RSS
 

Archive for the ‘Jawa Tengah: Siri 1’ Category

Penyelidikan Lapangan: Identiti Seni Ukiran Jepara (Hari ke-4)

05 Apr

Tarikh: 18 Mac 2011
Lokasi: Semarang – Solo

 

Pada episod kali ini,  dipaparkan siri akhir perjalanan kajian lapangan Identiti Seni Ukiran Kayu Jepara. Dengan perkongsian catatan yang bakal ditelusuri, maka tamatlah misi delegasi 20 orang pelajar pascasiswazah (MA dan Phd) Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI di Jawa Tengah.


 

Asyik merakam foto bersama penumpang, kali ini saya mengabadikan kenangan di sisi hadapan bas pengangkutan. Bas inilah yang membawa kumpulan pelajar dan pensyarah pembimbing sepanjang menjalankan kajian lapangan.

 

 

Inilah wajah pemandu (kiri) dan temannya (kanan) yang turut serta dalam misi kajian lapangan. Mereka ini umpama kompas yang memandu arah perjalanan.


 

Di sebabkan tempat duduk sudah penuh dengan muatan barang, jadi terpaksa duduk di ruang paling hadapan. Hikmahnya, senang nak rakam foto di luar jendela kaca sebab duduk betul-betul menghadap cermin bas. Tapi, selepas foto ini dirakam, tuan punya badan terhantuk di cermin sisi kiri akibat terlelap! Nasib baik tidak terhantuk ke hadapan, kalau tidak mahu jadi jendul macam ikan flower horn!


 

Satu pemandangan yang menarik…kelihatan sekumpulan spesis seperti bangau putih bersantai di atas pohon.


 

Singgah isi minyak buat bekalan 3 jam perjalanan dari arah Semarang ke Solo. Lihatlah puncak gunung Merapi  yang melatari pandangan.

 

 

Labu di Tanah Jawa, saiznya ada yang lebih besar dari pemeluk orang dewasa.


 

Gelagat penumpang di belakang…

 

 

Akhirnya tiba jua di perkarangan Bandar Udara Internasional Adi Soemarmo di Boyolali

 

 

Masing-masing sibuk memunggah barang dari dalam bas…saya pula dengan santai merakamkan foto bersama barangan di atas troli.

 

 

Ukiran timbul (relief) pada permukaan dinding kayu mengundang perhatian…lalu lensa kamera pun dituju tepat ke arah tuan punya kamera.

 

 

Hanya ini aksesori yang dibeli…kebetulan ada ruang waktu sebelum berlepas pulang, jadi berlegar-legar di gerai jualan kraftangan. Hasil tinjau-meninjau, terpandang 2 objek idaman yang menjadi pilihan iaitu gelang dan cincin kayu.

 

 

5 bentuk cincin kayu sebagai pelengkap kepada buku 5!

 

 

Cuci mata 1

 

 

Cuci mata 2

 

 

Cuci mata 3

 

 

 

Masih sempat berfoto semasa menemankan beberapa orang teman ke kamar kecil (tandas)

 

 

Selamat Jalan Solo!

~ Sekian ~

 

Siri Tinjauan Peribadi: Jejak Masjid Tua dan Makam Lama di Jawa Tengah (Hari ke-3)

28 Mar

 

Tarikh: 17 Mac 2011
Lokasi: Semarang – Demak – Jepara – Kudus

 

Siri Tinjauan Peribadi ini sebenarnya adalah kesinambungan daripada catatan perjalanan hari per-1 dan ke-2 semasa menjalankan kajian lapangan (Rujuk Kajian Lapangan: Identiti Seni Ukiran Jepara 1 & 2). Pada catatan kali ini, saya kongsikan siri jejak masjid tua dan makam lama di beberapa lokasi  seperti Demak, Jepara dan Kudus di Wilayah Jawa Tengah. Siri tinjauan peribadi ini saya jalankan setelah memohon kebenaran dan mendapat keizinan daripada Dr. Abdul Halim Husain selaku pensyarah pembimbing yang mengiringi misi kajian lapangan ini. Justeru, dengan ditemani seorang teman, saya telah mengatur jadual perancangan untuk menjalankan siri tinjauan peribadi. Dari arah Semarang, kenderaan kami telah bergerak ke Kota Demak dan meneruskan perjalanan ke Kota Jepara sebelum menamatkan jejak ke destinasi terakhir iaitu Kota Kudus.

 

Sementara menunggu kenderan sewaan, saya dan seorang teman masih sempat merakamkan foto secara santai di luar perkarangan rumah penginapan. Lokasi penginapan Rumah Watoe Lawang ini terletak di kawasan yang agak tinggi berdekatan cerun bukit. Untuk makluman, daerah Semarang mempunyai bentuk mukabumi yang berbukit-bukit. Justeru, rata-rata daripada kawasan kediaman didirikan di kawasan agak tinggi.


Destinasi pertama kunjungan adalah di Masjid Agung Demak (sekitar kurun ke-15). Masjid ini hanya 1 jam perjalanan dari Semarang. Alhamdulillah, akhirnya tertunai hajat saya untuk menjalankan siri tinjauan peribadi bagi melihat lebih dekat lagi senibina luar dan dalaman masjid tertua di Nusantara ini.

 

Hiasan puncak Masjid Agung Demak dengan mahkota di puncak perabung. Kayu buton di bucu perabung pula menjadi pelengkap kepada papan pator di hujung cucuran atap.

 

Dalam catatan terdahulu, saya pernah menyebut tentang ukiran papan kepala cicak yang terdapat pada bucu perabung Masjid Agung Demak. Dengan hanya merujuk kepada imej visual, saya menelah ianya adalah ragamhias papan kepala cicak. Namun, tinjauan peribadi ke masjid tua ini membuka ruang untuk saya menjalankan pemerhatian lebih dekat untuk mengenalpasti rekabentuknya secara lebih tepat. Akhirnya, dapatlah disahihkan bahawa rekabentuk sebenar yang terdapat pada bucu perabung masjid ini adalah ukiran kayu buton dan bukannya ukiran papan kepala cicak seperti telahan sebelumnya.

 

Ruang dalam Masjid Agung Demak. Perhatikan 4 tiang seri yang menjadi penyangga. Tiang ini mempunyai ukurlilit 2 pemeluk orang dewasa. Pada masa saya berada di ruang dalam, tidak perasan akan papan info di kaki tiang penyangga. Namun, sedang saya memuatnaik (upload) foto ini di laman sanggar, barulah disedari info tertera berupa pesanan kepada pengunjung/ jemaah agar tidak tidur dan merakam foto di ruang dalam masjid.


Inilah wajah hamba Allah yang memberi keizinan kepada saya merakam foto ruang dalam masjid. Beliaulah yang mengiringi saya masuk sehingga ke ruang paling hadapan iaitu ruang mihrab dan mimbar. Beliau jugalah yang memegang kunci mimbar dan binaan khas tempat solat di Raja Demak.

 

Pintu yang menempatkan mimbar tua yang asalnya adalah singgahsana Raja Kerajaan Majapahit . Namun, singgahsana telah beralihfungsi menjadi mimbar dan utuh berdiri sehingga ke hari ini. Pintu mimbar ini hanya dibuka pada hari jumaat ketika khatib membaca khutbah. Agak sukar merakam foto rekabentuk mimbar dari hadapan kerana dihadang hanya beberapa langkah oleh tiang penyangga bersaiz 2 pemeluk orang dewasa bertentangan  pintu mimbar.


Andai di sisi kanan mihrab diletakkan mimbar, di sisi kiri pula, terdapat binaan khas (bilik kecil) yang menjadi tempat solat Raja Demak dahulu kala. Ianya adalah ruang khusus bersolat bagi Sultan/ Raja untuk mengelakkan diri daripada sebarang mara bahaya oleh pihak musuh.

 

Setelah merakam foto di ruang dalam, saya melangkah pula ke ruang luar serambi masjid. Permukaan lantai adalah dari kemasan marmar atau jubin.


Tiang penyangga dengan hiasan ukiran dari unsur tumbuhan di permukaannya. Tiang ini asalnya adalah tiang seri di istana Kerajaan Majapahit yang dipindahkan ke ruang serambi masjid. Tiang kayu berukir indah ditegakkan di atas kaki tiang (batu hitam) daripada bahan simen.

 

Langkah seterusnya, menuju ke pejabat pentadbiran yang sehaluan dengan lokasi ke kompleks makam Kesultanan Bintoro – Demak. Saya diminta pihak pengurusan masjid untuk meninggalkan buah pena pada buku tetamu Masjid Agung Demak. Ada jugalah wakil dari pihak Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI yang hadir berkunjung ke masjid bersejarah di Nusantara ini.

 

Beduk zaman wali abad ke-15 yang tersimpan dalam Muzium Mini Masjid Agung Demak. Di dalam muzium ini masih tersimpan dengan baik objek cagar budaya pada zaman Kesultanan Bintoro – Demak.

 

Gentong Kong dari Dinasti Ming di Muzium Agung Demak. Gentong ini adalah hadiah Puteri Champa abad ke-15.

 

Pertemuan yang tidak dirancang dengan Drs. KH Moh Asyiq selaku Ketua Umum Masjid Agung Demak. Alang-alang bersua, saya jalankan pula misi temubual secara spontan (lagak seperti seorang wartawan menemuramah informan untuk slot Jejak Mihrab & Mimbar).

 

Kompleks makam Raja Trenggono (1521M-1546M) dan makam kerabat Kesultanan Bintoro-Demak di sekitarnya.

 

Paling kanan: Makam Raden Fatah (Sultan Demak I: 1478M-1518M)
2 dari kanan : Makam Raden Pati Unus (Sultan Demak II: 1518M-1521M)
3 dari kanan : Permaisuri Raden Fatah

* Setelah Raden Pati Unus mangkat, baginda telah digantikan oleh Raja Trenggono (1521M-1546M)

 

Ragamhias pada permukaan batu nesan makam Kanjeng Pangeran Benowo di luar pagar jeriji kompleks makam ini mengundang perhatian.

 

Teman yang menemani misi tinjauan peribadi ini sedang membeli buah di pasar Demak. Buah belimbing terkenal di Demak kerana saiznya yang agak besar selain kemanisan isinya.

 

Sesi ziarah berikutnya adalah ke kompleks makam Sunan Kalijaga di Kadilangu, Jepara. Lorong ke kompleks makam ini menjadi tapak yang menempatkan gerai jualan pakaian dan seni kerajinan tangan masyarakat di Jepara.

 

Dalam perjalanan, terserempak pula dengan sekumpulan remaja sekolah menengah yang turut berbelanja di gerai jualan. Rakam foto kenangan bersama adik-adik manis yang bertudung putih…

 

Kompleks makam Sunan Kalijaga (salah seorang daripada Wali Sembilan di Tanah Jawa). Rekabentuk atap tumpang dengan mahkota di puncak dan sulur bayur di bucu perabungnya punya persamaan dengan hiasan puncak masjid tua di Melaka.

 

 

Gerbang menuju ke kompleks makam Sunan Kalijaga. Perhatikan ragamhias sulur pada bahagian kiri dan kanan gerbang masuk.

 

Sekumpulan anak muda ini hadir berziarah ke makam Sunan Kalijaga. Pintu masuk ke kompleks makam ini hanya dibuka pada hari keliwon. Hiasan ukiran di muka pintu dan panel kayu pada bahagian kiri dan kanan yang mengapit pintu dihasilkan dengan penuh kehalusan dan ketelitian.

 

Pulang dari berziarah ke makam wali, singgah pula ke kedai berdekatan. Nikmati ais campur istimewa…Ingatkan ianya seperti air batu campur seperti di Malaysia, tetapi air ini sama seperti cendol ais kerana menggunakan santan.

 

Tinjauan seterusnya…ke masjid tua Mantingan di Jepara. Sengaja saya paparkan foto yang agak miring ke sisi. Tujuannya untuk memperlihatkan hiasan puncak masjid lama yang masih mengekalkan atap tumpang bermahkota.


Sesi ziarah ke kompleks makam Ratu Kalinyamat yang terletak di belakang Masjid Mantingan. Dua gerbang batu perlu dilalui sebelum tiba di muka pintu kayu. Gerbang ini adalah laluan masuk  kedua setelah melalui gerbang pertama. Ruang di antara gerbang pertama dan kedua dipenuhi batu nesan pada bahagian kiri dan kanannya.


Rata-rata rekabentuk batu nesan di perkarangan kompleks makam Ratu Kalinyamat mempunyai rekabentuk nesan sebegini. Batu nesan dipahat seakan bentuk hati dengan sulur mengapit di sisi kanan dan kiri.

Seharian memberi tumpuan di lokasi tinjauan sehingga waktu makan tengah hari tersasar dari masa sepatutnya. Tanguh punya tangguh…akhirnya jam 4.00 petang barulah menikmati juadah tengah hari. Seekor ikan gurami istimewa menjadi menu utama. Rasanya seperti ikan talapia…

 

Pemandu yang membawa saya dan seorang teman sepanjang hari ke-3 perjalanan…saudara Rafa’i namanya. Sempat lagi dia mengunyah belimbing sebagai pencuci mulut dalam perjalanan menuju ke Kota Kudus.


Kenderaan kami tiba di Menara Kudus pada waktu solat maghrib. Pengunjung bertali arus di luar perkarangan Menara Kudus. Namun, mereka beransur-ansur bergerak ke ruang dalam masjid ketika azan maghrib bergema.

 

Laungan azan rupanya berkumandang dari arah Menara Kudus. Kelihatan bilal menuruni anak tangga setelah selesai melaungkan azan dari puncak menara. Masjid ini adalah adunan daripada 2 budaya iaitu asimilasi dari pengaruh budaya Islam dan Hindu. Ia dibina oleh Sunan Kudus pada tahun 1549M/956H. Apa yang menarik adalah batu pertamanya yang menggunakan batu dari Baitul Maqdis, Palestin.


Ini pula gerbang di sisi kiri Menara Kudus. Ia adalah laluan untuk menuju ke Kompleks Makam Sunan Kudus yang terletak di belakang menara.

 

Tinjauan peribadi berakhir dalam siri ziarah ke makam Sunan Kudus. Pengunjung yang berziarah umpama semut yang menghurung gula. Alhamdulillah…sempurnalah sudah siri tinjauan peribadi di Jawa Tengah.


 

Penyelidikan Lapangan: Identiti Seni Ukiran Jepara (Hari ke-2)

26 Mar

Tarikh : 16 Mac 2011
Lokasi : Semarang – Jepara


Catatan ini adalah susulan daripada episod siri perjalanan hari per-1. Kumpulan penyelidik yang terdiri daripada 20 orang pelajar dan diselia oleh pensyarah pembimbing iaitu Dr. Abdul Halim bin Husain telah berkumpul seawal jam 8.00 pagi di ruang lobi. Sementara menunggu ahli yang lain tiba, saya mengambil peluang merakam foto di sekitar lokasi penginapan. Berikut saya paparkan sebahagian foto yang mengundang perhatian buat perkongsian dengan sekalian teman dan tetamu yang bertandang di sanggar ini.



Mini lanskap di lokasi penginapan Roemah Watoe Lawang di Semarang


 

Rekabentuk lebah bergantung pada kepala gerbang ruang santai di lokasi penginapan. Ukiran buah nanas dalam kedudukan terbalik menjadi ragamhias pilihan.



Rekabentuk sulur bayur yang menjadi hiasan di bucu perabung. Rekabentuk sebegini amat sinonim dengan rata-rata binaan hiasan puncak di Jawa Tengah.

 


Kumpulan penyelidik merakamkan foto kenangan bersama Dr. Abdul Halim bin Husain (pensyarah pembimbing) sebelum berangkat ke lokasi kajian.

 


Pemandu yang membawa kami sepanjang tempoh 4 hari di Jawa Tengah.

 


Sawah padi nan luas terbentang melatari pemandangan di sepanjang perjalanan. Tanah di Pulau Jawa sangat subur kerana jenis tanah gunung berapi yang beralkali (tidak berasid) yang sesuai untuk tanaman padi sawah.


 

Simpang kiri ke Kota Demak manakala simpang kanan ke Kota Kudus. Arah mana yang harus dituju? Untuk menuju ke Jepara, kenderaan harus membelok ke kanan. Hal demikian kerana jalan menuju ke Kota Jepara adalah sehaluan dengan arah ke Kota Kudus.

 


Sedang menanti lampu merah bertukar hijau, bas pengangkutan berhenti seketika. Lalu, muncul pula seorang penjaja di pembahagi jalan menghulur segugus kacang soya rebus. Nilainya 1000 rupiah (35 sen) amat murah jika dibandingkan dengan nilai khasiat yang terkandung di dalamnya. Inilah pertama kali saya menikmati rasa kacang soya rebus yang segar…

 


Demo (tunjuk cara) mengeluarkan isi kacang soya dari kulitnya. Hanya picit, lalu masukkan terus ke dalam mulut. Kunyah dengan perlahan untuk menikmati rasanya yang agak lemak.

 


Dari jendela kaca kelihatan susunan batu-bata yang dijemur di bawah terik matahari sebelum proses pembakaran. Di jawa, perusahaan ini dikenali dengan pembuatan batako. Jika musim kemarau, pengeringan batu-bata berlangsung dalam waktu 7 hari sedangkan pada musim hujan pula, memakan masa sehingga 10 hingga ke 15 hari sebelum bata mentah dibakar.

 


Setelah melalui hampir 3 jam perjalanan, kumpulan kami pun tiba di SMK Negeri 2 Jepara. Di sinilah bermulanya kajian terhadap seni ukiran di Jepara.

 


Masing-masing memberi tumpuan terhadap sesi taklimat yang disampaikan. Seterusnya menyusul pula sesi impal balas di antara delegasi UPSI dengan tenaga pengajar di SMK Negeri 2 Jepara.

 


Sekotak kudapan di berikan kepada setiap seorang daripada kami. Alas perut sebelum menanti makan tengah hari.

 


Bergambar di luar perkarangan dewan taklimat bersama tenaga pengajar SMK Negeri 2 Jepara sebelum berlalu pergi meneruskan misi kajian lapangan.

 


Seperti biasa…aktiviti sambil menyelam minum air. Saya menggunakan kesempatan yang masih bersisa dengan berdiskusi secara santai di meja makan bersama Drs. H. Sudharto. Isu perbincangan berkait tentang asimilasi budaya di antara ciri-ciri senibina di antara 2 cakupan wilayah iaitu Jawa Tengah dengan di Semenanjung khususnya Melaka. Hal demikian kerana wujudnya persamaan yang ketara hasil pemerhatian terhadap konsep atap julang langit yang bertindan 3 lapis. Selain itu, turut dikesan ciri persamaan hiasan ukiran dari bahan tanah liat pada mahkota atap, sulur bayur dan lebah bergantung dalam senibina.

 


Lokasi kunjungan seterusnya ke perkampungan para pengukir di Desa Tepus, Jepara. Di sinilah kumpulan kami meneruskan misi kajian. Tugasan telah diagihkan mengikut kumpulan, justeru ia memudahkan proses pengumpulan data di lapangan.

 


Salah seorang pengukir yang sedang tekun memahat kayu di serambi rumahnya.

 


Perhatikan cara si pengukir memegang kayu penukul. Jari telunjuk berada di atas kepala penukul, manakala jari yg lain menggenggam pemegang penukul.



Lihat pula bagaimana si pengukir memegang pahat. Proses mengukir kayu memerlukan teknik memahat dan menukul yang betul.

 


Set pahat yang digunakan para pengukir di Jepara. Set lengkap alat pahatan berjumlah 30 bilah. Harga bagi set pahat yang berkualiti mencecah R250 000 atau RM100 (termasuk penukul dan batu asah).

 


Mari kita lihat lebih dekat bentuk pahat yang digunakan oleh para pengukir di Jepara. Pahat ini akan diasah sekiranya tumpul menggunakan batu asah.

 

 

Hasil ukiran masyarakat Desa Tepus, Jepara dijual di kedai berdekatan. Pelbagai bentuk ukiran terdapat di sepanjang deretan kedai jualan yang didirikan secara bertentangan.

 


Ukiran kayu dengan rekabentuk daun maple mengundang perhatian.

 


Sejumlah ukiran kayu yang bersusun di permukaan lantai dan bergantungan di ruang jualan

 


Lompat setempat!

 


Lompatan kaku kuda versi kayu

 


Singa yang sentiasa menganga…tapi tak pernah meminta habuannya

 


Aksi yang boleh ditiru…kerana ini hanyalah singa kayu

 


Lokasi akhir ke pusat kraf tenunan. Kumpulan kami tiba pada waktu senja…tidak lama selepas itu, azan maghrib pun bergema. Kami dijamu makan petang dengan kuih-muih tradisi masyarakat di Jawa Tengah. Di sinilah kumpulan kami mengalas perut sebelum makan malam atas undangan Prof. Dr. Tjejep Rohendi Rohidi di kediamannya.

Siri perjalanan hari ke-3 bakal menyusul…


 

Penyelidikan Lapangan: Identiti Seni Ukiran Jepara (Hari per-1)

21 Mar

 

Tarikh : 15 Mac 2011
Lokasi : Solo – Semarang

 

Program penyelidikan lapangan bagi mengenalpasti Identiti Seni Ukiran Jepara telah dijalankan pada tanggal 15 hingga 18 Mac 2011 yang lalu. Sekumpulan pelajar (terdiri daripada 8 pelajar ijazah sarjana dan 12 pelajar doktor falsafah) Program Pasca Siswazah Seni di Jabatan Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI telah menyertai kajian lapangan ini. Program di bawah bimbingan Dr. Abdul Halim bin Husain ini merupakan penyelidikan seni kraf untuk memenuhi keperluan kursus bagi menjayakan Projek Kajian Metodologi Penyelidikan Seni dan Pendidikan Seni (SSP 6503). Peluang menjayakan misi kajian ilmiah ini bagaikan bulan jatuh ke riba kerana telah sekian lama saya berhajat menjalankan tinjauan peribadi  di Jawa Tengah khususnya di Demak. Justeru, kesempatan turut serta dalam penyelidikan ini membuka ruang untuk saya menjalankan misi serampang 2 mata. Hajat sampingan untuk melihat lebih dekat senibina masjid tertua di Nusantara iaitu Masjid Agung Demak. Siri kunjungan ini adalah jejak kali ke-12 saya ke wilayah Indonesia. Ianya disifatkan sebagai pelengkap kepada siri tinjauan ilmiah dan peribadi saya meneroka cagar budaya khususnya senibina lama di beberapa cakupan wilayah seperti Sumatera Barat, Sumatera Utara, Acheh, Sulawesi Selatan, Bali dan Patani sebelum ini.

 

Foto rakaman pemandangan bumi Solo di sebalik jendela kaca pesawat. Cuaca agak mendung di luar sana…

 

Delegasi UPSI yang terdiri daripada kumpulan penyelidik Identiti Seni Ukiran Jepara tiba sekitar jam 12.00 di Lapangan Terbang Adi Soemarmo di Boyolali, Solo.

 

Kumpulan kami menanti dengan penuh kesabaran di kaunter imigresen lapangan terbang untuk check in

 

Sebaik tiba, Prof. Dr. Tjejep Rohendi Rohidi telah sedia menanti di luar pintu masuk menyambut delegasi kami. Sebelum melangkah meneruskan perjalanan, kumpulan kami mengabadikan foto rakaman di luar perkarangan pintu masuk utama.

 

Gelagat santai saudara Zahidi @ Ad (berdiri) ketika berada di ruang dalam bas. Dalam ahli kumpulan kami, celotehnya yang bersahaja bak penglipur lara menceriakan suasana. Ada sahaja isu yang diketengahkan…umpama radio bergerak yang menjadi halwa telinga kami semua.

 

Stesen keretapi ini mengundang perhatian, lalu lensa kamera pun dihalakan ke luar jendela kaca. Imbasan stesen keretapi Tumpat menerjah ruang ingatan. Bagai ada persamaaan di antara kedua stesen walaupun terletak di cakupan berbeza.

 

Dari kejauhan kelihatan bangunan Balai Kota Surakarta. Hiasan puncak binaan ini berkonsepkan atap tumpang (julang langit/ piramid) yang bersusun 3 lapis.

 

Bas yang membawa kami telah masuk ke perkarangan Universitas Sebelas Maret Surakarta. Lihatlah hiasan puncak bangunan ini yang mempunyai rekabentuk atap tumpang. Rata-rata daripada bangunan kerajaan atau masjid-masjid di Jawa Tengah dikesan (berdasarkan pemerhatian) memiliki ciri rekabentuk sebegini.

 

Setelah melalui hampir 1 jam perjalanan, kami tiba di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan. Apa yang mengundang reaksi sepasang mata adalah ciri ragamhias kayu tunjuk langit di tengah tebar layar dan sulur bayur di bucu perabung. Nampaknya, identiti rekabentuk ukiran yang terdapat di Jawa Tengah mempunyai persamaan dengan ciri yang terdapat pada ragamhias binaan lama di Semenanjung (khususnya di Melaka). Ciri sebegini turut dikesan dalam tinjauan peribadi ke beberapa wilayah lain di Indonesia seperti Acheh (khususnya di Pidie), Sulawesi Selatan dan beberapa bahagian di Sumatera Barat. Akulturasi budaya dalam senibina ini telah berasimilasi dengan budaya lokal hasil jaringan migrasi.

 

Sesi taklimat bermula sebaik tiba…

 

Masing-masing menumpukan perhatian walaupun perut mula berkeroncong. Maklum sahajalah,  jam  sudah melepasi waktu untuk makan tengah hari. Namun, kami masih mampu bertahan dengan alasan, apalah salahnya sabar menanti. Bukan setiap hari melalui situasi begini, hanya sesekali…

 

Bagaikan mengerti yang perut tetamu perlu diisi…sekotak kudapan diagih-agihkan kepada kami. Apalagi…masing-masing dengan wajah manis (sebelumnya agak kelat dek menahan lapar) membuka kotak kudapan masing-masing. Nikmatnya saat menjamah di antara lelangit dengan lidah…alas perut sebelum menikmati juadah tengah hari setelah selesai taklimat nanti.

 

Merakamkan foto kenangan bersama karyawan di Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan sebelum beredar meneruskan perjalanan.


Sempat merakam foto bersama teman seperjuangan di perkarangan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan. (Dari kiri: Saravanan Kumar, Harleny (empunya sanggar ini), Lydia dan Zahrim)

 

Lokasi kunjungan seterusnya adalah ke galeri seni di Semarang yang bertemakan Art Edu Care. Di sini juga kumpulan kami menunaikan solat jamak takhir.

 

Foto-foto berikut adalah sebahagian karya yang dipamerkan di ruang pameran. Kapsyen yang tertera bukan merujuk kepada tema hasil karya, sebaliknya hanya rekaan penulis semata-mata.

 

Lembaga Jerami

 

Transformer cap Semarang

 

Soldadu Gebu

 

Maskulin


Simbolik

 

Rakaman ruang pameran dari arah muka pintu sebelum berlalu

 

Singgah di sebuah restoran untuk menikmati juadah tengah hari (jamak bersekali dengan makan malam…sebab agak lewat daripada yang sepatutnya). Wajah teman seperjuangan yang sabar menanti. Masih mampu tersenyum lagi. Inilah istimewanya golongan pendidik yang seharusnya mendidik diri dengan nilai kesabaran yang tinggi.

 

Sambil menanti juadah tiba, sempat lagi beraksi di hadapan lensa kamera

 

Juadah pembuka…semangkuk mee sup panas

 

Disusuli pula hidangan nasi beralaskan daun pisang

 

Itu dia…menu lauk pauk pula menuju ke meja

 

Hidangan nasi ambeng menepati selera kami semua. Berseninya hidangan ini sehingga lesung batu pun dihidang sekali di atas tampi. Antara menunya adalah ayam kampung goreng, tauhu goreng, daging bakar, sate, kerabu, daun cekur dan sambal belacan.

Setelah sesi mengisi perut, kumpulan kami pun beredar lalu meneruskan perjalanan ke destinasi akhir menuju ke lokasi penginapan Watoe Lawang di Semarang.

Nantikan siri seterusnya dalam perjalanan hari ke-2…