CATATAN PERJALANAN DI ACHEH
01 HINGGA 05 JUN 2009
Tarikh : 01 Jun 2009
Hari : Isnin
Lokasi : Banda Aceh
Bertolak dari LCCT Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh. Ketibaan dijemput oleh Team Yayasan Restu Aceh yang berpusat di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh.
Diraikan dengan tarian Ratoh Bantai oleh Kumpulan Sanggar Lempia sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda. Tarian tradisional ini mempunyai persamaan dengan tarian dikir barat. Alunan lagu kedengaran seperti nasyid dalam irama dikir barat. Terpesona dengan kelincahan geraktari mereka yang agak pantas dan unik.
Lawatan ke tapak lokasi Kapal Janakuasa Elektrik PLTD Apung 1. Kapal ini tersadai lebih kurang 5 kilometer dari kedudukan asalnya di pelabuhan kerana pukulan ombak semasa peristiwa tsunami. Subhanallah… lihatlah betapa besar dan beratnya kapal ini sehinggakan dengan izin Allah terdampar di sebuah perkampungan. Kuasa Maha Pencipta Kerajaan Langit dan Bumi mengatasi segala-galanya kerana tiada yang mustahil bagiNya. Apabila menyaksikan kedudukan kapal ini di lokasi, terlintas di kotak fikiran imej sebuah kapal kertas yang ditiupkan angin kencang lalu dihanyutkan ke tengah kolam dengan sekelip mata.
Ini pula bot yang tersadai di atas sebuah rumah penduduk. Kalau dulu ianya berlayar di lautan, kini ibarat arca terdampar di daratan berfungsi sebagai monumen bersejarah yang kekal terpahat dalam ingatan.
Masjid Rahmatullah ini masih utuh berdiri walaupun rumah di sekelilingnya hancur dilanda ombak tsunami. Terpeliharanya binaan ini daripada binasa adalah kerana Rahmat Allah, seiring namanya Rahmatullah. Foto masjid inilah yang sering dipaparkan dalam laman sesawang (web site) selepas tragedi tsunami berlaku. Khalayak diperlihatkan dengan imej visual dengan satu-satunya binaan iaitu sebuah masjid yang tidak hancur berada di kawasan lapang. Hakikatnya, rata-rata daripada rumah Allah di provinsi Aceh selamat dalam kejadian tersebut, walaupun terletak hampir di pesisir pantai.
Masjid Raya Baiturrahman didirikan pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Binaannya mengikut pola senibina tradisional yang dipadukan dengan ornamen budaya Islam sehingga menjadikan masjid ini amat indah. Masjid ini pernah terbakar pada masa pemerintahan Sultanah Nurul Alam (1675-1678) dan kemudian dibina semula. Pada tahun 1873, masjid ini terbakar buat kali kedua akibat pertempuran yang berkecamuk di sekitarnya yang melibatkan pertempuran Belanda dengan Kerajaan Aceh. Masjid ini kemudiannya dibangunkan semula enam tahun berikutnya (1879) dengan hanya 1 kubah semasa pemerintahan Hindia Belanda berdasarkan rekabentuk yang diperoleh daripada De-Brun. Seterusnya pada tahun 1936, atas usaha Gabenor A. PH. Van Aken, masjid ini diperluaskan dengan penambahan 2 kubah. Pada tahun 1957, pemerintah Indonesia telah memperluaskan lagi ruang dalaman masjid dengan menambah 2 kubah sehingga menjadikan ia 5 kubah sebagai perlambangan Pancasila di bumi Serambi Mekah.
Inilah rekabentuk Masjid Raya Baiturrahman yang tesergam indah di pusat Banda Aceh. Di sekeliling masjid ini terdapat kedai-kedai jualan barangan harian. Semasa kejadian tsunami, sebahagian besar deretan kedai rosak struktur binaannya akibat dipukul ombak. Namun apa yang menakjubkan, masjid ini masih gah dan tidak goyah sedikitpun, malah bah besar yang melanda mula beransur-ansur surut ketika mencecah kaki tangga masjid. Tiada yang mustahil dengan izin Allah….kun fa ya kun
Tarikh : 02 Jun 2009
Hari : Selasa
Lokasi : Banda Aceh & Aceh Besar
08.30 pagi
Bertolak dari Hotel Sulthan Banda Aceh ke lokasi kajian
09.00 pagi: Masjid Tgk. Di Anjong, Kuta Raja, Banda Aceh
Masjid ini sedang diubahsuai ketika dikunjungi oleh peneliti. Ianya terletak bersebelahan dengan makam Tgk. Syiek Di Anjong. Bersebelahan kawasan masjid ini didirikan tugu penanda aras tsunami setinggi 3 meter. Namun, aras sebenarnya melebihi dua kali ganda. Menurut bilal masjid berkenaan, paras air di kawasan masjid tersebut sebenarnya hampir mencecah kubah. Buktinya berdasarkan sisa lumpur yang terpalit pada bahagian luar dinding masjid.
10.20 pagi: Masjid Lamrabo, Kuta Baro, Aceh Besar
Masjid tua ini tidak lagi digunakan untuk menunaikan solat. Bangunan masjidnya bersaiz kecil dan beratap zink kelihatan agak terbiar. Namun mihrabnya masih kekal di ruang dalam dan berada dalam keadaan baik.
01.00 tgh. hari: Masjid Indrapuri, Indrapuri, Aceh Besar
Masjid tua ini dibangunkan oleh Sultan Iskandar Muda pada 1607-1636 M. Ianya masih berfungsi sebagai tempat bersolat sehingga ke hari ini. Di sekeliling masjid ini masih terdapat bekas candi.
02.30 petang: Masjid Babussalam, Darul Kamal, Aceh Besar
Seperti Masjid Lamrabo, masjid Babussalam ini juga tidak lagi digunakan untuk menunaikan solat. Bangunan masjidnya bersaiz kecil dengan rekabentuk mihrabnya yang masih terpelihara dengan baik. Apa yang menarik, terdapat 4 batang kayu berukir berbentuk pensel dengan kedudukan menghunjam ke bawah apabila peneliti mendongak ke bahagian atas.
03.15 petang: Masjid Puni, Darul Imarah, Aceh Besar
Semasa kunjungan, masjid ini hanya tinggal bekas tapak untuk tujuan pembinaan masjid baru.
Tarikh : 03 Jun 2009
Hari : Rabu
Lokasi : Sigli, Pidie & Pidie Jaya
07.30 pagi: Bertolak dari Hotel Sulthan, Banda Aceh ke lokasi kajian
10.00 pagi: Masjid Labui, Pidie
Masjid tua ini telah diruntuhkan dan didirikan dengan yang baru. Di dalam masjid ini ada disimpan khazanah paling berharga iaitu tongkat Sultan Iskandar Muda. Menurut sumber secara lisan oleh kariah masjid, kejadian aneh pernah berlaku apabila orang yang berniat mencuri tongkat tersebut tidak dapat keluar dari masjid kerana dikepung dengan air laut.
11.45 pagi: Masjid Caleue, Indrajaya, Pidie
Masjid tua ini terletak dalam kawasan Kompleks Pesantren Raudhatul Athfal Nuurul Huda di desa Keutapang. Bangunan masjidnya bersaiz kecil dengan tiang bersegi 8 dan masih kukuh binaannya. Masjid baru telah dibina 1 kilometer dari tapak masjid tua ini.
01.10 tgh. hari: Masjid Tgk. Di Pucok Krueng, Meureudu, Pidie Jaya
Masjid Tgk. Di Pucok Krueng ini terletak di desa Beuracan. Ruang dalam masjid ini mempunyai banyak tiang dengan bentuk segi 8. Mihrabnya dibina dengan cantuman ruang khusus yang menganjur ke hadapan. Keadaan ini berbeza dengan masjid Lamrabo, masjid Indrapuri dan masjid Babussalam yang mana mihrabnya didirikan pada bahagian dalam ruang masjid. Masjid baru dibina bersebelahan dengan masjid tua ini.
Kunjungan seterusnya adalah ke rumah Cut Nyak Dien. Pada mulanya, pintu pagar rumah ini bertutup dan dikunci dari luar. Namun, hajat berkunjung ke rumah Srikandi Aceh ini akhirnya kesampaian apabila seorang penjaga yang diberi amanah memegang kunci membuka pagar dan memberi laluan untuk team Jejak Mihrab masuk melawat ke ruang dalam.
Catatan :
Terdapat banyak lokasi bersejarah seperti masjid-masjid tua, kompleks makam raja-raja , ulama dan pahlawan yang boleh dilawati atau diziarahi oleh pengunjung di wilayah ini.
Tarikh : 05 Jun 2009
Hari : Jumaat
Bertolak pulang dari Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh ke LCCT Kuala Lumpur.
Catatan:
Saat-saat akhir sebelum berangkat, Team Yayasan Restu Aceh telah menyerahkan satu salinan (fotokopi) Buku Objek Peninggalan Sejarah dan Kepurbakalaan Aceh. Salinan ini diperoleh daripada Puan Istiqamah, pensyarah Arkeologi, Universiti Ar Raniri, Aceh.
Salinan tersebut adalah sumber rujukan paling berguna untuk kajian lapangan (fieldwork) pada kunjungan akan datang. Apa yang amat berharga adalah isi kandungannya yang mencatatkan senarai nama beserta lokasi masjid-masjid tua, kompleks makam raja-raja, ulama dan tempat bersejarah di Wilayah Acheh. Syukur kepada Allah yang telah memudahkan urusan dan tugasan semasa menjalankan pilot survey pada kali ini. Semoga usaha menjejak khazanah Islam di bumi Serambi Mekah ini turut dipermudahkan laluannya pada misi Jejak Mihrab II kelak. Amin….
SENARAI NAMA MASJID-MASJID TUA DI PROVINSI ACHEH
Banda Aceh
Kecamatan Baiturrahman
1. Masjid Raya Baiturrahman
Kecamatan Kuta Alam
1. Masjid Tgk. Di Anjong
2. Masjid Kg. Jawa
Aceh Besar
Kecamatan Kuta Baru
1. Masjid Bung Cala
2. Masjid Lamrabo
Kecamatan Indrapuri
1. Masjid Indrapuri
Pidie
Kecamatan Pidie
1. Masjid Labui (Poteu Meurehom)
Kecamatan Meureudu
1. Masjid Beuracan
2. Masjid Madinah
Kecamatan Ulim
1. Masjid Tgk. Chik Di Ulim
Kecamatan Bandar Baru
1. Masjid Nyong/ Pustaka Kuno
Kecamatan Glumpang Tiga
1. Masjid Kreut Teupin
Aceh Timur
Kecamatan Peureulak
1. Masjid Kuta Tualang
Kecamatan Simpang Ulim
1. Masjid Kampung Blang
Aceh Barat
Kecamatan Jaya
1. Kompleks Makam Masjid Lamno
2. Masjid Lamno
3. Masjid Sabang
4. Masjid Sabang
5. Masjid Kuala Daya
Aceh Selatan
Kecamatan Meukek
1. Masjid Labuhan Tarok
2. Masjid Blang Kuala
3. Masjid Ie Dengen (Air Dingin)
Kluet Utara
1. Masjid Pulo Kameng (Pulau Kambing)
TAHAP PERKEMBANGAN MASJID-MASJID TUA DI PROVINSI ACHEH
Pemerhatian semasa menjalankan tinjauan ke lokasi masjid-masjid tua di sekitar Banda Aceh, Aceh Besar, Sigli dan Pidie mendapati bahawa usaha menjalankan kajian ke atas mihrab masjid-masjid tua perlu dilakukan dengan segera. Hal demikian didasari oleh beberapa tahap perkembangan yang sedang dilalui masjid-masjid tua di provinsi Acheh iaitu:
1. Masjid tua yang masih utuh berdiri dan berfungsi sebagai tempat ibadat.
2. Masjid tua yang masih utuh berdiri tetapi didirikan bangunan masjid baru dengan duplikasi nama serupa dan didirikan di tapak tidak jauh dari lokasi asal.
3. Masjid tua yang kelihatan terbiar, tidak diuruskan dengan sempurna dan tidak lagi berfungsi sebagai tempat ibadat.
4. Masjid tua yang telah dan sedang dibuat penambahan sebagai usaha memperluaskan ruang dalaman bagi tujuan menampung jumlah jemaah.
5. Masjid tua yang dijalankan kerja renovasi bahagian dalaman dan luarannya bagi tujuan baikpulih struktur binaannya.
6. Masjid tua yang diruntuhkan dan didirikan dengan bangunan masjid baru.
Kajian ilmiah ini hanya sekadar mengangkat dan memperkenalkan keberadaan mihrab masjid-masjid tua di provinsi Aceh. Justeru, landasan kukuh yang mendasari penelitian ini adalah untuk memaparkan konsep estetik dan pengaruh yang teradun dalam subjek kajian yang pernah menjadi bukti awal bertapak dan tersebarnya agama Islam di rantau ini. Hujah ini sejajar dengan hasrat Abdul Baqir Zein (1999) yang menurutnya, “…semoga usaha ini akan ada yang melanjutkannya secara serius dalam upaya melestarikan budaya bangsa ini kepada generasi mendatang.” Sekiranya usaha mendokumentasikan mihrab ini tidak dilakukan dengan segera, maka dikhuatiri peninggalan tamadun Islam ini akan luput ditelan zaman.






















