RSS
 

Jejak Pengukir Pantai Timur: Hari ke-2

Posted: April 23, 2011 at 8:48 pm

23 Apr

 

Tarikh : 23 April 2011
Lokasi : Balai Seni Wanpo, Alur Lintang, Besut


Catatan ini adalah sambungan daripada siri Jejak Pengukir Pantai Timur: Hari per-1. Jika sehari sebelumnya saya menjalankan sesi temubual bersama pengusaha Seni Ukir Teras  dengan membuat temujanji (melalui telefon) terlebih dahulu…perjalanan hari ke-2 ini saya sifatkan sebagai redah sahaja. Redah yang saya maksudkan bukanlah tidak bersedia dengan kelengkapan menjalankan kajian lapangan, tetapi tidak membuat temujanji lebih awal. Cuma, perasaan yakin membuatkan saya tidak ragu-ragu untuk meneruskan siri perjalanan hari ke-2 ini ke lokasi yang akan anda ketahui matlamatnya setelah menelusuri dari awal hingga ke akhir catatan ini nanti.


Perjalanan dimulakan pada jam 9.45 pagi dari arah Pasir Putih menghala ke daerah Besut. Lebih kurang 45 minit perjalanan, akhirnya tiba ke lokasi kunjungan. Bergambar di hadapan gerbang masuk menuju ke Balai Seni Wanpo. Balai ini terletak di Jalan Balai Seni, Alur Lintang, Besut. Tujuan saya hadir ke sini untuk menjalankan sesi temubual dengan pengusaha Balai Seni Wanpo iaitu Hj. Wan Mustafa bin Wan Su. Beliau adalah anak sulung (daripada 12 beradik) kepada Hj Wan Su bin Wan Othman (Tokoh Pengukir Tanah Air).

 

Sebaik tiba di kediaman Hj. Wan Mustafa sekitar jam 10.40 pagi, saya dimaklumkan oleh si isteri bahawa beliau baru sahaja keluar  atas urusan tertentu dan akan pulang pada jam 3 petang. Saya juga difahamkan agak sukar bertemu tokoh pengukir ini jika tidak membuat sebarang temujanji. Agak hampa juga menerima jawapan sedemikian pada awalnya, namun saya cuba berhubung dengan beliau dan menerangkan hajat sebenar kunjungan. Syukur alhamdulillah apabila panggilan saya mengundang reaksi positif, lalu beliau membatalkan tugasan dan meminta saya menunggu di ruang tamu rumahnya. Semasa sedang menunggu, saya dimaklumkan isteri Hj. Wan Mustafa bahawa mertuanya (Hj. Wan Su bin Wan Othman) ada di kamarnya. Justeru, saya memohon izin untuk masuk bertemu dengan Hj. Wan Su yang sedang beristirehat. Rasa diri ini amat bertuah dapat bertemu tokoh pengukir Negeri Terengganu ini. Beliau masih lagi sihat secara fizikalnya walaupun punya masalah dari segi pendengaran dan pertuturan. Usianya telah mencecah 111 tahun (lahir pada 1900M).

 

Wajah tenang Hj. Wan Su bin Othman dalam usia 111 tahun…

 

Prof. Dato’ Dr. Kamaruzaman (kiri) adalah anak ke-5 Hj. Wan Su. Kebetulan beliau pulang menjengah ayahnya ketika sesi temubual dijalankan.

 

sumber dari: miraeamair.blogspot.com

Bidang seni luas cakupannya, termasuklah bidang lakonan dan teater. Jika anak sulung (Hj. Wan Mustafa) mewarisi bakat mengukir ayahnya, anak ke-6 pula berkecimpung dalam bidang seni lakonan dan teater. Wan Hanafi Wan Su pula terserlah bakatnya di layar perak. Beliau membawakan watak Taji dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa.

 

Rekabentuk arca estetik di ruang tamu rumah Hj Wan Mustafa ini mengundang perhatian. Dari jauh, rekabentuk keseluruhan arca ini kelihatan agak mudah olahan bentuknya. Namun, dalam jarak dekat, sepasang mata akan kagum melihat ukiran pada bentuk sulur pautnya…lihat foto seterusnya.

 


Lihatlah kehalusan seni ukiran yang dimaksudkan…seolah-olah terdapat 4 lapisan yang menutupi permukaan objek ini.

 

Dalam pada kekangan waktu dek kesibukan, Hj. Wan Mustafa bin Wan Su sudi jua meluangkan masa untuk ditemubual. Sesi temubual yang saya rancang hanya sekitar 3o minit (paling lama), tanpa disangka telah berlanjutan selama 2 jam. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu sebagai seorang yang bergelar Adiguru Kraf, malah sesekali merendah diri pula apabila ada di antara penjelasan saya disifatkan sebagai ilmu baru yang diperolehinya.

 

Hj. Wan Mustafa sedang menunjukkan demo penghasilan lakaran jenis awan larat dari unsur tumbuh-tumbuhan.

 

Rakaman foto kenangan bersama Tokoh Seni Negeri Terengganu 2003 dan Adiguru Kraf 2007 sebelum berangkat pulang.

 

Keluar dari daun pintu sebelum menuju ke pintu kenderaan, berkunjung dahulu ke bengkel ukiran di Balai Seni Wanpo.

 

Contoh hiasan dinding dengan ukiran sulur bayur di sisi kiri dan kanan

 

 

Di hadapan ruang pameran ukiran yang kedudukannya bertentangan dengan bengkel di atas.

 

Pelbagai jenis hasil seni ukiran di ruang pameran

 

Setelah sesi temubual dan tinjauan ke Balai Seni Wanpo (mengambil sempena nama Hj. Wan Mustafa) selesai, maka kenderaan yang dinaiki bergerak menuju jalan pulang…

Terima kasih daun keladi kepada sahabat  baik saya iaitu Rahmah binti Yaakob dan pasangannya Norrizam bin Mohamed yang telah sudi meluangkan masa menyertai misi saya pada kali ini. Hanya Allah yang dapat membalas budi baik kalian berdua ~

 

 

Leave a Reply

 

 
  1. Kasuma Awan

    April 23, 2011 at 23:04

    Sulur 4 Lapisan.

    Pada 4 unsur kehidupan tanah, air, api, angin … setiap satunya “memaut” jalan2 kehidupan bagai sulur2 yang mencari dahan dan ranting. Sulur dan ‘sokong’ tidak saling memerlukan … sang “sokong” entah dengan rela atau terpaksa membiar sang sulur merembet dan memaut buat naik meningkat tinggi mencari cahaya.

     
    • Harleny Abd Arif

      April 24, 2011 at 08:45

      Kasuma Awan…
      Terima kasih kerana sudi menjejak sekaligus meninggalkan jejak di laman sanggar ini.

      Izinkan saya berkongsi…Anggaplah ia sekadar falsafah peribadi:
      Sama ada “rela” atau “terpaksa” ia mungkin telah ditakdirkan “bersama” tetapi kan “berpisah” jua akhirnya. Saat “diperlu” dan “memerlukan” keduanya saling “menopang” dan “ditopang”
      Ia seolah lumrah alam buat yang “menumpang” dan “memberi tumpang” Masing-masing ada peranannya tersendiri…tidak “mementingkan diri” tetapi hidup “serasi”

       
      • Kasuma Awan

        April 24, 2011 at 10:25

        Tuan Harleny,

        Indah anda mengkarya falsafah diri. Takdir bersama dan berpisah memang lumrah alam jagat ini tuan, benar sekali nukilan tuan. Kerana kita bukan hak mutlak diri sendiri. Ibarat rumah pangsa, lantai kita adalah bumbung orang lain, bumbung kita lantai orang lain, dinding kita pula dinding orang lain. Semuanya menuntut perhatian dan pengorbanan kita sama ada rela atau terpaksa.

        Yang membuat kita bahagia adalah keredhaan dalam menerima erti takdir, bahawa sesungguhnya pilihan yang dibuat untuk kita oleh Pencipta Takdir adalah peranan dan tanggungjawab kita sebagai Hamba. Sungguh indah menjadi Hamba kepada Sang Pencipta, alangkah indahnya jika dapat saling berbicara antara keduanya. Sang Pemberi dan sang penerima. Hidup adalah anugerah …. yang tidak terperi nikmatnya.

        sang penumpang hidup Yang Maha Hidup
        -awan kasuma-

         
  2. mie

    September 15, 2011 at 09:23

    Assalamualaikum dan salam sejahtera..

    Untuk makluman semua Tn. Hj. Wan Su (Tokoh Seni Negara) telah kembali ke rahmatullah pada 15 september 2011 jam 1.30 pagi.

    AL-FATIHAH

    Semoga allahyarham ditempatkan dikalangan orang soleh. amin….

     
    • Harleny Abd Arif

      October 3, 2011 at 10:11

      Waalaikumsalam mie,
      Maaf agak lewat memberi respon kepada makluman dikirim saudara. Saya telah dimaklumkan hal tersebut oleh salah seorang anak allahyarham Hj Wan Su melalui e mel. Terima kasih atas perkongsian maklumat di sanggar ini.

       
  3. Dr Wan Tarmeze Wan Ariffin

    September 15, 2011 at 18:36

    Saya, cucu kepada Hj Wan Su ingin memaklumkan bahwa datuk saya itu telah kembali ke rahmatullah pada pukul 1.30 pagi tadi (15 Sep 2011).

     
    • Harleny Abd Arif

      October 3, 2011 at 10:07

      Salaam Dr. Wan Tarmeze…
      Saya telah membaca kiriman ini di emel, namun agak lewat memberi responm di sini.
      Al-fatihah buat allahyarham Hj Wan Su…semoga ditempatkan dalam kalangan hambaNYA yang soleh..amin

       
  4. MAZURA

    October 13, 2011 at 11:01

    Arwah POK SU.. ttp dlm knangan..semuga Roh nya dcucuri rahmat.. Ayah We (WANPO) thanks sgt2 coz sudi titipkan ilmu buat ank didik mu ini..jasamu ttp ku kenang..