RSS
 

Archive for the ‘Masjid-Masjid Tua di Semenanjung’ Category

Masjid-Masjid Tua di Melaka

28 Sep


Tarikh : 22 Mei 2011
Lokasi : Melaka

1. Masjid Peringgit
2. Masjid Pengkalan Rama
3. Masjid Tengkera
4. Masjid Kampung Hulu


Agak lama saya menyepi di ruang sanggar ini. Bukan tiada catatan untuk dikongsikan tetapi sibuk dengan urusan ciptaan sendiri lalu faktor masa menjadi kekangan (anggap ianya sebagai alasan rekaan~nak membela diri la katakan…). Baiklah, 4 buah masjid kunjungan adalah misi kajian saya bagi melengkapkan data di lapangan. Walaupun penyelia pembimbing sudah berpesan, “cukuplah berjalan, sekarang beri tumpuan terhadap penulisan…” namun, sepasang kaki ini tetap ingin meneruskan langkah menjejak senibina masjid tua dan binaan lainnya di ceruk mana pun ia berada. Sebut sahaja di mana lokasi senibina tua (masjid, istana, kompleks makam dan sebagainya), sama ada di pinggir hutan, di perbukitan, di tepian sungai dan di mana sahaja…pasti saya teruja. Lalu bermulalah siri jejak bertapak. Beginilah jadinya, bila jari jemari sudah mula bergerak. Panjang lebar pula mukadimah. Baiklah, mari saya bawa anda menelusuri siri perjalanan pada 22 Mei lalu yang akan saya singkatkan jalan ceritanya… Moh kita!

 


Masjid pertama kunjungan adalah Masjid Peringgit. Masjid ini mempunyai rekabentuk atap tumpang 3 lapis dengan hiasan mahkota di puncaknya.

 

Mahkota atap dengan hiasan sulur sebagai pelengkap. Rekabentuk sebegini mempunyai persamaan dengan rata-rata senibina masjid tua dan kompleks makam lama di Jawa Tengah.

 


Pondok istirehat/ wakaf di sisi kanan masjid (dari arah pintu masuk) dengan keindahan ukiran pada bahagian tiang.


Motif tumbuhan dan sulur pada bahagian kepala tiang. Berdasarkan pembacaan ke atas teks rujukan Spirit of Wood, rekabentuk sebegini dikenali sebagai sesiku. Istilah lain yang dikesan dalam teks karangan Abdul Halim Nasir pula adalah tetupai (mohon khalayak memperbetulkan jika saya tersilap).

 


Lokasi seterusnya adalah tinjauan ke atas senibina Masjid Pengkalan Rama yang terletak di kawasan Melaka Tengah.


Sulur di hujung bucu perabung seakan simbol itik pulang petang.

 


Tinjauan seterusnya ke Masjid Tengkera dengan tujuan melengkapkan tugasan.

 


Sesi temubual bersama informan setelah selesai mengukur rekabentuk mihrab. Dari kiri: Saudara Zamrin Hasbullah haji Tamby Omar,  Mohd Tahir Abdullah dan Abdul Wahid bin Maulan. Saudara Zamrin adalah cicit kepada salah seorang ulama Nusantara iaitu Syeikh Haji Abdul Latif bin Haji Muhammad Nuruddin (Haji Tambi).


Syeikh Haji Abdul Latif bin Haji Muhammad Nuruddindilahirkan pada tahun 1872M di Kampung Teluk Mas, Melaka. Pada usia 8 tahun, tokoh ulama ini telah dihantar belajar ilmu agama di Mekah selama 20 tahun (1880-1900). Almarhum telah kembali ke rahmatullah pada hari jumaat, 17 Rejab 1358M/ September 1939 dan dimakamkan di kawasan perkuburan Masjid Tengkera.
Teks karangan yang pernah dihasilkan tokoh ulama ini adalah seperti berikut:
1.  Hikayat Rahman, 15 Jamadil Awal 1318H/1900M
2. Tazkiratuz Sunnatil Basyar bi Ahkami itsna’, 13 Rabiul Akhir 1343H/1924M
3. Risalah Buat Sementara yang Sebenarnya Ketara, 23 Jamadil Awal 1354H/ 26 Ogos 1935M
4. Dalailul Khairat
5. Qiblah Dalail Al-Hairan Fi Dawazi Hadmi Masjid As-Sultan

 


Destinasi akhir kunjungan adalah di Masjid kampung Hulu. Tinjauan bagi melengkapkan pengumpulan data di lapangan. Melangkah pulang setelah selesai mengambil ukuran mimbar di ruang dalam solat.
 

Jejak Mimbar di Bukit Bayas

17 Apr

 

Tarikh : 8 – 9 April 2011
Lokasi :
1. Masjid Kampung Tuan, Kemaman
2. Masjid Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu

 

Alhamdulillah, akhirnya hajat saya untuk menjejak mimbar Masjid Kampung Bukit Bayas diperkenankan oleh Allah. Info tentang mimbar tua ini saya dapati melalui teks rujukan bertajuk Rupa dan Jiwa oleh Syed Ahmad Jamal (1992) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Lalu, berbekalkan maklumat tentang lokasi masjid tua, team kami menjalankan siri kajian lapangan di bahagian Pantai Timur Semenanjung.

 

Lokasi pertama tinjauan adalah  Masjid Kampung Tuan di Kemaman. Ini adalah kunjungan saya yang ke-2 di masjid ini. Tujuannya adalah merakam lebih dekat ragamhias “gunungan” mihrab dan mimbarnya.

 

Buah Buton di puncak atap seakan rekabentuk labu sayong. Selesai tugasan di masjid ini, team kami bergerak menghala ke Dungun. Kami bersepakat untuk check in terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke arah Kuala Terengganu.

 

Sebaik tiba di Dungun, perut mula berkeroncong. Jadi sebelum masuk ke perkarangan hotel penginapan, kenderaan kami menyusuri pesisir pantai. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah melilau-lilau sambil meninjau medan selera untuk mencari kudapan. Lihat nun di sisi kanan, Laut China Selatan melatari pandangan…tona kebiruan mewujudkan ketenangan.

 

Kudapan petang…bihun, keropok lekor dan sotong goreng tepung

 

Check in dahulu di bilik 205, Hotel UiTM Dungun. Rehat seketika dan solat jamak takhir sebelum meneruskan perjalanan menjejak mimbar tua di Masjid Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu.

 

Beranda bilik penginapan menghadap Laut China Selatan…jelas kedengaran deruan ombak memecah ke tepian pantai. Setelah puas bersantai, misi ke Bukit Bayas pun diteruskan

 

Setelah melalui hampir 2 jam perjalanan, kenderaan kami pun tiba di simpang masuk ke Masjid Kampung Bukit Bayas.

 

Akhirnya tiba jua di hadapan masjid kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu. Saya difahamkan, pendiri/pengasasnya adalah Sheikh Abdul Qadir yang berasal dari Patani. Senibina ini mengingatkan saya terhadap binaan Masjid Wadi Al-Husein di Teluk Manok Patani dan Surau Tok Janggut di Langgar, Kedah. Persamaan dikesan pada ukiran yang terdapat pada dinding masjid. Di sebabkan jemaah sedang bersolat, (kami pula memilih untuk solat jamak takhir), maka team kami berlegar-legar  di sekitar pekan Bukit Bayas.

 

Dalam perjalanan, mata tertumpu pada papan info di bahu jalan. Nampaknya, di Kuala Terengganu juga ada mukim yang namanya Kampung Laut. Nama Kampung Sungai Derhaka pula  mengundang reaksi saya. Pasti ada kisah legenda di sebaliknya.

 

Setelah berlegar-legar, kenderaan kami masuk semula ke perkarangan Masjid Kampung Bukit Bayas.  Foto ini memaparkan laluan menuju ke ruang solat.

 

Terdapat banyak tiang penyangga di ruang solat

 

Aktiviti ukur mengukur gunungan mimbar sedang dijalankan…

 

Beduk daripada pembuatan kayu cengal

 

Pekena ikan bakar di restoran Dang Dang Dut!
Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut tak masuk angin nanti…

 

Tiba di perkarangan Hotel UiTM  jam 12.08 malam…sesi lelap mata menyusul kemudiannya.


 

Musalla Kampung Bukit

13 Oct

 

Tarikh: 04 September 2010
Lokasi: Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas

  

Siri jejak mihrab dan mimbar diteruskan menghala ke Utara Tanah Air. Kali ini tinjauan dijalankan di Musalla Kampung Bukit yang terletak di persimpangan Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

  

Jam menunjukkan pukul 3.10 petang ketika saya melalui jambatan Pulau Pinang. Ambil peluang rakam foto pemandangan lautan, gunung dan awan yang melatari pandangan.

 

Laluan agak lancar semasa kenderaan melalui sepanjang jambatan Pulau Pinang. Namun, cuaca mula mendung seolah-olah memberi tanda bahawa hujan akan turun.

 

Tiang yang tinggi menjulang berdiri teguh bagaikan pasak jambatan.

 

Foto ini pula dirakam semasa berada di hujung jambatan Pulau Pinang.

  

Perjalanan diteruskan ke lokasi Musalla Kampung Bukit. Suatu masa dahulu, ianya pasti sebuah masjid. Cuma kini, masjid lama telah beralihfungsi menjadi surau.

  

Apa yang mengundang perhatian saya ialah ciri-ciri rekabentuk ukiran papan kepala cicak, papan cantik (tumpu kasau) dan buton yang terdapat pada bahagian bumbung.

 

Perhatikan mihrab pada tingkat atas musalla. Berdasarkan pemerhatian ke atas rekabentuk dan bahan pembuatan binaan mihrab, saya yakin bahawa ianya adalah ruang mihrab asal yang dikekalkan sehingga ke hari ini. Pada bahagian bawah juga terdapat binaan ruang mihrab yang baru dari kemasan jubin.

 

Pintu utama menuju ke ruang dalam tempat bersolat. Bahagian kepala pintu mempunyai rekabentuk yang telah dipermudahkan olahannya daripada motif kipas.

 

Tangga ini pula terdapat di sebelah kanan pintu masuk. Tangga ini perlu dilalui dari luar untuk menuju ke bahagian atas musalla.

 

Masjid Kampung Seronok

11 Oct

 

Tarikh: 04 September 2010
Lokasi: Kampung Seronok, Pulau Pinang

 

Senibina masjid Kampung Seronok ini mengundang perhatian saya semasa melalui jalan di hadapan masjid.

 

Senibina masjid Kampung Seronok dengan kombinasi warna biru (bumbung) dan putih (bangunan) dari arah pandangan hadapan.

 

Bahagian kepala pintu dengan rekebentuk seperti kipas. Motif kipas seperti ini turut didapati pada Musalla Kampung Bukit, Jalan Teluk Kumbar di Bayan Lepas yang dikunjungi sebelumnya, selain terdapat pada rekabentuk mimbar di beberapa buah masjid tua di Sungai Dua, Pulau Pinang .

 

Sisik naga di tulang perabung masjid menampilkan kelainan dengan buton sebagai pelengkap kepada hiasan bumbung.

 

Rekabentuk daripada unsur tumbuhan ini mengingatkan saya akan ragam hias mimbar masjid Teluk Memali dan mimbar Masjid Ahmadiah di Perak yang bercirikan pengaruh Bugis.

 

Hajat di hati hendak melihat lebih dekat rekabentuk mihrab, namun jemaah baru selesai menunaikan solat Asar dan masih berkumpul di bahagian dalam.

 

Masjid Kampung Seronok pernah memperolehi sijil penghargaan Anugerah Pengurusan Terbaik.

 

 

Masjid Ihsaniah

26 Jul

 

Tarikh : 17 Julai 2010
Lokasi : Kuala Dal, Padang Rengas

 

Siri kunjungan ke Masjid Ihsaniah di Kuala Dal ini telah dijalankan pada tanggal 17 Julai lalu. Masjid tua ini adalah lokasi pertama yang dikunjungi sebelum saya menuju ke bengkel kraf dan warisan Pandai Besi dan makam Daeng Salili di Kampung Padang Changkat serta Istana Kenangan (Istana Lembah)  di Bukit Chandan. Masjid ini juga adalah masjid pertama tinjauan sebelum saya meneruskan perjalanan menjejak masjid tua Pulau Kemiri di Sungai Siput (U), masjid  tua Kampung Sengat di Sungai Raia dan masjid tua Kampung Pengkalan Baru di Batu Gajah pada hari yang sama.

 

Masjid ini bukanlah Masjid Ihsaniah sebaliknya adalah masjid terkemudian yang baru dibina diberi nama Masjid Al-Wahidiah. Binaan masjid ini terletak di sisi kanan Masjid Ihsaniah. Kedua masjid ini terletak sebelah menyebelah dan berkongsi pagar yang sama.

 

Inilah rekabentuk Masjid Ihsaniah di Kuala Dal, Padang Rengas. Foto di atas memperlihatkan rekabentuk masjid dari arah pandangan hadapan. Keseluruhan daripada bahagian dinding masjid ini diperbuat daripada kelarai (buluh) dengan aplikasi teknik anyaman. Dinding masjid ini mempunyai persamaan dengan Istana Kenangan di Bukit Chandan yang turut dihasilkan dengan teknik anyaman. Masjid Ihsaniah ini menampilkan keunikan tersendiri kerana dikenalpasti sebagai satu-satunya binaan masjid berdinding tepas di negara ini.

 

Pandangan sisi kiri masjid Ihsaniah…dalam foto di atas, saya sedang merakamkan foto beduk lama yang diletakkan secara tergantung di bawah cucuran atap.

 

Pandangan sisi kanan masjid. Binaan masjid setinggi dua tingkat ini terserlah dengan 3 kombinasi warna pilihan iaitu kuning, putih dan hitam.

 

Pintu masuk menuju ke bahagian dalam masjid. Pintu masjid ini bertutup semasa saya tiba. Oleh hal demikian, saya cuba mengintai di celah-celah kelarai untuk melihat apa yang ada di tingkat bawah. Kelihatan meja dan kerusi di susun secara teratur seolah-olah menjadi markas tempat pengajian (mungkin juga pertemuan dengan tujuan tertentu). Bahagian tingkat atas pula adalah ruang solat jemaah. Saya tidak pasti sama ada masjid tua ini masih berfungsi sebagai tempat bersolat penduduk setempat atau hanya digunakan sebagai tempat pertemuan bagi acara-acara tertentu.

 

Tangga batu menuju ke bahagian pintu masuk utama…pertemuan 2 bahagian tangga yang dibina pada sisi kiri dan kanan sebelum melangkah menaiki  3 lagi anak tangga menuju ke ruang dalam solat.