Tarikh : 26 Disember 2011
Lokasi : Banda Aceh dan Tanoh Abee
Catatan pada kali ini, memaparkan perjalanan hari ke-6 iaitu hari terakhir dalam Siri ke-6 Jejak Mihrab dan Mimbar di Tanah Rencong. Perjalanan ini ditamatkan pada hari bersejarah kerana ianya jatuh pada tanggal 26 Disember 2011 iaitu tepat 7 tahun tragedi tsunami melanda Acheh.
Oleh kerana penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadualkan pada sebelah petang, maka saya membuat keputusan menggunakan baki masa yang masih bersisa untuk meneruskan misi perjalanan menghala ke Tanoh Abee di Aceh Besar. Hal demikian kerana, kunjungan ke lokasi sama pada hari sebelumnya tidak mencapai objektif yang diharapkan. Maka, ruang waktu yang masih ada dianggap sebagai pembuka laluan untuk bergerak dengan selesa.
Rumah adat khas Acheh yang tersergam indah dalam perkarangan Dayah Tanoh Abee menggamit pandangan untuk melangkah lebih dekat melihat keindahan ragamhias.
Ukiran dengan teknik tebuk tembus berunsur tumbuhan pada bahagian muka tebar layar. Hiasan ukiran papan cantik yang menutup gelegar juga mengundang perhatian.
Perpustakaan Kuno Tanoh Abee berdekatan rumah adat khas dalam kawasan Dayah Tanoh Abee.
Info pada dinding Perpustakaan Kuno Tanoh Abee tertera:
Perpustakaan ini milik peribadi keturunan Tgk. Chik Tanoh Abee Al-Fairus Al-Bagdadi. Di dalam perpustakaan ini banyak tersimpan manuskrip-manuskrip tentang Islam, sejarah dan kebudayaan Aceh dari abad 16 hingga abad 19M.
Berfoto kenangan bersama Umi iaitu isteri kepada Allahyarham Tgk. Haji Muhammad Dahlan (pemilik Dayah Tanoh Abee). Pada masa kunjungan, Umi kelihatan kurang bermaya kerana tidak sihat (kurang selera makan). Namun, saat saya dan keluarga tiba, beliau gagahkan juga untuk bangkit seketika sebagai mengalu-alukan kedatangan kami ke lokasi kediamannya.
Kunjungan seterusnya menuju ke kawasan Jirat Putih. Jirat menurut sebutan orang Acheh membawa erti kawasan perkuburan. Hadirnya saya ke sini lantaran dimaklumkan oleh Umi tentang keberadaan binaan mihrab yang terdapat dalam kawasan makam Sheikh Fairus Al-Baqdadi. Menurut tradisi lisan, almarhum berasal dari Baghdad dan menetap di Acheh pada paruh ke-2 abad ke-17. Anak cucu almarhum kemudiannya telah mendirikan 4 buah dayah di Acheh iaitu 3 di daerah Seulimeun (Tanoh Abee, Klut dan Leupung Ngoum) dan 1 di Lampucuk yang terletak di daerah Indrapuri. Istilah dayah dipercayai berasal daripada kata zawiyah iaitu sebuah lembaga pendidikan Islam tradisional lokal yang semisal dengan istilah pesantren di Tanah Jawa.

Keunikan akar yang membentuk objek seakan buaya atau naga. Saya temukan ia dalam kawasan makam Fairus Al-Baqdadi.
Rakam foto sebelum beredar dari kawasan Jirat Putih di Dayah Tanoh Abee. Pemandangan indah melatari suasana, menenang jiwa.
Dari Tanoh Abee, kenderaan berpatah semula menuju ke hotel penginapan di Banda Aceh. Singgah di warung bakso bertentangan Hotel Sulthan. Nikmati semangkuk bakso sebelum pulang ke kamar hotel penginapan untuk bersolat.
Lokasi terakhir kunjungan sebelum perjalanan ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda adalah menuju ke Muzium Tsunami di Banda Aceh. Kunjungan kali ke-2 ini bagi memenuhi jadual lawatan dek membawa seorang sepupu yang turut serta dalam kajian lapangan.
Sempena mengenang tragedi tsunami 7 tahun yang lalu, pihak muzium telah memaparkan sejumlah foto sempena mengenang peristiwa tsunami meluluhlantak Wilayah Acheh.
Saksikan perkongsian foto paparan sebelum tirai siri ke-6 ditamatkan…sekian



































































































