RSS
 

Archive for the ‘Masjid-Masjid Tua di Semenanjung’ Category

Masjid Kampung Tuan

01 Jul

 

Tarikh : 20 Jun 2010
Lokasi : Masjid Kampung Tuan, Kemaman, Terengganu

 

 

Sungai Limbong ini kedudukannya terletak di sisi kiri lokasi Masjid Kampung Tuan

 

Rekabentuk Senibina Masjid Kampung Tuan dengan hiasan mahkota di puncak atap. Masjid ini turut dikenali dengan nama Surau Tuan Wok oleh penduduk setempat.  

 

Rekabentuk mahkota dengan lima tingkat buah buton di puncak atap  menampilkan kelainan.

 

Barisan tiang kayu di bawah gelegar masjid ditanggam tanpa menggunakan paku.

 

Pembuatan mihrab daripada jenis kayu balak yang dibentuk lengkungannya melalui teknik luakan. 

 

 

Masjid Abidin Kuala Terengganu

01 Jun

 

Tarikh : 17 Oktober 2009
Lokasi : Masjid Abidin, Kuala Terengganu

Masjid Abidin Kuala Terengganu terletak di Kampung Masjid. Masjid ini dahulunya dikenali sebagai Masjid Putih. Ianya telah dibina oleh Al Marhum Sultan Zainal Abidin II di antara tahun 1793 hingga 1808. Bangunan asalnya diperbuat daripada kayu. Namun, pada zaman pemerintahan Al Marhum Sultan Umar (1852), bangunan kayu telah diganti dengan binaan batu. Masjid ini kemudiannya diubahsuai dan diperbesarkan dengan penambahan 3 batang tiang berbentuk bulat dengan 3 buah menara oleh Tengku Panglima Besar (Tengku Muda Kemaman). Pada tahun 1972, perubahan telah dibuat semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Ismail Nasiruddin Shah di mana masjid ini diperbesarkan untuk menampung sejumlah 2500 orang jemaah. Selain itu, sebuah menara bersegi empat bertingkat didirikan dengan penambahan kubah kecil yang dibina di atas sutoh bangunan tersebut. Perubahan sekali lagi dibuat semasa pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Al Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Masjid Sultan Abu Bakar

30 May

 

Tarikh : 11 April 2010
Lokasi : Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

  

 

Masjid Negeri Sultan Abu Bakar telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pada tahun 1900. Masjid ini dibangunkan di atas sebuah bukit di tepi Selat Tebrau menghala ke Singapura. Rekabentuk binaannya hasil adaptasi senibina masjid dari Timur Tengah dan Benua India. Keluasan ruang dalam masjid ini boleh memuatkan kira-kira 3000 jemaah.

  

Terdapat 4 buah menara berbentuk empat persegi di bawah dan bentuk bulat pada 2 tingkat di atasnya yang menyokong kubah.

 

Kubah berbentuk bawang adalah pengaruh senibina dari benua India. Mahkota yang dipasang pada bahagian puncak kubah menjadi pelengkap pada rekabentuk kubah masjid.

 

Ukiran timbulan (relief) bermotif flora disusun polanya secara berulang-ulang menghiasi permukaan dinding luar binaan masjid.

 

Perspektif laluan masuk menuju ke ruang dalam masjid. Saya kira ianya bukan laluan utama sebaliknya adalah  laluan untuk masuk ke pintu bahagian sayap kanan bangunan masjid.

 

Pelukis yang berasal dari Singapura ini sedang menghasilkan karya catan dengan mengabadikan Masjid Sultan Abu Bakar sebagai subjek kajian. Saya tertarik dengan karya dihasilkan sehingga membuat permintaan untuk membeli dengan niat menyimpannya sebagai koleksi peribadi…kenangan dalam siri tinjauan Jejak Mihrab dan Mimbar di Selatan Tanah Air. Namun, ianya bukan rezeki saya kerana karya tersebut terlebih dahulu ditempah oleh pengunjung lain.

 

Kebetulan ada beberapa karya lain hasil sentuhan jari-jemari pelukis tadi yang bergantungan di hadapan mata, lalu saya beli salah satu daripada 3 koleksi yang dipamerkan. Antara 3 koleksi karya catan lanskap ini…cuba teka yang mana satu jadi pilihan hati saya? Haa…karya yang diapit antara kiri dan kanan, itulah jawapannya.

 

Azan zuhur hampir berkumandang lalu saya segera menuju ke ruang dalam. Dalam keadaan tergesa-gesa segera saya merakam foto ruang solat dari arah pintu masuk utama.

 

Ukiran timbul bermotif daun pada kepala tiang penyangga masjid. Deretan tiang ini menganjur dari arah pintu utama hingga ke ruang hadapan yang mana kedudukannya berada di sisi kiri dan kanan ruang dalam bangunan masjid.

 

Rekabentuk mimbar setinggi dua tingkat yang ditempatkan di ruang paling hadapan ini menampilkan kelainan berbanding mimbar lain dalam siri tinjauan sebelumnya.

 

Foto ini dirakam sebelum melangkah pulang…bunyi spesis ini yang bersahut-sahutan di luar perkarangan masjid mengundang reaksi sekalian pengunjung yang hadir termasuk tuan punya kamera ini…

 

 

Batu Peringatan Sultan Mansur Syah 1

24 May

 

Tarikh : 28 Mac 2010
Lokasi : Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar

Dari arah utara saya meneruskan perjalanan pulang menghala ke Sungai Buloh setelah 3 hari menjalankan tinjauan ke atas beberapa buah masjid tua di Langgar dan Alor Setar, Kedah. Seperti biasa, aktiviti singgah menyinggah (mengambil peluang sebenarnya) sudah menjadi rencah sepanjang perjalanan. Dengan tak semena-mena hajat berziarah ke makam Daeng Salili (Dato’ Maharajalela) singgah di minda. Nak dijadikan cerita, saya terlupa nama Padang Changkat di mana lokasi makam Daeng Salili berada. Namun saya redah jua dengan alasan pasti ada hamba Allah yang dapat memaklumkan lokasi sebaik tiba di sana. Setelah merasa lelah meredah tanpa menjumpai sebarang papan tanda…juga lelah bertanya mereka yang ditemui di merata-rata lokasi sekitar Kuala Kangsar, keputusan akhirnya…meneruskan perjalanan pulang ke Sungai Buloh. Mungkin belum tiba undanganNya buat saya untuk menjejakkan kaki ke makam mantan Mufti Per-1 negeri Perak semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah III. Agaknya dek kerana sesi berziarah ke makam Daeng Salili bukan agenda utama, sebaliknya hanya hajat sampingan, justeru beginilah kesudahan pencariannya…ibarat “Pencarian tak berkesudahan”

 

Dalam hampa, ada ganjaran lain pula tiba…bersua pula dengan papan tanda tertera “Masjid Kota Lama Kanan” membuatkan hati jadi ceria. Dapat juga menjejak masjid tua. Jadi apa lagi…Moh singgah lihat apa khazanah yang ada.

 

Sebaik tiba di pagar sebelum masuk ke perkarangan, mata tertumpu pada rekabentuk senibina masjid. Hmmm…dah dibaikpulih keseluruhan binaannya. Masjid kayu berubah wajah menjadi masjid batu (konkrit). Alang-alang dah masuk ke perkarangan, ada baiknya melangkah masuk ke ruang dalam. Mana tahu ada sesuatu yang boleh dikongsikan di dalamnya.

 

Meriam lama di sisi kanan sebelum melangkah ke ruang dalam masjid. Khazanah ini punya nilai sejarah di sebaliknya lalu diabadikan sebagai monumen di sini.

 

Dua bulan yang lalu semasa merakam foto makam ini yang kedudukannya di sisi kanan Masjid Kota Lama Kanan, saya tertanya-tanya apakah empunya makam ini ada pertalian dengan kesultanan Perak? Sekadar mengetahui nama Almarhum sebagai Temenggong Wan Husain, namun tidak pula saya ketahui susurgalur jurai keturunannya. Saat menaip catatan ini, sambil buku rujukan Sejarah Perak yang berada di hadapan mata diselak lembar demi lembar…pertanyaan saya terjawab akhirnya. Orang Kaya Temenggong Wan Husain adalah anakanda kepada Orang Kaya Temenggong Panjang Arif dan cucunda kepada Orang Kaya Temenggong Pandak Usoh/Yusof (cicit kepada Daeng Salili). Ini bermakna, Temenggong Wan Husain adalah generasi ke-6 daripada susurgalur salasilah Daeng Salili. Almarhum sememangnya terkait dengan kerabat di Raja Perak. Hal demikian kerana Daeng Salili adalah ipar kepada Sultan Muzaffar Syah III  yang telah berkahwin dengan adinda baginda iaitu Raja Tengah. Rupanya pencarian yang disifatkan tak berkesudahan di awalnya merupakan permulaan kepada langkah pencarian…persinggahan yang menemukan saya dengan makam waris Daeng Salili.

 

Andai tadi kisah di luar masjid lama, kali ini saya bawa sepasang mata yang sedang membaca kapsyen ke ruang dalam masjid pula. Batu nesan di saf paling hadapan apa pula kisahnya? Pasti ada cerita misteri di sebaliknya…dan yang pasti bukan calang-calang hamba Allah yang empunya batu tanda.

 

Batu nesan dipasang tanpa disemadikan jasad di dalamnya. Ia hanya sekadar batu peringatan bagi memperingati Sultan Mansur Syah 1 yang didakwa ghaib ketika bersolat Jumaat di dalam masjid ini. Wujud dakwaan berasaskan 2 andaian tentang misteri kehilangan baginda…sama ada benar-benar ghaib atau diculik. Berdasarkan fakta bertulis dengan merujuk kepada buku karangan A. Halim Nasir, baginda sebenarnya diculik oleh anakandanya sendiri iaitu Sultan Alauddin (Sultan Acheh) yang memerintah dari tahun 1577 hingga 1585. Tindakan menculik dengan menghantar beberapa orang panglima Acheh yang mahir dalam ilmu ghaib dilakukan setelah menyedari tindakan untuk membawa pulang ayahanda baginda ke Acheh pasti mendapat tentangan rakyat di negeri Perak. Justeru, sempena memperingati Sultan Mansur Syah 1 yang ghaib secara tiba-tiba, Sultan Idris Murshidul A’zam (Sultan Perak ke-28) telah menitahkan agar batu peringatan ini dipasang. Namun, lebih jauh dari misteri kehilangan tersebut…saya berfikir apakah punca sehingga baginda diculik secara ghaib sedemikian caranya? Ia ekoran ada dakwaan di sebaliknya pula yang mengatakan bahawa kisah sebenarnya adalah baginda diculik secara rela bukan paksa…Apakah kerana kemelut yang berlaku dalam pemerintahan pada ketika itu atau apakah wujud agenda lain di sebaliknya? Saya yang amat cetek dan dangkal dalam ilmu sejarah ini  hanya menduga-duga, tiada terniat mereka-reka cerita…

 

 

Masjid Kuala Dulang

24 May

 

Tarikh : 08 Mei 2010
Lokasi : Masjid Kuala Dulang, Jelebu

 

Masjid Kuala Dulang adalah masjid yang tertua di Jelebu. Ia diasaskan oleh Dato’ Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minangkabau yang mula-mula menyebarkan  agama Islam di Jelebu pada abad ke-16. Kedua-dua pendakwah ini telah meneroka kawasan ini yang kemudiannya menamakannya sebagai Kampung Peninjau. Masjid ini asalnya sebuah bangsal beratap ijuk yang menjadi tempat berteduh pendakwah tersebut. Nama masjid Kuala Dulang ini diambil dari peristiwa kehadiran dulang berisi makanan yang tidak diketahui siapa menghidangnya. Walau seramai mana jemaah yang hadir, makanan yang menjadi hidangan sentiasa mencukupi. Namun setelah beberapa tahun, dulang tersebut hilang begitu sahaja.