Tarikh : 21 Disember 2012
Lokasi : K. Lumpur – Banda Aceh – Sigli
Perkongsian catatan ini adalah paparan perjalanan hari per-1 dalam sanggar Jejak Mihrab Acheh: Siri 6. Baru saya sedari bahawa genap 2 bulan foto ini terperap dalam “gobok” khas komputer riba. Kalaulah kepingan foto ini diibaratkan seperti kepingan roti, entah setebal mana la kulat yang bertempek di permukaannya. Sekadar berkias dalam tulisan untuk mengelakkan kebosanan…
Perjalanan kali ini saya sifatkan sebagai “serampang tak bermata” (kira macam main tembak-tembak tanpa peluru)…untung sabut timbul, untung batu tenggelam…tetapi kali ni nampaknya bagai tenggelam timbul! Perumpamaan ini bagi menggambarkan bahawa saya tidak sempat menyediakan sebarang jadual perjalanan sepertimana persediaan dalam 5 siri kunjungan terdahulu. Kira jadual kali ini saya susun dalam kepala ala-ala melengkapkan teka silangkata. Jujur saya katakan…jadual perjalanan kali ini agak santai. Hal demikian kerana saya membawa keluarga (termasuk seorang sepupu). Rancangan utama menuju ke Danau Laut Tawar di Takengon. Namun, lokasi tinjauan bagi menjejak mihrab dan mimbar tua tetap menjadi agenda selingan. Cagar budaya ini ibarat “santapan kegemaran”… Jika terjumpa, maka itulah “habuan” yang paling nikmat untuk ditelan. Jika hajat tak kesampaian, kelak kempunan! Mudah-mudahan ada jua penemuan subjek kajian di sepanjang perjalanan…
Dah selesa menyandarkan kepala di kerusi pesawat, tiba-tiba dapat arahan turun semula. Maka berduyun-duyunlah penumpang bergegas menuju ke anak tangga. Seperti biasa, saya akan membiarkan penumpang lain menyerbu pintu pesawat sambil saya memerhatikan pelbagai aksi dan gelagat.
Diringkaskan cerita (untuk mempercepatkan proses menyempurnakan catatan), pesawat yang rosak semasa di darat tadi digantikan dengan pesawat kedua yang membawa kami semua terbang…sedor-sedor dah berada di atas awan.
Tang ni yang agak kurang selesa…sebab kami perlu berdiri lama. Sebaik tiba di sini, telah masuknya waktu solat maghrib (jam waktu Malaysia dengan Indonesia berbeza 1 jam…namun masuknya waktu solat lebih kurang sama- jam 6.37 petang di sana sudah masuk waktu maghrib). Rasa lenguh kepala lutut dek menanti lebih 30 minit lamanya. Sudahlah penerbangan ketika berangkat tertunda gara-gara enjin pesawat rosak. Kali ni pula perlu menunggu lama. Sabo aja la…
Singgah dahulu ke salah sebuah kedai runcit dalam perjalanan ke Blang Bintang di Aceh Besar. Berhentinya kami di sini untuk membeli 10 kampit beras. Namun hanya 8 kampit sahaja yang ada sebelum saya borong semua (pesanan waris dari Malaysia yang meminta saya menyampaikan fidyah dan sedekah kepada anak-anak yatim dan fakir miskin). Saya dimaklumkan tentang beras yang semakin berkurangan. Dan ternyata benar, kerana hanya inilah satu-satunya kedai yang masih mempunyai stok beras di sekitar Aceh Besar pada hari tersebut.
Seperti siri perjalanan terdahulu, kunjungan pertama saya adalah menuju ke lokasi Dayah Nurul Huda (tempat berhimpunnya anak-anak yatim dan fakir miskin yang mana penghuninya di antara 110-120 orang jumlahnya). Sebaik tiba, di dapati anak-anak di dayah Nurul Huda ini sedang menjalani kuliah agama selepas solat isyak.
Penghuni ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan (barangkali dikelompokkan mengikut usia). Jika tidak salah, penghuni lelaki dibahagikan kepada 4 kumpulan berdasarkan pemerhatian saya semasa kunjungan. Kumpulan ini berada di ruang solat lelaki.
Semua penghuni perempuan pula ditempatkan di ruang solat bersebelahan
Dari Dayah Nurul Huda, kenderaan sewaan meneruskan perjalanan ke Sigli. Dalam perjalanan, kami berhenti makan di warung ini.
Perut masing-masing dah berkeroncong…kami sepakat order bakso
Jika di Acheh, hari-hari makan bakso pun saya sanggup. Merata lokasi saya singgah pekena menu ni, semuanya tidak dapat menandingi kelazatan bakso di hadapan Hotel Sulthan.
Selesai menikmati juadah, saya menuju ke seberang jalan. Nak beli kartu punya pasal…
Inilah nombor pilihan (tak sempat nak pilih pun…). Mata saya sebenarnya lebih peka dengan simbol berbanding angka. Saya sebenarnya lebih tertarik dengan simbol hati dan huruf AS- singkatan bagi nama pena ‘Akal Sari’…
Saya tamatkan catatan hari per-1 di sini…sambungannya akan menyusul nanti. Entah esok, entah lusa, atau entah bila-bila. Bergantung kepada kesesuaian masa. Sekiranya tidak berserabut kepala, maka akan menyusul pula catatan hari ke-2).












