RSS
 

Hari Ke-5: Jejak ke Makam Hamzah Fansuri

Posted: June 5, 2012 at 8:28 am

05 Jun

 

Tarikh : 25 Disember 2011
Lokasi : Banda Aceh dan Lamreh (Lamuri), Aceh Besar

 

Perjalanan hari ke-5 menuju ke lokasi kunjungan seperti tertera pada papan info.

 

Ziarah ke makam Tgk. Chik Di Lepeu di Kuta Lampanah, Kelurahan Mulia. Nama sebenar almarhum adalah Sheikh Baba Daud yang juga dikenali sebagai Daud bin Ismail Rumi yang berasal dari Turki. Dalam buku Katalog Naskah Dayah Tanoh Abee Aceh Besar (2010) mencatatkan bahawa, almarhum adalah guru kepada Sheikh Nayan (putera kepada Sheikh Fairus al-Baghdadi di Tanoh Abee). Tgk. Chik Di Lepeu juga dipercayai pernah menjadi salah seorang daripada murid Abdurrauf bin Ali al-Jawi al-Fansuri dalam tarekat Syattariyah.

 

Lokasi berikutnya ke kawasan makam yang seakan terbiar. Rata-rata daripada nesan di kawasan seluas setengah padang bola ini telah sendeng ke sisi.

 

Entah apa yang saya bicarakan di hadapan anak muda ini. Bila lihat semula gambar untuk dibuat seleksi, saya tersengih sendiri melihat lenggok sebegini. Hendak kata bagi penerangan tidak juga. Konon, macam bagus je gayanya…

 

Perjalanan diteruskan ke Kompleks Makam Raja-Raja Meukuta Alam (1500-1600). Sultan pertama yang memerintah Meukuta Alam adalah Sultan Munawar Syah. Di kompleks makam ini dimakamkan Sultan Syamsu Syah, putera daripada Sultan Munawar Syah yang dikenal sebagai Poteumeureuhom memerintah pada 1497-1514. Turut dimakamkan Laksamana Raja Ibrahim yang mangkat pada tahun 1523.


Ruang dalam kompleks makam. Kelihatan deretan batu nesan Acheh disusun sejajar

 

Klikkk!!! Selain rekabentuk mihrab dan mimbar, rekabentuk nesan  yang ditemukan menjadi salah sebuah daripada objek sasaran semasa tinjauan di lapangan.

 

Rekabentuk nesan di kompleks makam ini mengingatkan saya terhadap rekabentuk nesan plakpling di Lamreh.

 

Gerbang masuk menuju ke Komplek Makam Tgk. Di Bitay. Ini adalah kunjungan kedua saya ke lokasi ini.

 

Ziarah ke makam Tgk. Di Bitay. Pada kunjungan terdahulu, saya tidak mengetahui keberadaan makam ini kerana beranggapan makam Tgk. Di Bitay berada dalam kawasan kompleks makam berbumbung. Kedudukan makam ini terletak pada bahagian belakang bangunan berbumbung yang dimaksudkan. Salah seorang daripada ahli kumpulan yang turut serta iaitu saudara Mizuar Mahdi (bersusurgalurkan Tgk. Di Bitay) telah memaklumkan tentang kedudukan makam ulama ini.

 

Jurukunci membuka pintu galeri di Komplek Makam Tgk. Di Bitay. Kunci ini disimpan oleh waris Tgk Di Bitay yang bermastautin berdekatan kompleks makam.

 

Sebaik beredar dari Kompleks Makam Tgk. Di Bitay, saya dan ahli yang lain meneruskan perjalanan ke Ujung Pancu di Aceh Besar. Foto ini dirakamkan di awal laluan menuju ke makam Hamzah Fansuri.

 

Papan info di laluan masuk menuju ke lokasi makam

 

Berdiri di hadapan kawasan makam

 

Inilah makam Hamjzah Fansuri. Panjang makam ini melebihi 5.5 meter

 

Bergambar di sisi perahu di Ujung Pancu…terngiang-ngiang di telinga keindahan bait syair perahu karangan Hamzah Fansuri yang dikarang beberapa kurun yang lalu. Adakah di sini terbitnya ilham  sehingga terjelmanya syair perahu…



Singgah menikmati juadah tengah hari di Resto Ayam Goreng Fatmawati di Jalan Teuku Cik Ditiro yang terletak di Simpang Surabaya, Banda Aceh (Depan Gedung Sosial). Sekalung penghargaan buat team peneliti Acheh yang sudi meluangkan masa turut serta dalam siri jejak hari ke-5.

 

Perjalanan di teruskan ke daerah Krueng Raya di Lamreh (Lamuri). Lokasi sasaran terletak di kawasan pesisiran pantai iaitu berada di perairan Selat Melaka yang suatu waktu dahulu merupakan pintu gerbang yang menghubungkan dua pusat kebudayaan besar di Asia. Kegemilangan Lamuri pada pada masa tersebut sejajar dengan pusat perdagangan terkenal di Asia Tenggara seperti China, Barus, Kampai di Sumatera Utara, Pasai, Singkil, Temasik (Singapura), Melaka dan sebagainya. Maklumat tentang keberadaan Lamuri telah ditemukan dalam sebuah catatan Cina oleh Ma Huan dalam buku bertajuk Ying-yai Sheng-lan yang disebut sebagai Lam-Poli.

 

Foto ini dirakam dari arah atas bukit sebelum saya turun ke bahagian bawah menjejak nesan plakpling yang ingin dilihat lebih dekat.

 

Nesan plakpling yang ditemukan terletak dalam kawasan Benteng Kuta Lubuk. Ianya berbentuk empat persegi dengan bentuk yang semakin tirus ke atas (bentuk piramid yang tirus). Setiap bahagian sisi mempunyai ragamhias berunsurkan tumbuhan (flora).

 

Ragamhias pada salah satu dari sisi nesan plakpling. Motif tumbuhan dengan sulur mengapit di kedua bahagian. Motif ini turut ditemukan dalam ragamhias pada rumah adat khas Aceh, gunungan mimbar, gerbang masjid serta menjadi motif khas yang menghiasi kerajinan tangan, busana Acheh dan sebagainya.

 

Bertentangan dengan kedudukan nesan plakpling ditemukan terdapat kesan peninggalan benteng yang menjadi batasan antara daratan dengan kawasan pesisir pantai.

 

Sajian foto di sebalik benteng Lamuri sebagai penutup hari ke-5 perjalanan…

~ sekian ~

 

Leave a Reply

 
 
  1. AL-GHAZALI

    August 4, 2013 at 13:17

    Maqam hamzah fansuri yang sebenar di perkuburan ma’ala kerana terdapat batu nisanya tulisan parsi dan tahun kewafatannya.