Tarikh : 02 Oktober 2009
Lokasi : Peusangan – Pasai – Simpang Ulim
Dari hotel penginapan, team kami menuju ke rumah tradisional Tgk. Chik Awe Geutah di Peusangan. Saya hadir ke sini di atas permintaan saudara Arifin dari Yayasan Restu Aceh yang ingin melihat lebih dekat seni ukiran rumah adat khas yang masih utuh berdiri.
Kunjungan kami telah disambut baik oleh tuan rumah (waris almarhum Tgk. Chik Awe Geutah). Kami dijemput naik ke atas, lalu masuk ke bahagian dalam rumah untuk melihat lebih dekat khazanah lama yang masih tersimpan di dalamnya.
Sebuah kitab lama ini adalah di antara beberapa koleksi nashkah dengan tulisan tangan.
Ayat-ayat suci Al-Quran dihasilkan penuh kekemasan dan ketelitian dengan tulisan tangan.
Corak jidar pada lembaran mushaf dihasilkan penuh kehalusan. Lihatlah betapa telitinya perekacorak menghasilkan lakaran dengan mengolah motif dari unsur alam semulajadi.
Selain kitab-kitab tulisan tangan, turut tersimpan beberapa barangan lama. Salah satu daripadanya adalah terompah kayu.
Bahagian permukaan paha tangga juga turut dihiasi corak ukiran dari unsur tumbuhan.
Kedudukan makam Tgk. Chik Awe Geutah letaknya di bahagian hadapan sisi kanan rumah.
Foto makam Tgk. Chik Awe Geutah di dalam kawasan berpagar dan berbumbung.
Perjalanan diteruskan menghala ke Samudera Pasai dalam siri ziarah ke Kompleks makam Sultan Malik As Salih. Lebih kurang jam 1.10 tengah hari, kenderaan kami tiba di perkarangan kompleks makam. Oleh kerana team kami tiba pada hari Jumaat, maka saya menunggu ahli yang lain menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran. Kebetulan jurukunci makam juga tiada kerana berada di masjid berdekatan menunaikan solat Jumaat.
Lebih kurang jam 2.45 petang, saya dan ahli yang lain masuk ke ruang dalam kompleks makam.
Sesi ziarah berikutnya ke Kompleks Makam Puteri Nahrisyah yang lokasinya terletak tidak jauh dari Kompleks Makam Malik As Salih.
Makam Puteri Nahrisyah dihasilkan dari jenis batu pualam. Makam ini diklasifikasikan sebagai yang terindah di Asia Tenggara.
Lokasi terakhir tinjauan adalah di Masjid Simpang Ulim di bahagian Acheh Timur. Team kami tiba pada waktu maghrib di sini. Selesai tugasan…kami pun beredar dari kawasan masjid. Jejak seterusnya adalah meneruskan perjalanan mencari tempat bermalam untuk sesi pejam mata.













