RSS
 

Archive for the ‘Jejak Mihrab Acheh: Siri 2’ Category

Lokasi Terakhir di Istana Maimoon (Hari ke-8)

06 Dec

 

Tarikh : 05 Oktober 2009
Lokasi : Medan

 

Catatan ini adalah penutup kepada misi Jejak Mihrab Acheh: Siri 2…

 

Pada hari terakhir sebelum berangkat pulang, saya ditemani ayahanda dan bonda keluar membeli ole-ole buat keluarga. Kami menaiki beca menuju ke pasar berdekatan.

 

Masjid Raya Al-Mashun ini terletak bertentangan dengan Hotel Madani…namun baru hari terakhir saya singgah ke sini.

 

Mihrab dan mimbar di ruang hadapan. Dinding mihrab dan tangga mimbar diperbuat daripada batu mar-mar.

 

Destinasi seterusnya menuju ke Istana Maimoon. Lokasi istana ini terletak berdekatan dengan Masjid Raya Al-Mashun.

 

Ukiran dengan kombinasi warna emas, hijau dan merah pada kepala tiang penyangga di ruang dalam istana.

 

Singgahsana  di ruang dalam istana…

 

Setelah ke semua bahagian dalam istana dilawati, maka langkah pun diatur menuruni anak tangga. Langkah seterusnya ke pintu masuk kenderaan untuk menuju ke Lapangan Terbang Polonia. Langkah pulang setelah 8 hari berada di seberang lautan.

Alhamdulillah…tamatlah sudah catatan hari terakhir perjalanan.

 

 

Menghadiri Majlis Perkahwinan Waris di Medan (Hari ke-7)

06 Dec

 

Tarikh : 04 Oktober 2009
Lokasi : Binjai, Medan

 

Hari ke-7 saya sifatkan sebagai hari khusus buat bonda yang menjadi peneman setia misi Jejak Mihrab Acheh: Siri 2. Tarikh 28 September hingga 05 Oktober 2009 yang mana siri perjalanannya bermula di Acheh dan siri penutupnya berakhir di Medan telah dipilih agar dapat diselaraskan dengan tarikh undangan majlis perkahwinan waris ibu (Hjh. Zaniar) di Binjai. Jadual perjalanan sebelum berangkat menjalankan kajian di lapangan telah diatur dan disusun bagi memastikan jadual tersebut seiring hajat bonda yang ingin menghadiri jemputan waris kami yang berada di Medan. Hubungan keluarga di Malaysia dengan waris dari seberang yang telah lama terputus telah terjalin kembali setelah saya mengatur pertemuan bonda dengan Hjh. Zaniar di Bali pada tahun 2006. Kebetulan Hjh. Zaniar sedang bercuti di rumah salah seorang puteranya di Bali. Percutian saya sekeluarga ke Bali pada masa tersebut turut ditemani ayahanda dan bonda yang akhirnya telah menemukan bonda dengan warisnya (bersusurgalurkan Muhammad Ali bin Haji Mustafa Raja Kamala dengan isteri pertamanya yang makamnya di Kuala Langkat).

 

Bonda Aini (tengah) bersama kakanda sulungnya Raslah yang saya panggil Mak We (kiri) dan adindanya Hasmah yang saya panggil Mak Lang (kanan). Kedua-dua bonda saudara saya ini tiba dari Kuala Lumpur sehari sebelum resepsi perkahwinan dan menginap di hotel yang sama.

 

Ibu Hajah Zaniar (berbaju hitam) adalah waris ibu di Binjai yang mengundang kami menghadiri majlis perkahwinan puteri bongsunya. Di belakang beliau adalah menantu lelaki yang sedang diarak masuk ke pelantar persandingan.

 

 

Bonda sedang menepung tawar pasangan pengantin. Saya pula bertindak sebagai jurugambar amatur mengekori pergerakan bonda. Inilah kali pertama saya berkunjung ke Medan bertemu sekalian waris di sana. Seperti biasa, sambil menyelam minum air…saya tidak melepaskan peluang menjalankan sesi temubual secara santai sambil merakamkan perbualan menggunakan pita rakaman suara dengan beberapa orang waris ibu di sana. Selain misi jejak mihrab dan mimbar, saya turut menjalankan kajian peribadi dalam menelusuri jurai keturunan dari sebelah bonda yang terkait dengan darah keturunan bersusurgalurkan Kesultanan Acheh.

 

 

 

Dari Perlak di Acheh Timur ke Medan di Sumatera Utara (Hari ke-6)

06 Dec

 

Tarikh : 03 Oktober 2009
Lokasi : Perlak – Langsa – Medan

 


Destinasi pertama tinjauan adalah di Masjid Baiturrahim di Desa Tualang, Perlak.  Nampaknya, binaan baru telah didirikan bagi menggantikan struktur masjid tua.  Mari kita masuk ke ruang dalam untuk melihat apakah mimbar lama masih terdapat di ruang mihrabnya.

 

 

Alhamdulillah…mimbar kayu berukir indah masih tersimpan baik di ruang dalam masjid. Selesai tugasan, kami pun beredar…

 

Dalam perjalanan menuju ke Medan, team kami berhenti di Langsa untuk menikmati makan tengah hari.

 

Sekitar jam 6.00 petang, kami tiba di pusat bandar Medan. Hampir 30 minit kenderaan kami meredah kesesakan lalulintas… sambil itu mata melilau-lilau mencari lokasi Hotel Madani yang telah pun saya tempah 2 minggu sebelum berangkat ke Acheh.

Lokasi berikutnya menuju ke Hotel Madani untuk istirehat…masa santai yang ditunggu-tunggu setelah 5 hari berturut-turut  (tidak termasuk hari per-1 tiba di Acheh) dalam misi menjalankan kajian lapangan (fieldwork) menjejak mihrab di Acheh.

 

 

 

Dari Peusangan di Bireun ke Simpang Ulim di Acheh Timur (Hari ke-5)

06 Dec

 

Tarikh : 02 Oktober 2009
Lokasi : Peusangan – Pasai – Simpang Ulim

 


Dari hotel penginapan, team kami menuju ke rumah tradisional Tgk. Chik Awe Geutah di Peusangan. Saya hadir ke sini di atas permintaan saudara Arifin dari Yayasan Restu Aceh yang ingin melihat lebih dekat seni ukiran rumah adat khas yang masih utuh berdiri.

 

Kunjungan kami telah disambut baik oleh tuan rumah (waris almarhum Tgk. Chik Awe Geutah). Kami dijemput naik ke atas, lalu masuk ke bahagian dalam rumah untuk melihat lebih dekat khazanah lama yang masih tersimpan di dalamnya.

 

Sebuah kitab lama  ini adalah di antara beberapa koleksi nashkah dengan tulisan tangan.

 

Ayat-ayat suci Al-Quran dihasilkan penuh kekemasan dan ketelitian dengan tulisan tangan.

 

Corak jidar pada lembaran mushaf  dihasilkan penuh kehalusan. Lihatlah betapa telitinya perekacorak menghasilkan lakaran dengan mengolah motif dari unsur alam semulajadi. 

 

Selain kitab-kitab tulisan tangan, turut tersimpan beberapa barangan lama. Salah satu daripadanya adalah terompah kayu. 

 

Bahagian permukaan paha tangga juga  turut dihiasi corak ukiran dari unsur tumbuhan.

 

Kedudukan makam Tgk. Chik Awe Geutah letaknya di bahagian hadapan sisi kanan rumah.

 

Foto makam Tgk. Chik Awe Geutah di dalam kawasan berpagar dan berbumbung.

 

Perjalanan diteruskan menghala ke Samudera Pasai dalam siri ziarah ke Kompleks makam Sultan Malik As Salih. Lebih kurang jam 1.10 tengah hari, kenderaan kami tiba di perkarangan kompleks makam. Oleh kerana team kami tiba pada hari Jumaat, maka saya menunggu ahli yang lain menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran. Kebetulan jurukunci makam juga tiada kerana berada di masjid berdekatan menunaikan solat Jumaat.

 

Lebih kurang jam 2.45 petang, saya dan ahli yang lain masuk ke ruang dalam kompleks makam.

 

Sesi ziarah berikutnya ke Kompleks Makam Puteri Nahrisyah yang lokasinya terletak tidak jauh dari Kompleks Makam Malik As Salih.

 

Makam Puteri Nahrisyah dihasilkan dari jenis batu pualam. Makam ini diklasifikasikan sebagai yang terindah di Asia Tenggara.

 

Lokasi terakhir tinjauan adalah di Masjid Simpang Ulim di bahagian Acheh Timur. Team kami tiba pada waktu maghrib di  sini. Selesai tugasan…kami pun beredar dari kawasan masjid. Jejak seterusnya adalah  meneruskan perjalanan mencari tempat bermalam untuk sesi pejam mata.

 

 

Dari Acheh Barat ke Bireun (Hari ke-4)

04 Dec

 

Tarikh : 01 Oktober 2009
Lokasi : Panton Reu – Geumpang – Glumpang 3 – Bandar Baru – Meureudu – Meurah Dua – Ulim -  Bireun

 

Sebelum memulakan perjalanan, kami berhenti di sebuah gerai untuk bersarapan pagi. Menu pilihan adalah sepinggan bihun goreng.

 

Setelah melalui 1 jam perjalanan, kami singgah di Masjid Syuhada yang terletak di Kampung Mugo Rayeuk, Panton Reu. Lihatlah kelainan rekabentuk hiasan puncaknya.

 

Beginilah keadaan laluan di lereng pergunungan. Permukaan jalannya tidak rata 

 

Lebih kurang jam 11.40 pagi, kami tiba di perkuburan Kubu Aneuk Manyak: 1935 (Kuburan Anak Kecil).

 

 

Rakam foto anak sungai semasa melalui lereng pergunungan…

 

Sebuah masjid yang kelihatan di sisi kanan jalan sewaktu kenderaan melalui jalan datar menuju ke Kota Bakti di Delima, Pidie.

 

Foto dirakam saat melalui Masjid Istiqamah di Kota Bakti, Pidie…

 

Kami berhenti solat jamak takhir di sebuah masjid (lupa mencatat namanya). Apa yang menarik perhatian saya apabila melihat kumpulan anak-anak sekitar usia 7-8 tahun  sedang menjalani pembelajaran bersolat secara amali di serambi masjid.

 

Lokasi berikutnya menjejak Masjid Teupin Raya di Glumpang 3, Pidie. Binaan masjid tua ini telah tiada lagi, sebaliknya hanya sisa runtuhan berupa bongkahan batu-batu binaan.

 

Ini pula adalah perigi lama yang masih kekal dan utuh binaannya. Ia menjadi bukti peninggalan yang menjadi tanda bahawa pernah berdirinya sebuah masjid tua di sini.

 

Jejak seterusnya menuju ke Masjid  Baitul Abraar Nyong di Bandar Baru, Pidie Jaya.

 

Kebetulan dalam perjalanan melalui Masjid Tgk. Di Pucok, jadi kami singgah buat kali ke-2. Kunjungan per-1 ke masjid tua ini adalah pada tanggal 3 Jun 2009.

  

Sekitar jam 8.30 malam, kami tiba di gerbang masjid Tgk. Chik di Pante Geulima di Pidie Jaya. Team kami tidak masuk ke bahagian dalam kerana melihat binaan masjid tua telah didirikan dengan bangunan baru. Hanya merakam foto dari jendela kenderaan.

 

Ini pula adalah gerbang menuju ke Masjid Sultan Iskandar Muda di Kuta Batee (Kota Batu) di Meurah, Pidie Jaya.

 

Jam 9.45 malam, team kami tiba di Masjid Madinah. Sebaik tiba, saya melihat tersergam binaan sebuah masjid baru. Setelah mengenalpasti bahawa mimbar yang berdiri di hadapan ruang mihrab adalah sebuah mimbar baru, lalu team kami pun beredar dari lokasi tersebut.

 

 

Kunjungan terakhir di Masjid Jamek Baitul Iman di Ulim. Binaan masjid tua telah didirikan dengan binaan masjid baru. Inilah lokasi masjid terakhir yang dikunjungi. Seterusnya, destinasi akhir perjalanan menuju ke Bireun untuk mencari lokasi tempat bermalam.