RSS
 

Siri Tinjauan Peribadi: Jejak Masjid Tua dan Makam Lama di Jawa Tengah (Hari ke-3)

Posted: March 28, 2011 at 2:13 am

28 Mar

 

Tarikh: 17 Mac 2011
Lokasi: Semarang – Demak – Jepara – Kudus

 

Siri Tinjauan Peribadi ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada catatan perjalanan hari per-1 dan ke-2 semasa menjalankan kajian lapangan (Rujuk Kajian Lapangan: Identiti Seni Ukiran Jepara 1 & 2). Pada catatan kali ini, saya kongsikan siri jejak masjid tua dan makam lama di beberapa lokasi  seperti Demak, Jepara dan Kudus di Wilayah Jawa Tengah. Siri tinjauan peribadi ini saya jalankan setelah memohon kebenaran dan mendapat keizinan daripada Dr. Abdul Halim Husain selaku pensyarah pembimbing yang mengiringi misi kajian lapangan ini. Justeru, dengan ditemani seorang teman, saya telah mengatur jadual perancangan untuk menjalankan siri tinjauan peribadi. Dari arah Semarang, kenderaan kami telah bergerak ke Kota Demak dan meneruskan perjalanan ke Kota Jepara sebelum menamatkan jejak ke destinasi terakhir iaitu Kota Kudus.

 

Sementara menunggu kenderan sewaan, saya dan seorang teman masih sempat merakamkan foto secara santai di luar perkarangan rumah penginapan. Lokasi penginapan Rumah Watoe Lawang ini terletak di kawasan yang agak tinggi berdekatan cerun bukit. Untuk makluman, daerah Semarang mempunyai bentuk mukabumi yang berbukit-bukit. Justeru, rata-rata daripada kawasan kediaman didirikan di kawasan agak tinggi.


Destinasi pertama kunjungan adalah di Masjid Agung Demak (sekitar kurun ke-15). Masjid ini hanya 1 jam perjalanan dari Semarang. Alhamdulillah, akhirnya tertunai hajat saya untuk menjalankan siri tinjauan peribadi bagi melihat lebih dekat lagi senibina luar dan dalaman masjid tertua di Nusantara ini.

 

Hiasan puncak Masjid Agung Demak dengan mahkota di puncak perabung. Kayu buton di bucu perabung pula menjadi pelengkap kepada papan pator di hujung cucuran atap.

 

Dalam catatan terdahulu, saya pernah menyebut tentang ukiran papan kepala cicak yang terdapat pada bucu perabung Masjid Agung Demak. Dengan hanya merujuk kepada imej visual, saya menelah ianya adalah ragamhias papan kepala cicak. Namun, tinjauan peribadi ke masjid tua ini membuka ruang untuk saya menjalankan pemerhatian lebih dekat untuk mengenalpasti rekabentuknya secara lebih tepat. Akhirnya, dapatlah disahihkan bahawa rekabentuk sebenar yang terdapat pada bucu perabung masjid ini adalah ukiran kayu buton dan bukannya ukiran papan kepala cicak seperti telahan sebelumnya.

 

Ruang dalam Masjid Agung Demak. Perhatikan 4 tiang seri yang menjadi penyangga. Tiang ini mempunyai ukurlilit 2 pemeluk orang dewasa. Pada masa saya berada di ruang dalam, tidak perasan akan papan info di kaki tiang penyangga. Namun, sedang saya memuatnaik (upload) foto ini di laman sanggar, barulah disedari info tertera berupa pesanan kepada pengunjung/ jemaah agar tidak tidur dan merakam foto di ruang dalam masjid.


Inilah wajah hamba Allah yang memberi keizinan kepada saya merakam foto ruang dalam masjid. Beliaulah yang mengiringi saya masuk sehingga ke ruang paling hadapan iaitu ruang mihrab dan mimbar. Beliau jugalah yang memegang kunci mimbar dan binaan khas tempat solat di Raja Demak.

 

Pintu yang menempatkan mimbar tua yang asalnya adalah singgahsana Raja Kerajaan Majapahit . Namun, singgahsana telah beralihfungsi menjadi mimbar dan utuh berdiri sehingga ke hari ini. Pintu mimbar ini hanya dibuka pada hari jumaat ketika khatib membaca khutbah. Agak sukar merakam foto rekabentuk mimbar dari hadapan kerana dihadang hanya beberapa langkah oleh tiang penyangga bersaiz 2 pemeluk orang dewasa bertentangan  pintu mimbar.


Andai di sisi kanan mihrab diletakkan mimbar, di sisi kiri pula, terdapat binaan khas (bilik kecil) yang menjadi tempat solat Raja Demak dahulu kala. Ianya adalah ruang khusus bersolat bagi Sultan/ Raja untuk mengelakkan diri daripada sebarang mara bahaya oleh pihak musuh.

 

Setelah merakam foto di ruang dalam, saya melangkah pula ke ruang luar serambi masjid. Permukaan lantai adalah dari kemasan marmar atau jubin.


Tiang penyangga dengan hiasan ukiran dari unsur tumbuhan di permukaannya. Tiang ini asalnya adalah tiang seri di istana Kerajaan Majapahit yang dipindahkan ke ruang serambi masjid. Tiang kayu berukir indah ditegakkan di atas kaki tiang (batu hitam) daripada bahan simen.

 

Langkah seterusnya, menuju ke pejabat pentadbiran yang sehaluan dengan lokasi ke kompleks makam Kesultanan Bintoro – Demak. Saya diminta pihak pengurusan masjid untuk meninggalkan buah pena pada buku tetamu Masjid Agung Demak. Ada jugalah wakil dari pihak Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI yang hadir berkunjung ke masjid bersejarah di Nusantara ini.

 

Beduk zaman wali abad ke-15 yang tersimpan dalam Muzium Mini Masjid Agung Demak. Di dalam muzium ini masih tersimpan dengan baik objek cagar budaya pada zaman Kesultanan Bintoro – Demak.

 

Gentong Kong dari Dinasti Ming di Muzium Agung Demak. Gentong ini adalah hadiah Puteri Champa abad ke-15.

 

Pertemuan yang tidak dirancang dengan Drs. KH Moh Asyiq selaku Ketua Umum Masjid Agung Demak. Alang-alang bersua, saya jalankan pula misi temubual secara spontan (lagak seperti seorang wartawan menemuramah informan untuk slot Jejak Mihrab & Mimbar).

 

Kompleks makam Raja Trenggono (1521M-1546M) dan makam kerabat Kesultanan Bintoro-Demak di sekitarnya.

 

Paling kanan: Makam Raden Fatah (Sultan Demak I: 1478M-1518M)
2 dari kanan : Makam Raden Pati Unus (Sultan Demak II: 1518M-1521M)
3 dari kanan : Permaisuri Raden Fatah

* Setelah Raden Pati Unus mangkat, baginda telah digantikan oleh Raja Trenggono (1521M-1546M)

 

Ragamhias pada permukaan batu nesan makam Kanjeng Pangeran Benowo di luar pagar jeriji kompleks makam ini mengundang perhatian.

 

Teman yang menemani misi tinjauan peribadi ini sedang membeli buah di pasar Demak. Buah belimbing terkenal di Demak kerana saiznya yang agak besar selain kemanisan isinya.

 

Sesi ziarah berikutnya adalah ke kompleks makam Sunan Kalijaga di Kadilangu, Jepara. Lorong ke kompleks makam ini menjadi tapak yang menempatkan gerai jualan pakaian dan seni kerajinan tangan masyarakat di Jepara.

 

Dalam perjalanan, terserempak pula dengan sekumpulan remaja sekolah menengah yang turut berbelanja di gerai jualan. Rakam foto kenangan bersama adik-adik manis yang bertudung putih…

 

Kompleks makam Sunan Kalijaga (salah seorang daripada Wali Sembilan di Tanah Jawa). Rekabentuk atap tumpang dengan mahkota di puncak dan sulur bayur di bucu perabungnya punya persamaan dengan hiasan puncak masjid tua di Melaka.

 

 

Gerbang menuju ke kompleks makam Sunan Kalijaga. Perhatikan ragamhias sulur pada bahagian kiri dan kanan gerbang masuk.

 

Sekumpulan anak muda ini hadir berziarah ke makam Sunan Kalijaga. Pintu masuk ke kompleks makam ini hanya dibuka pada hari keliwon. Hiasan ukiran di muka pintu dan panel kayu pada bahagian kiri dan kanan yang mengapit pintu dihasilkan dengan penuh kehalusan dan ketelitian.

 

Pulang dari berziarah ke makam wali, singgah pula ke kedai berdekatan. Nikmati ais campur istimewa…Ingatkan ianya seperti air batu campur seperti di Malaysia, tetapi air ini sama seperti cendol ais kerana menggunakan santan.

 

Tinjauan seterusnya…ke masjid tua Mantingan di Jepara. Sengaja saya paparkan foto yang agak miring ke sisi. Tujuannya untuk memperlihatkan hiasan puncak masjid lama yang masih mengekalkan atap tumpang bermahkota.


Sesi ziarah ke kompleks makam Ratu Kalinyamat yang terletak di belakang Masjid Mantingan. Dua gerbang batu perlu dilalui sebelum tiba di muka pintu kayu. Gerbang ini adalah laluan masuk  kedua setelah melalui gerbang pertama. Ruang di antara gerbang pertama dan kedua dipenuhi batu nesan pada bahagian kiri dan kanannya.


Rata-rata rekabentuk batu nesan di perkarangan kompleks makam Ratu Kalinyamat mempunyai rekabentuk nesan sebegini. Batu nesan dipahat seakan bentuk hati dengan sulur mengapit di sisi kanan dan kiri.

Seharian memberi tumpuan di lokasi tinjauan sehingga waktu makan tengah hari tersasar dari masa sepatutnya. Tanguh punya tangguh…akhirnya jam 4.00 petang barulah menikmati juadah tengah hari. Seekor ikan gurami istimewa menjadi menu utama. Rasanya seperti ikan talapia…

 

Pemandu yang membawa saya dan seorang teman sepanjang hari ke-3 perjalanan…saudara Rafa’i namanya. Sempat lagi dia mengunyah belimbing sebagai pencuci mulut dalam perjalanan menuju ke Kota Kudus.


Kenderaan kami tiba di Menara Kudus pada waktu solat maghrib. Pengunjung bertali arus di luar perkarangan Menara Kudus. Namun, mereka beransur-ansur bergerak ke ruang dalam masjid ketika azan maghrib bergema.

 

Laungan azan rupanya berkumandang dari arah Menara Kudus. Kelihatan bilal menuruni anak tangga setelah selesai melaungkan azan dari puncak menara. Masjid ini adalah adunan daripada 2 budaya iaitu asimilasi dari pengaruh budaya Islam dan Hindu. Ia dibina oleh Sunan Kudus pada tahun 1549M/956H. Apa yang menarik adalah batu pertamanya yang menggunakan batu dari Baitul Maqdis, Palestin.


Ini pula gerbang di sisi kiri Menara Kudus. Ia adalah laluan untuk menuju ke Kompleks Makam Sunan Kudus yang terletak di belakang menara.

 

Tinjauan peribadi berakhir dalam siri ziarah ke makam Sunan Kudus. Pengunjung yang berziarah umpama semut yang menghurung gula. Alhamdulillah…sempurnalah sudah siri tinjauan peribadi di Jawa Tengah.


 

Leave a Reply

 
 
  1. ontahsapo

    April 15, 2011 at 12:01

    Salam, seronok dapat berjalan menziarah masjid lama ni, teringin nak berbuat benda yang sama.

    Tapi di Malaysia masih belum habis saya jelajah….

     
    • Harleny Abd Arif

      April 15, 2011 at 22:46

      Wassalam…
      Kebetulan ada peluang sertai siri tinjauan, maka dapatlah saya menjejak Tanah Jawa… Paparan foto dan catatan ini pula sebagai perkongsian dengan tetamu di sanggar ini. Sudi2lah berkunjung ke ruang ini selalu… =)

       
  2. Kasuma Awan

    April 26, 2011 at 00:09

    Salam tuan penjejak mihrab & mimbar,

    Ikan gurami tu saya pasti, adalah ikan kaloi :) )
    Jika ia ikan sepat …. amboiiii … besarnya sepat!

    -awan kasuma-

     
    • Harleny Abd Arif

      April 26, 2011 at 00:17

      Yang pasti ia bukan lampam kuning! heh hehh =)

      Ikan yang dinikmati ini mmg enak…menepati selera kami semua.

       
  3. zddin

    February 8, 2013 at 11:20

    menarik… cuma ingin tahu difahamkan juga disekitar makam sunan kali jaga ada juga peninggalan masjidnya, benar ke begitu. satu lagi ingin juga tahu jarak antara Demak Jepara dan Kudus berapa lama dan KM. mahu ke sana… tolong dibantu

     
    • Akal Sari

      February 9, 2013 at 23:10

      Assalam Saudara zddin

      Terima kasih sudi bertandang…semasa berada di kompleks makam Sunan Kalijaga, tidak pula saya perasan masjid dalam kawasan tersebut. Namun, saya percaya wujud masjid tua di sekitarnya seperti mana yang terdapat di Kompleks Makam Sunan Kudus di Kudus dan Makam Sunan Gunung Jati di Cirebon. Masjid Mantingan adalah masjid tua berdekatan dengan Makam Sunan Kalijaga yang sempat saya singgah dalam daerah Jepara.

      Jarak di antara Semarang (Lapangan Terbang) dengan lokasi Demak (Kota Wali) ialah sekitar 1 jam perjalanan. Jarak di antara Demak dengan Jepara juga sekitar 1 jam perjalanan dan jarak di antara Jepara dengan Kudus pula memakan masa yang sama (sekitar 1 jam perjalanan). Begitu juga dengan perjalanan ke Gunung Muria sekitar 1 jam perjalanannya dari Kudus (namun saya tidak berkesempatan ke Makam Sunan Muria dek kekangan waktu semasa berada di sana). Perjalanan menuju ke makam Sunan Muria perlu mendaki bukit. Kesemua lokasi yang saya sebutkan dapat saudara lawati/ ziarah dalam tempoh 1 hari kerana arah laluannya sehala. Namun perlu keluar awal pagi agar perjalanan dapat dilalui dengan selesa tanpa terburu-buru mengejar masa.

      Jika saudara berhajat berziarah/ melawat ke bahagian Jawa Tengah, saya sarankan seperti berikut:

      LCCT KL – Lapangan Terbang Semarang – Demak (Makam Kesultanan Bintoro-Demak) – Jepara (Sunan Kalijaga) – Kudus (Sunan Kudus) – Gunung Muria (Sunan Muria)

      Sekadar perkongsian pengalaman.
      Sekian. Terima kasih

       
  4. SITI NOR ASHIKIN

    March 11, 2013 at 13:20

    Salam, boleh kakak dapatkan no telefon supir ketika adik buat ziarah ke Masjid Agung Demak. Memandangkan suami kakak akan ke sana buat pertama kalinya pd April depan, so tak tahu nak contact siapa dan rate utk sewa mobil dan supir sekali.
    Tkasih atas bantuan nanti.

     
    • Akal Sari

      March 13, 2013 at 17:39

      W’salam Siti Nor Ashikin…

      Untuk keterangan lanjut tentang persoalan, mohon hubungi no talian 019 6972567. Terima kasih