RSS
 

Puji-Pujian Terhadap Rasulullah Menjelma dalam Genre Sastera, Khususnya Puisi. Pembicaraannya Merangkumi Pelbagai Aspek Kehidupan Baginda

Posted: February 23, 2010 at 3:46 pm

23 Feb
 

Kekuatan politik Nabi Muhammad telah menjadi kuat apabila umat Islam berjaya mengalahkan orang Quraisy dan menakluk kota Mekah pada tahun 629 Masihi. Dengan kejatuhan Kota Mekah, penyair-penyair Arab yang mencaci agama Islam dan menghina Nabi Muhammad dalam puisi mereka merasa gentar dan mulai khuatir tentang hukuman yang bakal diterima. Dengan perubahan politik tersebut, penyair-penyair Arab mulai mengubah sikap mereka dan juga tema-tema puisi yang diciptakan. 

Hj. Zainal Arifin Abbas dalam bukunya bertajuk  Peri Hidup Muhammad Rasulullah S.A.W (1969: 28) menerangkan bahawa, satu, dua, atau tiga bait syair yang dapat memberika pujian yang tinggi kepada seorang pembesar dapat menjadikan seseorang itu dipandang mulia dan membuka ruang untuk hidup lebih senang. Sebaliknya, satu, dua atau tiga bait syair yang dikesan menghina para pembesar, khalifah ataupun amir-amir dapat mencelakakan penyairnya. Justeru, bukan sedikit leher penyair yang dipenggal kerana syair gubahan mereka. 

Sebagaimana diketahui, kedudukan syair dalam masyarakat Arab sangat berpengaruh sekali, terutama dalam mensasarkan suatu perjuangan termasuk perjuangan menegakkan agama Islam. Sikap Rasulullah terhadap puisi umpamanya sangat menggalakkan kerana tindak tanduk Baginda sendiri mencerminkan kegemaran Baginda terhadap puisi-puisi bermutu. 

Pernah dikisahkan dalam suatu perjalanan bersama seorang sahabat, Rasulullah S.A.W. telah meminta sahabat baginda mendeklamasikan puisi gubahan Umaiyah bin Abi al-Salt, seorang penyair praIslam. Apabila sahabat Baginda berhenti bersyair, Rasulullah S.A.W. meminta sahabat tersebut menyambung semula sehingga ke seratus baris. Setelah selesai puisi tersebut dideklamasikan, Rasulullah bersabda bahawa di dalam puisi itu, Umaiyah bin Abi al-Salt hampir menjadi seorang Muslim. 

Kegemaran Rasulullah S.A.W. terhadap puisi terserlah apabila Baginda menggunakan tenaga beberapa penyair Muslim untuk membantu menentang musuh Islam. Antara penyair-penyair tersebut ialah Hassan bin Thabit, Ka’b bin Malik dan Abdullah bin Rawahah. 

Hassan bin Thabit dikenali sebagai penyair yang mula-mula mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah S.A.W. Lantaran itu, beliau telah dilantik dan diberi kepercayaan selaku penyair peribadi Baginda dalam usaha menangkis sindiran dan kecaman penyair-penyair musyirikin. 

Rasulullah pernah berdoa kepada Allah yang khusus ditujukan kepada Hassan bin Thabit iaitu, “Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Kudus.” Menurut keterangan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah bahawa, yang dimaksudkan Ruhul Kudus ialah malaikat Jibril. 

Syair yang dihasilkan oleh Hassan ke arah membela dan mempertahankan Rasulullah dari menjadi mangsa ejekan dan penghinaan orang kafir Quraisy terutamanya dalam menangkis penyair-penyair yang terdiri daripada kaum musyirikin. Dalam peristiwa perang Badar, Hassan telah membela Nabi dari serangan syair kaum musyirikin yang menghina Baginda dan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda. Namun begitu, Hassan dapat membalas segala syair mereka secara spontan. 

Rasulullah pernah berkata kepada Hassan iaitu, “Ejeklah mereka hai Hassan dan Jibril sertamu.” Hal demikian diperjelaskan lagi oleh Abul Faradj al Isfihany di dalam kitabnya bertajuk Al A-Ghany yang mengatakan bahawa Jibril telah menolong Hassan dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah S.A.W. 

Sebagaimana yang diketahui, bukan mudah menggubah syair apatah lagi untuk membela Nabi dari serangan dan ejekan-ejekan musuh yang demikian banyak dapat dilakukan secara spontan dalam keadaan suasana huru-hara peperangan. Namun begitu, Hassan dengan mudah dapat menggubah tujuh puluh bait syair sekaligus dengan pertolongan malaikat Jibril bagi membela dan mempertahankan kemuliaan dan kebenaran ajaran Rasulullah. 

Menurut riwayat Imam Abu Daud dari Ummul Mu’minin Aisyah r.a, Rasulullah telah mengadakan suatu tempat khas di mimbar Baginda di Madinah bagi Hassan bersyair dengan tujuan membalas penghinaan  sekalian musuh yang memomokkan Baginda dan agama Allah. 

Menurut riwayat Ummul Mu’minin Aisyah r.a, beliau telah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Itulah dinding antara kita dan orang Munafik, tidak ada yang mencintai Hassan melainkan orang yang beriman dan tidak ada yang membencinya melainkan orang yang munafik.” 

Puisi puji-pujian terhadap Rasulullah banyak digubah oleh para penyair. Dalam buku yang diselenggarakan oleh Haji Muhammad Bukhari Lubis dan Hamidah Osman bertajuk Rasulullah dalam Puisi, sejumlah 79 antologi puisi dihimpunkan. Puisi tersebut menyentuh tentang kehidupan dan keperibadian Rasul Junjungan. Dalam kesusasteraan Arab, puisi-puisi yang mengandungi pujian dan sanjungan untuk Rasulullah S.A.W. digelar al-Mada’ih al-Nabawiyah. 

Puji-pujian dan sanjungan tersebut umpamanya dapat dihayati dalam puisi berikut yang menggambarkan keadaan sebelum kelahiran dan keadaan sesudah kelahiran nabi Muhammad, Rasul yang memimpin umat manusia. 


Kelahiran Muhammad
(12 Rabiulawal)
 

Ketika langit biru diliputi awan hitam
kelam segalanya, tiada cahaya di sana menyinar
manusia meraba-raba, kegelapan mencari sinar terang
semua huru hara tiada punya ketentuan.
 

Demikian nasib murba hidup di maya pada
sebelum Muhammad pemandu Islam lahir ke dunia
ketika itu nasib murba hidup dalam
kepincangan – kejahilan dan ketakutan
tiada lagi iktikad segalanya tiada punya pegangan.
 

Di sana tindas-menindas berjalan berleluasa
membunuh – merampas – menceroboh sudah menjadi kebiasaan
bumi sentiasa mengalir dari darah yang tumpah
hanya bagi si gagah – kuat hidup penuh kemenangan
bagi manusia lemah sentiasa duduk penuh ketakutan.
 

Tapi, di saat akhir peredaran zaman
lahirlah Muhammad, pemimpin sejati
Pesuruh Allah
membawa obor menyuluh nyata penegak kebenaran
memimpin manusia dari serba keruntuhan
berakhirlah terkubur tragedi – buat abadi
dan bersinarlah Islam terang-menerangi
di serata pelosok – di seluruh alam.
 

Kini detik lahirnya Muhammad menjelang
umat Islam menyambut sejarahnya – penuh kesyukuran.
 

Berikut adalah puisi Asha’ari Mohamad yang mengagungkan Rasulullah S.A.W. sebagai pahlawan yang berjiwa kental dan berjasa pada agama dan seluruh umat manusia.

Pahlawan Agama

Di masa budi hancur punah
di waktu islam hancur musnah
aku terkenang hai nabi yang membawa hidayah
pahlawan agama yang gagah
pembawa undang-undang yang indah
pembanteras agama yang salah
pemimpin umat yang berjasa
handal pendekar lagi perkasa.
 

Dengan ilmumu yang tajam
dapat memusnah musuh yang kejam
biar musuh memutih di bumi
namun undur tidak sekali
sungguh kamu berhati kota dan bersemangat besi waja
aku mengaku engkaulah pesuruh Allah yang dicinta
seolah-olah  bayanganmu terbayang-bayang di ruang mata.
 

Sejarah tetap menjamin
jasamu pasti menjadi cermin
dan obor kepada semesta yang sedang
mengidam-ngidamkan negara sentosa
dua panduan yang disedia
sebagai peninggalanmu yang berharga
untuk dijadikan undang-undang dunia
supaya dunia aman sentosa bahagia.

Rasulullah serta sahabat dan kaum muslimin telah menghadapi peperangan berkali-kali dalam gerakan membela dan menegakkan agama Allah. Angkatan perang tersebut diatur oleh Nabi dengan teratur secara berpasukan. Setiap pasukan ada panglimanya dan tidak ketinggalan juga benderanya. 

Bendera yang mula-mula dikibarkan adalah bendera Abdullah bin Jahsy. Terdapat juga bendera yang berwarna hitam ditengahnya dengan rupa bulan sabit berwarna putih. Bendera tersebut dipakai oleh Saad bin Malik El Azddie. 

Rasulullah pula memiliki bendera yang berwarna putih dan kuning. Selain itu, Baginda turut memiliki sebuah bendera digelar El Uqab yang bermaksud Rajawali. Bendera tersebut dihasilkan dari bulu yang berwarna hitam tertulis kalimah La Ilaa ha Illallah, Muhammad Rasulullah. 

Dalam mempersiapkan pasukan ketenteraan untuk menghadapi peperangan, Baginda memiliki alat perang dan kenderaan yang banyak. Setiap satu diberi nama tersendiri. Salah satu daripada jenis alat tersebut ialah lapan buah pedang. Pedang-pedang tersebut mempunyai nama-nama tertentu iaitu Ma’thur, A’dhab, Dzulfiqar, Qala’iy, Battar, Makhdzan, Qadhib dan sebagainya. 

Selain itu, Baginda turut memilik tujuh baju besi sebagai perisai yang diberi nama tertentu seperti Dzatul Fudhul, Sughdiyah, Khirniq dan lain-lain. Baginda juga memiliki enam buah anak panah yang antaranya diberi nama Zauraa, Rauha’, Katum dan Sadad serta empat buah tombak iaitu Rutswiy dan Mutatsanniy. 

Untuk maju ke medan peperangan, Rasulullah mempunyai sembilan belas ekor kuda. Antaranya bernama Sakb yang sangat kencang larinya, Tsarb yang tegap anggotanya, Sahah yang bagus larinya dan lain-lainnya. 

Sungguhpun persiapan ketenteraan Baginda lengkap dengan segala peralatan dan kenderaan, namun kesemua alat tersebut digerakkan oleh keimanan yang kental terhadap pembelaan agama Allah. Alat-alat tersebut hanyalah sebagai pertahanan untuk membela diri dan kaum muslimin ke arah memperjuangkan Islam dan bukannya untuk tujuan merentap nyawa manusia sewenang-wenangnya. 

Kelengkapan peralatan Rasululllah S.A.W. dalam menghadapi peperangan di medan pertempuran, jelas memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan Baginda sebagai pahlawan agama berdisiplin, gagah dan berani. Jasa dan pengorbanan Baginda dalam menegakkan syiar Islam terpahat utuh dalam sejarah Islam sebagai pemimpin umat yang berjasa. 

Puisi bertajuk Pahlawan Agama hasil nukilan Asha’ari Mohamad cuba mengungkapkan puji-pujian terhadap kehebatan dan keunggulan Rasulullah S.A.W. sebagai wira dan pejuang umat islam ulung yang unggul. 

Aminah binti Wahab, semasa hampir menghembuskan nafas yang terakhir sempat memperdengarkan senukilan sajak kepada anakandanya Muhammad. Pada masa tersebut, Nabi berusia enam tahun dan sedang bermain-main di sisi bondanya. Berikut adalah nukilan sajak yang diilhamkan oleh Aminah

Wahai anakku Muhammad

Allah melimpahkan berkah
pada engkau,
Wahai anak dari Ibu,
yang sedang menghadapi maut.
Engkau,
diutuskan oleh Allah kepada manusia,
dalam lingkungan halal dan haram,
Engkau dibangkitkan Allah
membawa tauhid dan Iman
agama nenek engkau Ibrahim.
Allah melarang engkau
Tak boleh mendekati berhala,
jangan bersama golongan itu.

(Nawawi Duski, 1974: 4)
  

Dalam sajak yang disampaikan kepada Muhammad, bondanya berpesan supaya menjauhi penyembahan berhala. Seperti diketahui, pada zaman sebelum kedatangan Islam iaitu zaman Jahiliyah, masyarakat Arab memuja dan menyembah berhala-berhala yang diperbuat daripada batu. Berhala-berhala tersebut ditempatkan di sekeliling Kaabah. Setiap kabilah mempunyai berhala mereka sendiri. Di dalam Kaabah tersebut terdapat tiga ratus enam puluh berhala yang mana berhala yang paling penting ialah Hubal, Latta dan Uzza

Sajak tersebut merupakan wasiat bonda Rasulullah S.A.W. sebelum menghembuskan nafas terakhir. Dimulai dengan kata-kata pujian “Allah melimpahkan berkah pada engkau,” memperjelaskan bahawa anak kecil bernama Muhammad merupakan insan istimewa pilihan Allah. Baginda adalah utusan Allah yang diamanahkan untuk menegak kalimah Ilahi di muka bumi. 

Sebagaimana Aminah meninggalkan amanat di ambang kematiannya, Rasulullah S.A.W. pada saat akhirnya hayatnya, turut menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum muslimin. Pada masa tersebut, Baginda sedang mengerjakan ibadah haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah, di Lembah Uranah, Bukit Arafah. Di antara isi dari khutbah akhir tersebut, Rasulullah S.A.W. telah melafazkan kesaksiannya:

 Aku bersaksi bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba Allah dan pesuruhNya. Aku berpesan berwasiat kepada kamu wahai sekalian hamba Allah, hendaklah kamu sentiasa bertakwa kepada Allah dan taat kepadaNya.

Amanat terakhir yang disampaikan oleh Baginda hendaklah diikuti dan ditaati oleh umat manusia bagi memperolehi keredhaan Ilahi serta jaminan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Bait puisi puji-pujian bertajuk Di Sini Pertemuan Kita, Dua Belas Rabiulawal yang Lembut hasil nukilan Kadri Hj. Sarbini wajar dijadikan panduan demi menjunjung amanat Rasul Junjungan hingga ke akhir zaman:

Amanat terjunjung
atas nama kesetiaan umat
waktu demi waktu
makin terasa
betapa pengorbananmu MUHAMMAD
lenyaplah kejahilan
lahirlah cahaya suci
rahmat ilahi

Melalui puisi bertajuk Muhammad s.a.w., penyairnya S. Ahmad (Najmi) telah menghasilkan bait berbentuk puji-pujian dalam melahirkan rasa kecintaan pada Rasul Junjungan. Demikian bait awal yang digubah oleh penyairnya:

Engkau filsuf Muslim
tidak akan pudar
fikiranmu yang unik
sepanjang zaman
 

Aku pengikutmu
yang setia
yang mencari segala
kemuliaan peribadimu

Puisi tersebut menggambarkan ketaatan dan kesetiaan apabila penyairnya melahirkan pengakuan sebagai pengikut yang setia. Nilai keperibadian mulia Rasul Junjungan menjadi teladan dan ikutan. Kisah tentang kesetiaan pengikut Rasulullah S.A.W. telah dipaparkan oleh Nawawi Duski dalam hasil buku karangannya bertajuk Anekdote Kehidupan Rasulullah S.A.W 

Dikisahkan dalam suatu peperangan iaitu Perang Badar, Baginda sendiri telah memeriksa barisan ketenteraan. Secara tiba-tiba salah seorang ahli pasukan tersebut iaitu Sawad bin Ghaisyah keluar dari barisan. Apabila terlihat kejadian tersebut, Baginda mendekati Sawad dan dengan ranting kayu di tangan, keadaan tersebut segera ditegur dan diperbetulkan. Setiap pasukan tentera Baginda dijaga disiplinnya. Justeru, setiap pelanggaran disiplin segera ditegur. 

Berikutan tindakan Rasulullah, Sawad dengan berani telah menegur sambil berkata, “Ya Rasul Allah! Engkau bertindak memedihkan perasaanku padahal engkau Rasul Allah membawa keadilan.” Teguran Sawad itu hanyalah sekadar untuk mengetahui hati Nabi. Mendengar kata-kata Sawad, lalu Baginda membuka perutnya dan meminta Sawad melakukan apa sahaja bagi membalas rasa tidak puas hati terhadap perbuatan tadi. 

Setelah melihat perut Nabi, Sawad lantas mencium perut Baginda. Keadaan tersebut mengundang rasa hairan Nabi sambil bertanya apakah yang mendorong Sawad berbuat demikian dan dijelaskan oleh Sawad bahawa, “Ya Rasul Allah! Terjadilah apa yang Nabi lihat, karena aku bercita-cita agar kulitku dapat menyentuh kulit nabi. Cita-citaku demikianlah akhir soalnya.” 

Peristiwa yang berlaku antara Rasulullah dengan Sawad dapat mencerminkan nilai kasih dan kesetiaan pengikut kepada seorang pemimpin.

Pembentuk budi
Nabi Muhammad pembentuk budi
budi yang luhur lagi terpuji
supaya kita bersatu hati

Dalam bait puisi berikut, penyair meluahkan puji-pujian terhadap rasulullah yang disifatkan sebagai seorang pemimpin umat berakhlak mulia dan terpuji. Lantaran itulah, penyair menjadikan rasul Junjungan sebagai  contoh dan suri teladan dalam membentuk budi yang luhur dan terpuji. 

  

Kesimpulan

Sekiranya kita mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah manusia pilihan  utusan Allah, maka sewajarnya budi pekerti Baginda dijadikan contoh dan teladan umat manusia yang taat setia sebagai pengikutnya. Ianya amat jelas dan sejajar seperti yang termaktub di dalam Al-Quran bilamana Allah telah menegaskan menerusi firmanNya bermaksud:

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” 

 (al-Ahzab 21: 670) 


Ayat di atas menjelaskan bahawa, Rasulullah S.A.W. adalah ikutan atau contoh yang baik bagi orang yang beriman iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan pahala dari Allah dan mengharapkan balasan pada hari kemuliaan serta mereka sentiasa mengingati Allah. 

Oleh hal demikian, puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. yang dijelmakan dalam beberapa genre sastera, khususnya dalam genre puisi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Baginda merupakan salah satu usaha para penyair melahirkan rasa kecintaan dan sanjungan terhadap Rasul Junjungan. Ianya secara tidak langsung dapat membawa amanat bahawa nilai-nilai terpuji Rasulullah S.A.W. wajar dijadikan panduan dan suri teladan bagi membentuk peribadi Muslim. 

 

Leave a Reply