RSS
 

Unsur Keindahan Bahasa dalam Teks Hikayat

Posted: February 19, 2010 at 5:06 pm

19 Feb

Keindahan menurut takrifan Teuku Iskandar merujuk kepada perihal indah, kecantikan dan keelokan. Definisi keindahan dalam tradisi Melayu seperti yang dirumuskan oleh V.I Braginsky pula merupakan sesuatu yang luar biasa dan beraneka ragam. Seterusnya, beliau menambah bahawa, “…keanekaragaman itu, atau seluruh manifestasi benda yang indah, diatur dan disesuaikan dengan harmoni.”

Dalam teks hikayat, unsur-unsur keindahan bahasa diaplikasikan untuk menyalurkan pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu tema dan persoalan. Unsur bahasa dalam sesebuah teks hikayat secara tidak langsung merupakan cerminan jati diri penulis kerana khalayak dapat mengenali diri pengarang melalui penggunaan gaya bahasa dalam teks yang dihayati.

Antara beberapa contoh unsur bahasa yang sering didapati dalam teks hikayat ialah metafora, personafikasi, simile, hiperbola, simbolik, repetisi dan sebagainya. Unsur bahasa ini digunakan dalam teks hikayat bagi menimbulkan keindahan dan kepelbagaian maksud cerita.

Seni keindahan bahasa dalam sastera hikayat dapat diperhatikan melalui gambaran pelukisan taman-taman, kejelitaan puteri, keindahan pakaian dan sebagainya oleh pengarang teks hikayat.

Dalam Hikayat Indraputra umpamanya, pengarang telah mengguna dan memanipulasikan unsur bahasa bagi membentuk cerita. Di antara gaya bahasa tersebut ialah unsur personafikasi yang digambarkan dalam satu babak di mana tokoh utamanya menguasai hikmat bukit permata yang sangat merdu bunyinya. Gambaran tersebut dinyatakan oleh pengarang sebagai berikut:

Seketika lagi bukit permata itu pun berdengung-dengunglah seperti bunyi buluh perindu, terlalulah indah bunyinya itu. Maka Indraputra pun duduk seketika, maka ia pun segeralah berjalan daripada itu. Sebermula jikalau lain daripada Indraputra nescaya tinggallah ia di sana dengan sebab bunyinya itu, demikianlah adanya.

Dalam hikayat ini juga, pengarang telah mengaplikasikan unsur metafora iaitu laut berahi bagi memperlihatkan rasa kagum terhadap kejelitaan Puteri Candera Lela Nur Lela yang tiada tolok bandingnya seperti berikut:

Maka tuan puteri pun tersenyumlah seraya memandang ke bawah mahligai itu. Maka anak raja itu pun memandang ke atas. Maka sama terpandang muka tuan Puteri Candera Lela Nur Lela dengan anak raja itu. Maka anak raja itu pun seperti lenyaplah rasanya ia dalam laut berahi itu, sebab terlalu elok rupanya tuan puteri itu. Kalakian maka anak raja itu pun tergelincirlah kakinya itu daripada yang keemasan itu, lalu jatuh ke atas tangganya pedang itu. Maka jadilah penggal dua tubuhnya itu lalu mati.

Selain itu terdapat repetisi perkataan maka yang digunakan oleh pengarang. V.I. Braginsky menjelaskan bahawa frasa-frasa yang akan diawali dengan kata penghujung maka dalam hikayat Melayu, “seakan-akan mencontoh semacam model umum sastera naratif Arab-Parsi yang bersifat prosa.”

Unsur repetisi yang sama juga turut didapati dalam teks Hikayat Syah Mardan apabila pengulangan nama Allah Taala diulang bagi menegaskan tentang kebesaran Ilahi. Selain itu, turut diselitkan unsur  diksi yang dipinjam daripada bahasa Arab apabila khalayak dipertemukan dengan khalimah usalli fardhal zuhri. Misalnya:

Adapun tatkala kita mengatakan usalli fardhal zuhri itu mengerat namanya dan sahnya naik saksi kita ke atas arasy Allah Taala, maka kita melihat kebesaran Allah Taala.

Dalam teks hikayat ini, penggunaan perkataan abdun, rabbaniah, arasy, kursy, luh dan kalam turut ditemui. Menurut Shafie Abu Bakar, peningkatan sesebuah karya sastera yang baik boleh dilihat daripada dua aspek iaitu lahiri dan maknawi. Lahiri merujuk kepada teknik di dalam pengkaryaan yang melibatkan bentuk, struktur, plot, watak, bahasa dan sebagainya. Maknawi pula merujuk kepada isi, tema, idea, mesej, sudut pandangan, nilai dan sebagainya. Kesemuanya merupakan elemen-elemen di dalam membina sesebuah karya sastera. Beliau menjelaskan bahawa proses pembinaan karya secara kreatif, indah dan sempurna merupakan takmilah sastera.

Dalam Hikayat Cekel Waneng Pati, pengarang menggunakan unsur hiperbola sebagai salah satu cara menarik perhatian khalayak. Seni keindahan bahasa sedemikian dapat diperhatikan apabila pengarang memberi gambaran susuk tubuh dua watak iaitu Astra Jiwa dan Si Butatil sehingga menimbulkan rasa geli hati khalayak yang menghayati teks tersebut dengan mengatakan:

Namanya baik yang kemudian itu, jambulnya hanya tiga helai, hidungnya kapak, perutnya besar, tubuhnya bagai kerbau; yang seorang lagi itu hidungnya besar, tangannya dengkul, rambutnya habis bubut.

Kepelbagaian atau keanekaragaman seni keindahan bahasa dalam teks sastera hikayat dapat menambahkan keindahan dan mengelakkan kejemuan. Kepuitisan bahasa yang digunakan dapat memberi kesan kepada khalayak yang menghayati rentetan peristiwa teks yang dibaca.

Karangan indah sesebuah karya bercorak sastera hikayat oleh pengarang yang arif lagi bijaksana, mampu menghasilkan pengaruh yang menenangkan dan menyembuhkan jiwa (menglipur) para khalayak. Justeru, V.I. Braginsky dalam buku karangannya bertajuk Yang indah, berfaedah dan kamal: sejarah sastera Melayu dalam abad 7-19 menyifatkan karya sastera Melayu klasik sebagai, ‘alat penglipur/ penghibur hati dipahami sebagai salah satu di antara fungsi-fungsinya yang terpenting.”

 

Leave a Reply

 
 
  1. leana

    March 2, 2010 at 14:44

    thumb up…semoga segala usaha anda berbaloi ;)