RSS
 

Archive for the ‘Tapak Ekskavasi’ Category

Tinjauan Peribadi di Tapak Ekskavasi: Bekas Tapak Masjid atau Candi?

18 Feb


Perkongsian paparan dengan merujuk kembali catatan peribadi seperti tertera dalam diari. Akal Sari bukanlah seorang pakar arkeologi, namun kecenderungan terhadap senibina lama telah membawa langkah sepasang kaki ke sebuah tapak ekskavasi. Hadir tanpa dipaksa, malah dengan rela. Hadir bukan kerana tugasan yang diamanahkan, namun atas keinginan seorang insan yang inginkan kepastian dalam pencarian. Apakah binaan ini adalah masjid kuno seperti dakwaan sebilangan kecil peneliti budaya…sedangkan sebahagian besar yang lain menafikannya? Lalu, saya buka kembali catatan peribadi yang terakam kemas dalam lembaran diari. Saya kongsikan jua sebahagian foto rakaman beserta pandangan peribadi yang “terperap” lebih 2 tahun dalam “fail” komputer riba. 


Jadual Perjalanan (Kunjungan kali per-1) 

Tarikh     : 29 Ogos 2009
Hari        : Sabtu
Masa      : 3.15 petang
Lokasi    : Tapak Ekskavasi No. 23, Pengkalan Bujang

MASA

CATATAN

3.15 ptg  
  • Tiba di Muzium Arkeologi Lembah Bujang
  • Meminta khidmat bantuan daripada En Azhar bin Ahmad (Pengawal Keselamatan) untuk memberi penerangan tentang kedudukan lokasi tapak bekas candi.
3.40 ptg  
  • En. Atan bin Hashim (Pekerja Am) dengan sukarela membawa peneliti ke lokasi tinjauan yang terletak kira-kira 7 km dari Muzium Arkeologi.
4.00 ptg 
  • Tiba di lokasi tapak bekas candi
  • Sewaktu tiba, tapak ekskavasi ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa hari sebelumnya. Namun atas keinginan yang kuat, saya harungi jua takungan air di dalam binaan (kecenderungan mengatasi ketakutan…tidak terfikir tentang spesis berbisa yang mungkin muncul dengan tiba-tiba dari air takungan). Cabaran semasa menjalankan kerja-kerja di lapangan adalah pengalaman paling berharga…tiada galang gantinya. Jadi, redah sahaja situasi yang telah ditakdirkan untuk ditempuhi dengan menyerahkan segalanya kepada yang Esa…
    “Hasbunallah hu wanikmal wakil”
  • En. Md. Ali bin Mohamad selaku pengawal yang bertugas di tapak arkeologi dengan rela hati memberi kerjasama. Selain memberi kebenaran masuk ke tapak ekskavasi, dia turut ikut serta mengharung air. Kami masuk sehingga ke ruang tengah tapak tinjauan. Oleh hal demikian, dapatlah saya menentukan paras ketinggian sisa binaan lama tersebut.
  • Selain tapak ekskavasi bernombor 23 ini, terdapat 2 lagi bekas tapak candi berdekatan lokasi tinjauan.
  • Takungan air ekoran hujan lebat beberapa hari sebelumnya menyebabkan kerja-kerja mengukur tidak dapat dijalankan. Hanya sekadar membuat pemerhatian melihat bongkahan binaan yang timbul.
5.30 ptg
  • Bertolak pulang

 

Oleh kerana hajat yang tidak kesampaian untuk melihat tapak bernombor 23 yang didakwa sebagai bekas binaan masjid kuno (sekitar 800M), maka saya telah hadir buat kali ke-2 beberapa bulan kemudiannya:

Tarikh     : 06 Disember 2009
Hari        : Ahad
Masa      : 10.40 pagi – 12.00 tengah hari
Lokasi    : Tapak Ekskavasi No. 23, Pengkalan Bujang

 

Tapak ekskavasi no. 23 di Pengkalan Bujang

 

Perhatikan struktur binaan…terdapat 3 laluan untuk menuju ke ruang dalam binaan iaitu 2 pintu (di sisi kiri dan kanan) dan 1 pintu di hadapan (pintu utama: laluan masuk dari arah kanan foto rakaman).

 

Saya alihkan seketika pandangan anda ke sebuah binaan masjid tertua di Patani. Masjid ini sering disebut sebagai Masjid Kreesek, walhal nama asalnya adalah Masjid Sultan Muzaffar Shah (seperti tertera pada papan info di sisi kanan gerbang utama). Kunjungan pada tanggal 12 Mac 2010 ke binaan masjid ini adalah tinjauan peribadi. Hadirnya saya ke sini bukannya mencari perkaitannya dengan tapak ekskavasi no. 23. Alang-alang menjejak Masjid Wadi Al Husein di Teluk Manok, lajakkan pula kaki ke masjid tanpa kubah ini (asalnya berkubah indah). Jejak mengikut gerak hati rupanya mewujudkan perkaitan dan bertali-temali di antara kunjungan terdahulu, kini (saat menaip catatan ini) dan akan datang…barangkali. Mari kita buat perbandingan, apa perkaitannya foto di atas dengan paparan foto binaan Masjid Kreesek ini? Lihatlah persamaan binaan tapak ekskavasi no. 23 dengan binaan masjid ini yang turut mempunyai 3 pintu iaitu 2 pintu (di sisi kiri dan kanan) serta 1 pintu utama di hadapan yang bertentangan dengan ruang mihrab). Jarak usia di antara kedua binaan memang jauh jurangnya untuk dibuat perbandingan, namun adakah wujud kemungkinan kedua binaan (masjid kuno Pengkalan Bujang dan Masjid Kreesek) ini berkongsi gaya senibina hasil pengaruh  dari mana-mana tamadun lain di dunia? Bagi anda yang mengkhusus penelitian bidang senibina pasti ada jawapannya. Saya yang amat dangkal dek baru meneroka bidang ini, amat mengalu-alukan perkongsian info yang pasti memberi input bermakna.

 

Ini pula adalah bahagian belakang mihrab Masjid Kreesek (dari arah luar binaan). Setelah melihat kepada 2 foto paparan, kita kembali semula kepada isu awal perbincangan…bicara tentang tapak ekskavasi no. 23 tadi.

 

Ruang seakan serambi di kedua sisi (kiri dan kanan) serta hadapan binaan

 

Ruang mihrab (paling hadapan) manakala di tengah binaan pula terdapat timbunan batu bata. Timbunannya kelihatan cembung. Telahan saya ianya seakan runtuhan bahagian atas binaan. Saya juga tertanya-tanya adakah ianya sebuah kubah dengan rekabentuk yang tidak ketara lengkungannya? Jika masjid biasa dominan dengan kubah berbentuk semi bulatannya, tetapi bentuk yang ini agak berlainan pula. Oleh kerana saya bukan seorang pakar arkeologi, maka timbul pelbagai pertanyaan bersifat telahan secara bermonolog dalaman. Ibarat seorang nelayan darat yang sering mendapat ikan jenis keli dan haruan, tiba-tiba diajak teman memancing di tengah lautan…lalu dapat ikan marlin biru. Mau tak teruja berdepan spesis ikan berharga nilainya! Andai bukan rezeki tangkapan, dapat berfoto kenangan dengan tangkapan milik rakan pun jadi la. Ini hanya perumpamaan atau ibarat betapa terujanya saya hadir dengan tujuan melihat lebih dekat lagi binaan kuno di tanah air sendiri. Jika telahan saya tersasar pun, sekurang-kurangnya saya telah hadir sebagai pemerhati daripada sekadar mendengar pertuturan secara lisan yang dikongsikan. Melihat sendiri dengan harapan dapat menilai dengan persepsi sendiri dan kemudiannya berkongsi foto dan catatan di sini. Hmm…dari darat membawa ke laut, dah macam melalut. Berbalik semula kepada tapak ekskavasi…

 

Timbunan dengan bentuk sedikit melengkung dapat diperhatikan dari sudut ini

 

Penemuan kaki tiang di penjuru timbunan yang menurut pandangan saya adalah tapak yang menjadi penyangga kepada 4 tiang kubah.

 

Perhatikan pula ruang hadapan…seakan lengkungan mihrab dengan penemuan 2 tapak tiang (batu bulat berlubang di tengahnya pada sisi kiri dan kanan binaan). Ruang sebegini mengingatkan saya terhadap rekabentuk ruang mihrab pada tapak rumah Rasulullah (lihat foto berikutnya).

 

Inilah foto yang saya maksudkan. Foto ini saya rakamkan dari sebuah teks rujukan ketika menjalankan kajian literatur di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM  Bangi sekitar tahun 2009.
Foto kiri: Ruang mihrab di tapak rumah Rasulullah
Foto kanan: Ruang tempat solat Rasulullah dengan mihrab yang menghadap ke arah kiblat
(Melalui perkongsian foto ini, anda pasti dapat membuat perkaitan dengan foto sebelumnya)

 

Batu bata ruang mihrab yang disusun secara melengkung

 

Kita lihat lebih dekat lagi susunan batu binaan

 

Bahagian belakang binaan mihrab

 

Catatan ini jika anda sedari, seolah-olah telah mengikat pendirian saya agar menyakini bahawa pernah berdirinya sebuah masjid di tapak ini. Memang pada awalnya saya membuat telahan berdasarkan pemerhatian di lokasi tinjauan. Namun, disebabkan ingin mendapat jawapan yang pasti, lalu saya telah melakukan solat istikharah agar Allah memberi petunjuk atas persoalan…agar saya tidak tersasar membuat telahan. Persoalannya, adakah ianya binaan masjid kuno atau candi? Apa yang diperlihatkan di alam mimpi memberi petanda bahawa di tapak ini pernah berdiri sebuah masjid. Timbunan di tengah pula adalah runtuhan bahagian puncak yang memayungi binaan.

Terbayang-bayang masjid indah berkubah emas yang menjadi episod akhir dalam mimpi (istikharah)…seakan memberi gambaran betapa gemilangnya Pengkalan Bujang suatu masa dahulu. Hal ini pernah dinyatakan oleh I-Tsing,  seorang pelayar Cina dalam catatannya yang menggambarkan pengkalan Bujang sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan yang teragung di rantau ini terutamanya semasa zaman kerajaan Srivijaya.

Bukti lain yang dapat menyokong kenyataan ini apabila tidak ditemukan sebarang patung penyembahan yang dapat mengaitkkan tapak ekskavasi ini dengan agama Hindu/ Buddha. Yang dijumpai adalah serpihan kaca dari Asia Barat semasa kerja-kerja carigali dijalankan. Malah fakta penemuan  mata wang logam buatan Arab tahun 848M di Kedah (James Bennet, 2006) memperlihatkan wujudnya jaringan ekonomi di antara pedagang-pedagang Arab sekitar kurun ke-9 di perairan tersebut.

Saya akhiri catatan setakat ini…catatan secara santai buat perkongsian tetamu di sanggar yang sekian lama sepi. Masa untuk menuju ke labuhan mimpi. Bertemu lagi di lain siri.

Wassalam =)