Tarikh : 23 Disember 2011
Lokasi : Danau Laut Tawar, Takengon
Sambung catatan perjalanan hari ke-3…Saya dan keluarga bermalam di Wisma Intan malam sebelumnya. Lokasi penginapan terletak di atas bukit dan di sisi kanannya mengalir air sungai yang menjadi batas sempadan di antara Wisma Intan dengan Masjid Asir-Asir (lihat foto di bawah).
Foto pemandangan dari arah Wisma Intan. Kelihatan kubah Masjid Asir-Asir dari kejauhan.
Perjalanan pagi ini berkeliling Danau Laut Tawar. Suasana hening di bendang dengan gunung-ganang melatari pandangan
Gerbang menuju ke Danau Laut Tawar
Dalam perjalanan singgah seketika merakam foto pemandangan gunung ganang yang dipayungi gumpalan awan
Angin bertiup, Awan berarak…Kisah menarik ingin saya kongsikan dengan khalayak, akan hadir musim awan berarak pada setiap tahun di Takengon. Pada musim inilah, spesis ikan dikenali sebagai ikan debik yang banyaknya sehingga boleh disauk. Jadi, kehadiran musim awan berarak umpama petanda musim ikan debik sudah tiba.
Cagar budaya Puteri Pukes (manusia jadi batu). Di sini terdapat sejumlah arca batuan yang dipahat pada dinding luar gua berupa anggota tubuh manusia seperti tangan, kaki, lidah dan sebagainya.
Gua Puteri Pukes…Tiada jurukunci semasa kami hadir ke sini, justeru hanya mengintai dari pintu berjeriji besi. Kelihatan binaan anak tangga yang diperbuat menuju ke bahagian bawah gua.
Batu pahatan berupa mulut dengan lidah terjelir dan kaki manusia di dinding luar gua. Penemuan objek cagar budaya ini membuatkan saya merasa agak janggal kerana ia menghadirkan suasana seperti berada di lokasi tapak candi.
Hampir 1 jam berlegar di sekeliling danau, terpandang kuda batu. Sebuah monumen prasasti pacuan kuda tradisional di Takengon.
Info yang tertera pada monumen…
2 pemuda berdayung menuju ke tengah danau. Barangkali ingin meninjau hasil tangkapan ikan pada jala atau pukat.
Seekor ulat sedang berehat dalam kelongsong…sesekali kepalanya tersembul seakan mengintai persekitaran.
Danau Laut Tawar bagai dipagari gunung-ganang. Sawah padi menghijau bak permaidani alam, luas terbentang sehingga ke kaki pergunungan.
Lokasi seterusnya adalah ke air terjun Mengaya
Terpesona dengan tompokan awan yang berarak di tengah banjaran
Air terjun dengan susunan batuan secara semulajadi bertingkat
Air terjun Mengaya
Buah kopi yang masih muda
Buah kopi yang sudah ranum ini, saiznya hanya sebesar guli. Tanah Takengon subur dengan tanaman padi dan buah kopi (termasuk kopi tahi musang atau lebih dikenali sebagai kopi luwak di wilayah Acheh). Harga secangkir (secawan) kopi mencecah RM18 dan ke atas.
Indahnya refleksi jalinan pergunungan pada permukaan danau
Tidak jemu mata memandang kehijauan, sebegitu jugalah tidak jemunya saya merakamkan keindahan alam melalui lensa kamera.
Petak-petak sawah
Kuda berkeliaran di jalanan…tidak pula saya terserempak dengan lembu sepanjang 2 hari berada di Takengon.
Indah, tenang & damai…3 patah perkataan untuk menggambarkan perasaan
Corak pada muka tebar layar mengundang perhatian. Motif Langkasuka yang sinonim dengan identiti ragamhias di Kelantan, Terengganu dan Patani ditemukan di bahagian Acheh Tengah.
Masa untuk pulang…hujan di sepanjang jalan menghadirkan perasaan bimbang. Kenderaan bertali arus bergerak perlahan sehingga akhirnya terpaksa akur untuk berhenti dek kejadian pokok tumbang dan tanah rebak di sana sini.
Agak lama juga kenderaan kami menanti sehinggalah laluan dibuka untuk meneruskan perjalanan menghala ke Pidie.
Laluan ini sedang dalam pembinaan. Justeru, aktiviti menarah tanah di bukit berdekatan menyebabkan air lumpur melimpah ke jalan semasa hujan.
Destinasi terakhir persinggahan adalah di Restoran Ser untuk menikmati makan malam…sesi isi perut sebelum menuju ke lokasi penginapan.
Sekian paparan catatan perjalanan hari ke-3 buat perkongsian. Bakal menyusul catatan berikutnya…





























Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain
April 2, 2012 at 21:46
Assalamualaikum,
Selamat berjumpa kembali. Saya telah menumpukan masa membangun kembali kegemilangan orang tua kita dengan memajukan kampong dan kawasan sekitarnya. Langkah selanjutnya menghubungkan persaudaraan yang sangat kukuh dahulu tetapi longgar sekarang. Ini saya akan lakukan melalui Pertubuhan Peladang dimana saya adalah ahlinya.
Saya kurangkan kajian mengenai keturunan kerana takut makan sumpah dari itu saya berhati-hati. Bab ini kita akan bincang dengan lebih terperinci kelak.
Sungguh cantik tempat yang puan lawati. Saya percaya ditempat kita juga ada yang menarik. Yang perlu adalah mencarinya dan dan memasarkannya.
Sekian, selamat maju jaya.
Akal Sari
April 10, 2012 at 22:22
Waalaikumsalam Y.M Raja Abdul Rahman…
Terima kasih sudi bertandang dan memberi sokongan. InshaAllah bakal menyusul pertemuan keluarga suatu hari nanti demi mempereratkan jalinan silaturrahim. Semoga usaha memajukan kawasan kampung dan sekitarnya beroleh kejayaan…Amin