RSS
 

Tapak Istana Lama Raja Musa

Posted: May 15, 2011 at 8:19 am

15 May

Tarikh : 08 Mei 2011
Lokasi : Istana Lama Raja Musa, Kg. Piong, Slim River


Setelah 7 hari berlalu, baru pagi ini (tanggal 15 Mei) timbul detikan yang kuat untuk menyempurnakan sambungan catatan jejak makam lama di Kampung Piong (lihat catatan sebelumnya di pautan> http://jejakmihrabmimbar.com/jejak-salasilah/5439/ ). Sewaktu menaip catatan ini, saya sudahpun berada di Ipoh. Saya dan keluarga tiba awal sehari sebelum agenda kunjungan ke Istana Raja Billah (Istana Papan). Kami bermalam di Hotel Hillcity. Perjalanan menjejak Istana Lama akan bermula setelah saya menamatkan catatan ini.

Sebaik terjaga subuh tadi, saya termangu mengimbas semula mimpi yang dialami dalam lena. Dalam mimpi tersebut, saya dan keluarga sedang melalui sebuah lorong di satu perkampungan entah di mana lokasinya. Pemandangan dilatari cagar alam dengan sungai di sisi kiri laluan. Sewaktu menghayati air sungai yang mengalir tenang, mata saya tertumpu kepada satu objek bergerak yang timbul di permukaan air. Setelah diamati, objek tersebut adalah belakang badan seekor buaya yang timbul di permukaan sungai. Ia sedang bergerak mudik ke hulu. Buaya tersebut seolah-olah berenang seiringan dengan kenderaan yang dinaiki.  Tiba ke destinasi akhir perjalanan, saya melihat sungai dipenuhi buaya yang luarbiasa besarnya. Jika pada awalnya perjalanan diiringi buaya berenang, namun di akhir perjalanan saya dipertemukan dengan sekumpulan buaya yang diam kaku seolah tidur di dalam air. Sungai tersebut kelihatan lebar dan cetek. Airnya jernih sehingga dapat dilihat dengan jelas semua buaya yang berdiam di dalamnya. Tiada seekor pun yang bergerak. Saya tidak pasti ke mana lokasi yang hendak dituju, tetapi langkah akhir terhenti di kaki tangga batu berdekatan gigi air sungai. Sedang saya cuba untuk melangkah naik ke anak tangga pertama, kelihatan 2 ekor buaya besar turut berada di situ. Pada mulanya saya khuatir untuk menaiki anak tangga kerana bimbang buaya tersebut menerkam lalu membaham kaki. Namun, telahan saya meleset apabila buaya tersebut hanya kaku tanpa bergerak walaupun saya meletakkan kaki di sebelah kepalanya. Lalu saya melangkah jua dari anak tangga per-1  ke anak tangga ke-2. Di situlah langkah terakhir saya sebelum saya tersedar dari lena.

Biasanya catatan atau rentetan peristiwa dalam sanggar ini akan dijalin mengikut turutan masa. Namun, kali ini saya ketengahkan secara imbas semula.  Bahagian pendahuluan ini mempunyai perkaitan dengan  siri jejak makam waris teratas saya di Kampung Piong. Berdasarkan beberapa ilham dan petunjuk yang diperolehi , saya percaya bahawa bonda kepada moyang yang bernama Raja Aminah (isteri Muhammad Ali bin Haji Mustafa Raja Kamala) adalah waris keturunan Raja Billah. Berikut saya paparkan episod perjalanan tanggal 8 Mei 2011 (seminggu yang lalu). Siri ini adalah kesinambungan daripada catatan bertajuk Dari Kampung Piong ke Teluk Memali.

 

Tapak asal Istana Lama Raja Musa bin Raja Billah. Kami dibawa Raja Amir bin Raja Mohammad Dain (73 tahun) ke kawasan ini yang agak terpencil kedudukannya di Kampung Piong. Kunjungan saya sedang dinantikan oleh Raja Abdul Rahman (adinda Raja Amir) yang pulang hampir setiap minggu ke sini.

 

Foto Istana lama Raja Musa bin Raja Billah di Kampung Piong, Slim sebelum dibaikpulih. Kawasan yang dahulunya belukar kini telah dibersihkan oleh waris Raja Musa bin Raja Billah.

 


Foto kenangan Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain bersama waris yang berziarah dari Pahang. Rumah dalam foto terletak tidak jauh dari tapak Istana Lama Raja Musa.

 

Sebaik tiba, saya sekeluarga dijamu pulut kuning berlaukkan rendang ayam. Pencuci mulut pula bubur durian. Agak terkejut kerana kunjungan kami seolah diraikan oleh tuan rumah. Namun saya difahamkan, rezeki yang terhidang dihantar secara kebetulan oleh adindanya. Hmm…kebetulan ini seolah sesuatu yang telah diaturkan. Gerak hati manusia digerakkan oleh Yang Maha Berkuasa.

 

Sesi bersoreh dengan Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain bin Raja Wahid bin Raja Musa bin Raja Billah. Informan bersusurgalurkan  Raja Billah (piut Raja Billah). Beliau bermastautin di Kelana Jaya tetapi sering pulang bertamu pada hujung minggu ke istana lama yang diumpamakan seperti istana hinggap.

 

Selain Raja Abdul Rahman, seorang kakandanya iaitu Raja Amir (duduk membelakangkan kamera) turut serta dalam sesi bersoreh.

 

Ruang dalam Istana Lama setelah dibaikpulih. Suatu masa dahulu, terdapat balairung di istana ini. Malah, terdapat juga singgahsana. Justeru, untuk mengenang semula khazanah lama yang telah tiada, sebuah ruang khas seakan singgahsana (tirai kuning) telah diwujudkan di dalamnya.

 

Pemandangan luar kawasan istana lama dari luar jendela…

 

Hujung senjata yang patah secara serong telah “diasah” sehingga senjata yang asalnya didakwa sebilah pedang telah bertukar menjadi keris. Barangkali mereka yang lebih arif dapat menghuraikannya…saya cuba merungkaikan berdasarkan beberapa petunjuk yang dikongsikan oleh pemiliknya, berdasarkan info dari pihak muzium dan kenalan yang membuat kajian tentang senjata warisan.

Semasa pertemuan tempoh hari, Raja Abdul Rahman ada menceritakan pengalaman beliau berhadapan dengan peristiwa yang agak aneh. Dikisahkan, beliau pernah terserempak dengan seekor buaya yang timbul di permukaan air sewaktu melalui sebatang sungai. Buaya tersebut mudik ke hulu…seolah-olah mengiringi perjalanan pergi. Sewaktu dalam perjalanan pulang pula, seekor buaya timbul dipermukaan mudik ke hilir…seolah-olah mengiringi perjalanan pulang. Kisah tersebut dilalui setelah beliau menemui bilah buaya berenang di tapak istana lama Raja Musa bin Raja Billah.  Peristiwa tersebut beliau anggap sebagai sesuatu yang misteri. Saya pula sekadar membuat telahan, ia ada kaitan dengan penemuan bilah buaya berenang yang beliau temui. Sekiranya beliau bertemu buaya berenang di alam nyata, saya pula dipertemukan dengan buaya berenang di alam mimpi. Mimpi yang saya alami pula terbit tatkala saya berhajat menjejak Istana Lama Raja Billah.


Senjata lama yang didakwa sebilah keris. Namun, setelah merujuk kepada kenalan (pengkaji senjata warisan), ianya dikenali sebagai Pedang Buaya Berenang. Bilah tanpa hulu ini dijumpai semasa Raja Abdul Rahman sedang mencangkul tanah beberapa langkah dari binaan istana lama. Bilah ini dikatakan ada sambungannya berdasarkan kesan patah pada bahagian hujung bilahnya setelah pemiliknya merujuk kepada pihak muzium. Oleh kerana hujungnya patah secara serong, maka pemiliknya beranggapan ianya adalah sebilah keris berdasarkan saiznya yang pendek.

Penemuan bahagian hujung senjata (seperti yang saya pegang…bahagian luarnya bersalut tanah yg telah mengeras) oleh piut Raja Billah di kawasan istana lama selepas itu akhirnya membenarkan jawapan pihak muzium sekaligus menyokong dakwaan kenalan yang mengatakan ia adalah sebilah pedang.

Semasa pulang dr bersoreh, saya mendapat “ilham” bahawa bilah (yang menurut saya pedang) patah kepada beberapa bahagian. Sehari kemudiannya saya dikejutkan dengan kiriman pesanan dari pemilik senjata yang mengatakan beliau menemui 2 lagi serpihan besi seperti pedang sebaik saya beredar dari tapak istana lama. Raja Abdul Rahman turut bersetuju dengan telahan saya melalui 2 kiriman sistem pesanan ringkas  yang agak panjang berbunyi:

“Ilham mengatakan pedang dikerat mungkin benar kerana dikhabarkan pewaris pedang moyang telah menyerahkan kepada seorang tua yang dikhabarkan mengeratnya menjadi pisau. Beliau menjadi lumpuh dan meninggal lepas itu. Adek saya dikhabarkan ada jumpa pisau/parang. Dia menjadi panas baran dan akhirnya membuangnya. Tidak tahu di mana ia dibuang kerana adek telah meninggal 11 tahun lepas…”  (11 Mei, jam 09:23)

“Iktibar daripada kejadian ini…pada masa dulu orang kita cuai dan menyerahkan barang berharga kepada orang. Pedang tanda kekuasaan dikerat orang menjadikan keturunan berikutnya hilang arah dan kepimpinan. Dengan bercantum kembali simbol kekuasaan kita, Insyaallah kita akan kuat kembali. Yang tersirat kita bukanlah sebarang orang yang mungkin ada ilmu dan beramal dengannya. Oleh kerana kita tidak diberitahu mengenainya, kita telah mengabaikannya menjadikan kita macam ini sekarang.” (11 Mei: jam 13:08)

* Barangkali, bilah yang saya lihat pada hari pertemuan adalah pisau yang dimaksudkan. Pisau tersebut adalah bahagian yang telah dikerat oleh lelaki tua tersebut. 2 bahagian besi yang dijumpai sebaik saya pulang pula adalah keratan bilah pedang yang sama. Wujud kemungkinan, bilah tersebut dibuang oleh almarhum adinda Raja Abdul Rahman ke tapak istana lama. Seolah almarhum memulangkan semula bilah tersebut ke tempat asal ia dijumpai apabila tidak serasi untuk dimiliki.

Saya hanya membuat telahan, apakah penemuan ini “petanda” wujudnya pertalian antara kami. Besi senjata warisan yang patah beberapa bahagian akhirnya dijumpai semula. Ia simbolik kepada jejak pertemuan saya dengan piut Raja Billah. Seolah “bertaut kembali” silaturrahim di antara 2 buah keluarga.

~Wallahualam…hanya Allah mengetahui yang lebih baik

 

 
 

Leave a Reply

 
 
  1. Merbawi Jr.

    May 16, 2011 at 12:06

    Salam… Kak, jangan lupa, banyak buaya-buaya juga di darat… haha :) Dah sampai Istana Raja Billah tu balik jangan lupa pi tengok filem ‘Penunggu Istana’… hehe gurau je.

     
    • Harleny Abd Arif

      May 20, 2011 at 13:36

      Wsalaam Merbawi,
      Buaya2 darat dah berkarat…hahaha
      Ttg istana yang dikata kononnya ‘berpenunggu’ @ “berpuaka” sebenarnya “strategi terlampau” jer. Takdak apa aih…tenang ja kat tempat tu. =)

       
  2. Radzi Sapiee

    May 16, 2011 at 20:19

    Harleny, mimpi tu memang ada makna. Tempat buaya berhenti kaku tu mungkin pengakhiran pada pencarian yang akan menjawab kaitan antara Haji Mustafa, kerabat Rawa, kerabat Mandailing dengan kerabat diraja Aceh-Bugis. Rasanya elok Harleny concentrate kat bab ini sampai selesai, lupakan perkara lain dahulu (kecuali kerja dan buat thesis).

    Bab pedang yang dipotong/pecah dan kata dah jumpa lagi 2 bilah. Apakah ia cukup untuk menjadikan pedang yang asal? Kalau cukup maka ini bermakna 3 bilah membentuk satu pedang atau pedang asal dipecah/potong jadi 3. Mungkin benar ada kaitan dengan cerita yang Harleny dapat dari Aceh tentang 3 bersaudara yang meninggalkan Aceh suatu masa dahulu, kira-kira zaman sejurus sebelum Belanda menyerang 1873 kan?

    Perhatikan, dengan secara tak sengaja terkeluar perkataan bilah dan asal… seperti kaitan Raja Bilah (yang dikatakan anak saudara) dengan Raja Asal. Mungkin Raja Asal tu senior. Yang dikira 3 bersaudara (mungkin sepupu mungkin beripar) adalah Haji Mustafa, Raja Bilah malah Raja Berayun sekali yang ada darah Raja Asal atau adik-beradiknya?

     
    • Harleny Abd Arif

      May 20, 2011 at 14:30

      Radzi,
      Mimpi bertali temali…saling berkait antara satu sama lain. Nampaknya kena kait sampai siap!
      Tentang raja-raja yang disebutkan juga punya pertalian…cuma jika nak rungkai kena telusuri salasilah di Tanah Asal (Istana Lama Tapanuli Selatan) .

      Berdasarkan temubual secara lisan (melalui talian, 19 mei: 15.34) dengan salah seorang piut almarhum Raja Berayun, Raja Asal dikatakan anakanda saudara kepada Raja Berayun. Perkaitan keduanya seperti berikut:

      Raja Berayun adalah anak bongsu daripada 5 bersaudara. Raja Asal adalah putera kepada kakanda ke-2 Raja Berayun yang bernama Sultan Soripada. Raja Billah pula adalah anakanda saudara kepada Raja Asal (perkaitan secara tepat tidak dapat dirungkai). Jadi, sekiranya Raja Billah anakanda saudara kepada Raja Asal yang merupakan anakanda saudara pula kepada Raja Berayun…maka, Raja Billah adalah pangkat cucu kepada Raja Berayun. Walau pun ketiga-tiga mereka hidup pada zaman yang tidak jauh jarak waktunya, keadaan tersebut tidaklah mustahil. Hal demikian kerana, wujud kemungkinan bapa saudara dan anakanda saudara hampir seusia (Raja Berayun selaku putera bongsu hampir sebaya usia dengan putera kakandanya keduanya iaitu Sultan Soripada. Justeru, Raja Asal pula tidaklah terlalu jauh jarak usia dengan Raja Berayun yang berpangkat “datuk @ datuk saudara”). Ttg perkaitan mereka ber-3 dengan Haji Mustafa Raja Kamala pula berdasarkan apa yang telah dijelaskan dalam catatan. Saya sedang berusaha merungkaikan persoalan. Cuma apa yang masih saya ingat semasa sesi temubual dengan salah seorang informan di Rao (2004) bahawa marga Jambak, Mandailing dan Rawa terdiri daripada rumpun yang sama (barangkali berkongsi adat, nilai, religi dan budaya).

       
      • Ley Chelsea

        September 14, 2011 at 12:05

        assalamualaikum puan…crt2 puan mmg best…saya mmg minat dgn sejarah2 lama tue…erm,ttg crt “penunggu istana” tue betul ke puan??atau gimik jer…

         
        • Akal Sari

          March 4, 2012 at 22:43

          Wsalam Ley Chelsea…

          Maaf terlepas pandang komen saudara…

          Pandangan saya secara peribadi, di mana2 wujudnyanya makhluk ghaib. Cuma secara mata kasarnya tak nampak. Perihal kisah penunggu istana tu, memang betul…tapi penunggu yang saya maksudkan ni semua orang boleh nampak…sebab penunggu ni adalah waris Almarhum Raja Billah yang rumahnya bertentangan dengan Istana Papan. Kategori penunggu jugak tu… =)

           
      • jauhar alam

        March 4, 2012 at 13:00

        salam puan,
        setau saya kalau di mandailing sama dgn Rao gelar yg mereka gunakan ialah “sutan”, bukan “sultan”.
        raja bilah ayahnya ialah raja tedung berani, adik-beradik dgn raja asal. kerana itu raja bilah adalah anak saudara benar kpd raja asal. mereka ini adalah titisan keturunan Sutan Di Aru @ Si Baroar.
        terima kasih puan.
        wassalam.

         
        • Akal Sari

          March 4, 2012 at 23:12

          Wsalam Jauhar Alam

          Terima kasih kerana sudi bertandang dan berkongsi pandangan. Ya memang benar, jika dalam salinan salasilah dari Maindailing tertera gelar Sutan (kod huruf St. digunapakai sebagai singkatan pada pangkal nama). Saya juga keliru, namun berdasarkan kod huruf dan keterangan singkatan, tiada satu pun jumpaan gelar Sultan sehingga saya membuat telahan Sutan itu adalah berdasarkan ejaan dan sebutan suku mandailing. Jika di Kota Raja, Rao…gelaran Tuanku digunapakai (Tuanku Rao) begitu juga di Bonjol (Tuanku Imam Bonjol). Di Indonesia sahaja lebih daripada 500 suku yang ada, lalu kita akan menemukan sejumlah gelaran yang berbeza-beza.

          Justifikasi memberi gelar Sutan @ Sultan adalah kerana melihat susurgalur jurai keturunan yang terkemudian memakai gelar Raja. Jadi timbul pertanyaan, apakah gelaran “Raja” muncul secara tiba2 pada pangkal nama generasi kemudiannya tanpa pemakaian gelaran oleh generasi teratas (Sultan untuk ayahanda dan Raja untuk puteranya)…namun anggap saja kenyataan saya tadi ini telahan semata-mata. Beberapa gelaran lagi yang sinonim digunapakai oleh suku Mandailing selain Sutan dan Raja adalah seperti Tuan, Patuan, Mangaraja/ Mangaradja, Baginda dan sebagainya.

          Salasilah dari Istana Mandailing juga mencatatkan perkaitan susurgalur jurai keturunan Raja Asal, Raja Billah, Raja Berayun dengan Alexander Zulkarnain yang turut mengembangkan zuriat Raja Siram di Palembang, Sang Si Perba di Pagar Ruyung termasuklah Si Baroar dengan gelaran St. di Aru.

          Wallahualam…

           
        • Rosli Adnan Nasution

          October 16, 2013 at 21:16

          Saudara Jauhar Alam, saya nak bertanya Tuan ada ke Tarombo asal yang mengatakan begitu

           
      • Rosli Adnan Nasution

        October 16, 2013 at 21:31

        Saya ada menyimpan salahsilah Raja Barayun dan keturunannya yg dikiri tem,an dari Panyabungan Mandailing,Masih ada cicitnya Raja Anuar bin Raja Muhamad bin Raja Alang bin Raja Barayun bin Mangaraja Tinaring bin Sutan Kumala Porang bin Mangaraja Tinating bin Sutan Kumala bin Mangaraja Soalohon(Pidoli Lombang) bin Sutan Kumala Syang Yang Dipertuan bin Baginda Mangaraja Enda(Padoli Tonga) bin Patuan Natoras bin Patuan Muksa bin Sibaroar Gelar Sutan Diaru Nasution, Manakala anak saudara Raja Barayun adalah seperti berikut, Md Hidayat dan Sutan Soripada anak kepada Raja Asal bin Sutan Soripada bin Mangaraja Tinaring bin Sutan Kumala Porang bin Mangaraja Tinating bin St Kumala bin Mangaraja Soalohan. Dengan ini Raja Asal dan Raja Alang adalah bersepupu, saya kini sedang mencari kedudukan Raja Bilah kerana ia dikatakan Anak saudara Raja Asal dan ada juga yang mengatakan Raja Asal tiada mempunyai anak, tetapi didalam salahsilah ini Raja Asal ada 2 orang anak iaitu Md Hidayat dan Sutan Soripada, sudah menjadi kebiasaan org Mandailing memakai sesuatu nama dan gelar itu berturutan,

         
  3. Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain

    July 21, 2012 at 16:32

    MISTRI PEDANG BUAYA BERENANG

    Pada 8hb Mei 2011 Puan telah berkunjung ke Istana lama Raja Musa. Setahun selepas itu pada 19hb Mei 2012 saya telah jumpa sebilah mata pedang 64 cm panjang tertanam di permukaan tanah tidak jauh dari Istana. Saya membawanya ke Petaling Jaya dan minta kawan saya memasang ulu dan sarongnya.

    Pada 4hb Julai 2012 saya dengan beberapa saudara menziarahi Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak. Saya tiada langsung merancang membawa Pedang itu ke Beting tetapi perkara-perkara berikut telah berlaku :-

    (i ) Pada petang 3.7.2012 saya ternampak kain serban yang saya beli di Mekah pada tahun 1983 dan hati saya tergerak untuk membungkus Pedang dalam kain tersebut dan membawanya ke Istana Raja Musa .

    (ii ) Selepas sembahyang Maghrib di Istana tergerak pula hati saya membungkus Pedang dalam 7 helai kain pelbagai warna yang ada di Istana dan membawa Pedang ke Beting.

    Pada jam 9.30 pagi pada 4.7.2012 kami naik Bot ke Beting dari Bagan Datok. Diwaktu Bot berada diantara Mahligai yang terletak di tepi Sungai Perak (tempat DYMM Sultan Perak ziarahi selepas ditabal sebagai Sultan ) dan Beting Beras Basah orang Bot mengambil galah menyukat paras air sungai. Saya dengar beliau berkata “paras pinggang”. Seperti lazimnya apabila air paras pinggang saya pun turun Bot. Alangkah terkejutnya sungai dalam dan airnya deras.Saya terpaksa berenang dengan penoh tenaga balik ke Bot.

    Selepas menaiki Bot semula dan sampai di Beting kami bersiar-siar di Beting menikmati tiupan angin nyaman. Kami mandi-manda dan berdoa di Beting sebelum balik ke Bot semula.

    Kami makan beramai-ramai atas Bot dan diantara menunya “pulut kuning ayam rendang”. Orang Bot bertanya mengapa saya turun semasa air masih dalam. Saya jawab memang menjadi kebiasaan saya tidak berlengah-lengah turun apabila air paras pinggang.Beliau menjelaskan apabila beliau menyatakan “paras pinggang” maksud beliau Bot akan berhenti apabila air sungai sedalam paras pinggang. Pada masa itu air masih dalam lagi.

    Saya menjelaskan kepada semua yang hadir sudah ditakdirkan saya berenang di Sungai Perak kerana Pedang yang saya bawa berjenama “Pedang Buaya Berenang”. Peristiwa yang membuat saya berenang yang tidak dirancang adalah pelengkap kepada “mistri Pedang Buaya Berenang ” yang saya jumpa di Istana Raja Musa. Tidaklah diketahui samada akan timbul lagi peristiwa-peristiwa menarik berhubung kait dengan Istana Raja Musa pada masa akan datang.

    Selamat berpuasa Bulan Ramadhan semoga Allah mengurniakan kita malam Lailatul Qadar.

    Raja Abdul Rahman bin Raja Mohammad Dain

     
    • Akal Sari

      July 23, 2012 at 21:16

      YM Raja Abdul Rahman…
      Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman. Pandangan saya secara peribadi, setiap yang kita lalui tiada yang “kebebetulan” melainkan dengan izinNYA. Seperti mana saya diraikan dengan juadah pulut kuning dan rendang ayam ketika berkunjung ke istana lama lebih setahun yang lalu. Jika sudah rezeki, di hadapan mata hidangan tiba…andai tiada rezeki, yang sedang dijamah dalam mulut boleh terkeluar jadinya.

      Bagi diri saya sendiri yang sering melalui peristiwa yang disifatkan “kebetulan” (sudah ditakdirkan) sebenarnya adalah ketentuan. Adakala bila berkongsi cerita dengan individu yang kurang memahaminya, pelbagai persepsi diterima. Namun, saya yakin setiap sesuatu yang hadir itu ada yang tersembunyi di sebaliknya. Ada kala, kita membuat telahan terhadap sesuatu…ia saya sifatkan sebagai gerak hati dalam erti kata “ilham hadir secara tiba-tiba” namun, ia tergerak pun dengan izinNYA. Adakala sukar pula untuk menjelaskan walau pun cuba menyusun kata…lalu saya menutup persoalan yang diajukan dengan mengatakan “Ia subjektif” atau bersifat “abstrak” …

      Kisah yang dikongsikan Tuan amat menarik bila saya membacanya…seperti yang pernah saya kongsikan dalam catatan sebelumnya…saya menelusuri kisah buaya berenang dalam mimpi sebelum menjejakkan kaki ke istana Raja Billah di Papan, Perak sedangkan Tuan melaluinya di alam realiti. Malah sejak dari kunjungan tersebut, saya kerap mendapat mimpi melihat kumpulan buaya yang diketuai seekor buaya di hadapannya. Bentuknya bukan seperti buaya biasa tetapi luarbiasa besarnya dengan kepala berbentuk melengkung, berbeza dengan buaya biasa di alam realiti yang tirus muncungnya. Ada juga bermimpi melihat beting yang timbul di muara/ sungai. Saya tidak memahaminya lalu sukar merungkaikan apa yang tersirat di sebaliknya. Barangkali apa yang saya telusuri hari ini ada jawapannya di kemudian hari.

      Hanya Allah mengetahui yang lebih baik…

      Salam Ramadhan..

       
  4. firdaus faiz

    August 1, 2012 at 12:26

    assalamualaikum YM Raja Abdul Rahman ….maaf sekirannya menganggu sekirannya ada terbaca komen saya ..sudi lah kirannya untuk memberikan saya no tel YM Raja Abdul Rahman ..kerana saya perlu bertanyakan beberapa perkara penting …sekirannya YM mahu menghubunggi saya bolehlah email kan kepada saya di fido666@gmail.com…maaf sebelum tu nama saya ahmad firdaus bn muhamad faiz….