tua. 

Saya bertolak dari Sungai Buloh sekitar jam 4.45 petang (25 Mac 2010). Perjalanan agak lewat kerana sebelah pagi hingga tengah harinya saya sibuk dengan urusan sempena Pameran Lantera Seni 2010. Berkejar ke sana ke mari sehingga sampai ke satu peringkat saya keliru apa seharusnya dilakukan dahulu dan apa pula yang patut dikemudiankan. Kebiasaannya, saya selesa memulakan perjalanan jauh pada waktu pagi. Dek kerana menguruskan perkara itu dan ini, jadi bertolak pun lewat kesudahannya. Tiba di Hotel Seri Malaysia Alor Setar sekitar jam 12.30 malam…didapati pintu pagar dah berkunci. Agak-agak dalam 5 minit menunggu, datang pengawal keselamatan membuka pagar memberi laluan masuk. Syukur alhamdulillah…tiba jua akhirnya. Setelah membersihkan diri, tanpa berlengah suiz dipetik dan sebaik lampu terpadam bermulalah aktiviti  zzzzZZzzzZZzzz.

 

Esok paginya sekitar jam 11.30 pagi, saya bertolak ke Langgar. Perjalanan dari arah Hotel Seri Malaysia menuju ke Langgar melalui jalan yang lancar. Kebetulan hari tersebut adalah cuti hari bekerja, jadi jalanraya agak lengang dari sesak lalu lalang kenderaan.

 

Lebih kurang 25 minit perjalanan, saya tiba ke simpang menghala ke surau tua Langgar. Makam DiRaja Langgar ini terletak di persimpangan jalan sebelum membelok ke bahagian kanan menuju ke arah lokasi surau.

 

Pintu gerbang utama menuju ke perkarangan dalam kompleks makam ini kedudukannya bertentangan dengan Maahad Tahfiz Al-Quran Makam DiRaja.

 

Hampir keseluruhan senibina surau tua ini daripada pembuatan kayu. Binaan asal masih dikekalkan, namun bahagian atap dibaikpulih dan diganti dengan zink baru. Berdasarkan pemerhatian, kolah wudhuk juga seakan baru. Sama ada binaan kolah baru dibina atau telah sedia ada tetapi dibaikpulih dan disimen baru.

 

Rumah ini terletak di bahagian sebelah kiri surau. Rumah ini dihuni oleh Tn. Haji Ahmad (80 tahun) iaitu waris kepada pengasas Surau Tok Janggut ini. Menurut perkiraan saya, surau ini berusia lebih 100 tahun berdasarkan temubual dengan  seorang warga emas, Hjh. Jamaliah Hj. Abd Noh yang berusia 97 tahun.

 

Beduk lama ini diletakkan dalam keadaan bergantung di bawah menara surau.

 

Sungai ini terletak di belakang Surau Tok Janggut dan mengalir melalui sisi kompleks Makam DiRaja Langgar.

 

Foto ini diambil dari arah kompleks Makam DiRaja Langgar di persimpangan jalan sebelum membelok ke kanan menuju ke Surau Tok Janggut. Surau tersebut terletak bersebelahan dengan pohon paling tinggi dan merimbun dengan dedaunan di bahagian kiri tebing sungai.

 

Ukiran ini terdapat pada daun pintu masuk ke ruang dalam tempat solat. Sekali pandang, ukiran timbul ini seakan corak dengan unsur flora. Namun, apabila diamati ianya adalah tulisan kaligrafi jawi dengan aplikasi teknik ukiran timbul.

 

Salah satu daripada puluhan motif ukiran timbul pada papan kembung yang menghiasi bahagian luar binaan. Bahagian dalam turut dihiasi ukiran berpola lengkap dari unsur flora.

 

Ukiran kerawang berunsur flora dengan teknik tebuk tembus di bahagian atas kepala tingkap.

 

Bahagian mihrab iaitu ruang paling hadapan bagi imam semasa memimpin solat jemaah.

 

Sedang leka merakam foto, saya dijengah oleh Hjh. Jamaliah Hj. Abd Noh di ruang solat. Rumahnya terletak berhadapan dengan Surau Tok Janggut. Warga emas ini adalah informan tertua yang saya temubual sebaik tiba. Sebelum melangkah naik ke anak tangga surau, saya bertandang dahulu ke terataknya yang terletak berhadapan dengan surau tersebut. Kebetulan warga emas ini sedang merenung dari balik daun pintu. Tanpa diundang saya pun melangkah naik ke terataknya…menyapa dan berbual seketika dengan harapan dapat berkongsi cerita tentang Surau Tok Janggut di hadapan mata. Sesekali mata saya meliar melihat ruang dalam teratak, juga bahagian anjung yang beralihfungsi menjadi tempat menanak nasi. Niat memandang bukan mencari cacat cela, tetapi menelah apakah dia hidup ditemani anak-anak atau sebatang kara. Agak mengejutkan apabila wanita tua ini memaklumkan sudah sekian lama dia hidup keseorangan. Bukan dipinggirkan keluarga, tetapi waris yang ada terlebih dahulu menyahut panggilan Yang Maha Esa.

Dalam usia 97 tahun, ingatannya masih kuat…malah dalam keadaan bongkok tiga warga emas ini masih mampu menguruskan diri dan memasak setiap hari. Telah menjadi rutin harian, makanan tengah hari dijamah setelah melaksanakan solat zuhur. Melihat keadaan fizikalnya sedemikian rupa, spontan saya bertanya, “Semuanya makcik buat sendiri?” Lalu dijawabnya, “Ini bahagian makcik…” Semua tugasan diuruskan sendiri kerana hidup sebatang kara memerlukan dirinya berdikari. Sesekali jiran tetangga menghulurkan sedekah sebagai tanda prihatin terhadap wanita tua ini. Jawapan tersebut membuatkan saya berfikir bahawa rezeki bukan hanya terbatas pada wang ringgit tetapi mencakupi segala aspek dalam kehidupan manusia. Rezeki hambaNya ditakdirkan berbeza-beza sebagaimana ujian yang dihadirkan pelbagai rupa. Wang ringgit, harta benda, kesihatan, kebahagiaan, ilmu pengetahuan dan sebagainya adalah rezeki kurniaan Allah kepada hambaNya. Setiap satunya telah ditetapkan bahagian ke atas setiap manusia mengikut kadar masing-masing. Bagi warga emas ini, apa yang amat disyukurinya adalah rezeki berupa kudrat dari Ilahi yang masih dinikmati hingga ke saat ini…Bagi diri saya sendiri, mengatur langkah menjalankan kerja-kerja di lapangan bukan sekadar memenuhi dan mengejar matlamat kajian. Dari sisi lain, pengalaman  yang dilalui sepanjang menjalankan tugasan memberi makna mendalam untuk direnungi.  Penilaian menggunakan mata hati…hikmahnya punya erti dalam mendidik diri.

 

Murid-murid dari sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Makam DiRaja Langgar. Sekolah ini terletak di antara Makam DiRaja Langgar dengan Surau Tok Janggut. Anak-anak inilah yang sering bertamu di dalam Surau Tok Janggut untuk solat berjemaah.

 

Kebetulan sewaktu berpatah semula untuk pulang, saya terpandang papan tanda tertera Masjid Limbong.  Moh! redah aja untuk lihat bagaimana rekabentuk senibinanya. Mudah-mudahan berjumpa lokasi masjid tua…

 

Suasana kehijauan yang luas terbentang di kiri dan kanan sepanjang laluan masuk ke lokasi Masjid Limbong ini bak hamparan permaidani. Suasana ini mengingatkan saya pada kedamaian alam semulajadi semasa misi jejak masjid tua Wadi Al-Husein di Teluk Manok, Patani.

 

Hajat di hati ingin  menjejak masjid tua, tetapi rupa-rupanya masjid yang baru siap dibina berada di hadapan mata. Namun, dengan tidak disangka-sangka saya dimaklumkan bahawa binaan masjid tua Limbong masih ada. Ianya terletak kurang 100 meter dari lokasi masjid baru. Siak Masjid iaitu Hj. Musa bin Chik telah menunjuk arah tapak masjid lama tersebut.

 

Saya sedang berada di kawasan dipenuhi batu nesan ketika foto ini dirakamkan. Bahagian sisi kanan masjid, juga kawasan bertentangan dengannya (tempat saya berdiri) adalah kawasan tanah perkuburan Islam di desa Limbong ini.

 

Masjid Tua Limbong ini tidak lagi berfungsi sebagai tempat bersolat. Struktur binaannya masih kukuh, namun sayang sekali ruang dalamnya terbiar tanpa diselenggarakan.

 

Beduk lama ini diletakkan sedemikian rupa di hadapan masjid tua. Khazanah lama ini seharusnya disimpan di tempat lebih sesuai dan selamat di binaan masjid baru.

 

Sungai Langgar mengalir pada bahagian kiri masjid tua Limbong. Sungai inilah yang menjadi laluan perhubungan masyarakat sekitarnya suatu masa dahulu.

Bersambung…Lokasi seterusnya ialah Masjid Zahir dan Balai Seni Negeri.

 

Leave a Reply

 

 
  1. sangilapi

    April 6, 2010 at 20:50

    begitu tertarik dengan kisah hjh. jamaliah,seusia begitu masih boleh mengurus diri dengan sendiri dan mempunyai daya ingatan yang kuat….jarang benar sekarang ni boleh berjumpa dengan warga emas sedemikian….sesuai dan seindah nama beliau!

     
  2. harlenyabdarif

    April 6, 2010 at 23:50

    Ada hikmah sebenarnya pertemuan saya dengan Hjh Jamaliah ni…sbb saudara dah berbicara, jd di sini saya kongsikan pengalaman yg ada pertalian dgn wanita tua ini. Begini kisahnya…Sehari sblm brtemu dgn Hjh Jamaliah, saya singgah di Bank Islam, Ipoh (dlm perjalanan dr Sg. Buloh ke Alor Setar). Sebaik naik ke anak tangga menuju ke pintu Bank, saya terpandang seorang lelaki usia lingkungan awal 40-an berpakaian agak lusuh. Dengan beg galas yg diletakkan di sisi kiri, dia merenung seolah2 mengharap sesuatu…namun tidak pula dia menadah tangan untuk meminta2. Sesekali saya toleh ke arahnya sambil bertanya dlm hati, apa yang ditunggunya di situ? Saat langkah kaki melepasi tempat duduknya, saya bagai ditarik untuk berpatah semula…buat2 bertanya jalan menghala ke Utara (walhal sedia maklum jawapannya). Dlm pd tu, selitkan pertanyaan apa ditunggunya di situ. Agak mengejutkan bila jawapannya, “hidup sebatang kara…kematian emak, ditinggalkan isteri dan hilang segalanya…hanya masjid jadi tempat berteduh” Semua dek kerana hilang upaya meneruskan kerjaya. Rupanya kerja menebang balak beberapa tahun sblmnya memberi kesan pada tulang belakangnya sehingga doktor memberikan kata 2…lumpuh atau berhenti bekerja. Bermulalah kisah tragis sejak mula hilang upaya…akhirnya hilang keluarga, hilang harta. Saya yg mudah tersentuh ni menghulurkan sumbangan wang…pemberian sekadarnya yg saya kira cukup unt mengalas perut beberapa minggu. Raut wajahnya meyakinkan saya akan kesahihan tutur bicara (gerak hati lebih meyakinkan sebenarnya). Beberapa helai pakaian baru yg kebetulan ada dlm kenderaan turut diserahkan padanya. Itulah dikatakan rezeki yg tidak disangka2…rezeki kita dikongsi bersama dgn insan lain yg memerlukannya. Namun apa yg membuatkan saya sebak, bila hamba Allah tadi bersuara…mendoakan, “Moga Allah memperluaskan rezeki akak…Moga Allah melapangkan kubur akak.” Tersentuh saya mendengarnya…sambil berlalu, air mata ni mengalir…sedih, sebak semuanya ada. Doa dari seorang hamba Allah terhadap seorang musafir yg sedang dlm perjalanan menjejak masjid-masjid tua. Dipendekkan cerita, keesokan harinya bertemulah pula saya dgn Hjh Jamaliah ini…walaupun pada awalnya sangka saya wanita tua ini tidak berdaya untuk berdiri (kerana semasa bertandang ke teratak, wanita ini sedang duduk di muka pintu dgn keadaan belakang yang agak bongkok. Apa yg mengejutkan, dia punya kudrat unt menguruskan semua perkara sendiri. Walaupun hidup sebatang kara tidak ditemani sesiapa di sisi, namun Allah memberikan nikmat kesihatan yg baik dlm usia mencecah seabad. Iktibar yg diperoleh sebagaimana saya jelaskan dalam catatan semasa dijengah Hjh. Jamaliah di ruang solat Surau Tok Janggut…REZEKI HAMBANYA DITAKDIRKAN BERBEZA-BEZA, SEBAGAIMANA UJIAN YG DIHADIRKAN PELBAGAI RUPA…

    2 orang hamba Allah (seorang lelaki di usia awal 4o-an dan seorang wanita hampir seabad usia) yang ditemui dalam misi kali ini umpama dua jenis subjek kajian…keduanya punya ciri berlainan untuk dibuat perbandingan. Hasil dapatan kajian adalah apa yang difahami, lalu dicerna menggunakan akal oleh khalayak(pembaca). Sama-sama kita renungkan…