RSS
 

Hari ke-4: Menjejak Dua Buah Mimbar Tua

Posted: May 13, 2012 at 10:27 pm

13 May

Tarikh : 24 Disember 2011
Lokasi : Bireuen – Pidie – Sigli -  Tanoh Abee – Banda Aceh

 

Setelah sekian lama menyepi, kini saya muncul kembali di laman sanggar ini. Catatan kali ini akan memaparkan siri perjalanan hari ke-4 (sambungan catatan sebelumnya). Banyak lagi foto rakaman yang terperap dalam album perjalanan. Kesibukan menyempurnakan bab akhir penulisan ilmiah selain persediaan dalam sesi pembentangan Road Map  for Art Education Through Asian Perspective yang akan berlangsung sekitar Jun depan di UNNES, Jawa Tengah menjadi kekangan untuk saya berkongsi rentetan perjalanan. Kini, tibalah masanya untuk saya menampilkan catatan yang tertunda sekian lama. Mujur ada catatan harian (diari peribadi) yang dapat dijadikan rujukan yang bertindak sebagai pengkalan data untuk mengenalpasti semula aktiviti yang telah dilalui mengikut turutan. Sejumlah foto yang dirakam juga umpama sistem merekod maklumat kerana terkandung info seperti tarikh, masa dan lokasi foto dirakamkan semasa berada di lapangan.


Dari Takengon (bahagian tengah Acheh), saya dan keluarga bermalam di Penginapan Djarwal di Bireuen. Sebaik melangkahkan kaki untuk memulakan perjalanan hari ke-4, saya baru menyedari bahawa terdapat info tertera pada banner yang digantung pada kepala pintu yang mencatatkan bahawa Bireuen dikenal sebagai Kota Juang di Acheh.

 

Singgah di kedai gambar untuk mencuci sekeping foto sebagai buah tangan kepada Pak Yasin yang merupakan Bilal Masjid Raya Labui di Sigli.

Seperti biasa, setiap siri perjalanan akan dipaparkan dengan terapi pandangan kehijauan alam yang tidak jemu dipandang.

 

Kunjungan pertama menuju ke lokasi masjid tinjauan iaitu Masjid Poteumeureuhom yang terletak di kemukiman Busu, Mutiara. Lokasi masjid ini dimaklumkan oleh seorang kenalan dari Acheh iaitu saudara Ajier Campees.

 

Saudara Mamuddin selaku bilal Masjid Poteumeureuhom berdiri di sisi mimbar kajian. Bilal muda berusia 20 tahun ini baru sahaja tiba di masjid ini sekembali dari bendang.

 

Saya agak teruja apabila diperlihatkan dengan kesan bekas tapak kaki Poteumereuhom di dalam ruang solat. Pada awalnya, saya tertanya-tanya siapakah Poteumeureuhom? Adakah gelaran tersebut diberikan kepada kerabat kesultanan Acheh yang pernah memegang tampuk pemerintahan atau gelar tersebut merujuk kepada Sultan Iskandar Muda. Persoalan ini sempat saya ajukan kepada Pengarah Muzium Acheh dan beliau memaklumkan bahawa gelaran Poteumeureuhom yang sebenarnya merujuk kepada Sultan Iskandar Muda. Di dalam masjid ini turut tersimpan khazanah lama iaitu manuskrip tulisan tangan yang dipercayai diperbuat sekitar 1600M.

 

Destinasi berikutnya adalah di Masjid Baitul Maaruf di Kandang. Keberadaan mimbar tua yang terdapat dalam ruang solat telah dimaklumkan oleh saudara Ajier Campees yang merupakan anak jati kampung ini. Lokasi masjid ini tidak jauh dari Masjid Poteumeureuhom yang dikunjungi sebelumnya.

 

Merakam foto kenangan bersama anak-anak yang menghadiri kelas agama di dalam kawasan masjid.

 

Dalam perjalanan pulang ke Banda Aceh, kenderaan kami berhenti di Masjid Raya Labui di Sigli. Ini adalah kali ke-4 saya singgah ke sini. Saya hadir ke mari untuk menyerahkan foto rakaman Pak Yasin yang pernah saya temui dalam siri tinjauan terdahulu. Sekadar ingin menyampaikan buah tangan berupa foto kenangan. Beliau tiada di ruang dalam atau di luar perkarangan masjid, namun dikhabarkan sedang menikmati minum petang di warung berdekatan.

 

Pak Yasin yang sedang bersantai agak terkejut melihat kedatangan saya ditemani ayahanda yang menurutinya sehingga ke warung berdekatan. Kami tidak pernah membuat temujanji melalui telefon apabila hadir ke sini, namun sudah rezeki bertemu. Beliau sering berada di masjid, justeru 3 daripada 4 kali kunjungan ke sini telah menemukan kami.

 

Lokasi terakhir adalah di Dayah Tanoh Abee, Aceh Besar. Hajat saya ke sini adalah untuk melihat lebih dekat mihrab tua di dayah ini. Kenderaan kami tiba pada waktu maghrib, justeru hajat untuk menjalankan penelitian ke atas subjek kajian perlu ditunda hari berikutnya.

 

Maklumat tentang Dayah Tanoh Abee…sila baca info tertera

~Catatan hari ke-5 bakal menyusul~

 

Leave a Reply