RSS
 

Archive for the ‘Hebahan’ Category

HIKMAH Beralih Arah

03 Nov

 

Assalamualaikum…

Dalam catatan sebelum ini, saya ada berkongsi info tentang program Wacana HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman). Perbincangan di meja rundingan (tanggal 29 Oktober 2012) yang pada mulanya mencapai permuafakatan di akhirnya mengalami perubahan. Lokasi wacana di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu beralih arah ke Yayasan Restu. Lokasi ini berada di bawah bumbung Kompleks Taman Seni Islam Selangor yang terletak di Jalan Persiaran Damai, Seksyen 10 Shah Alam (Bersebelahan dengan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah).

InshaAllah, saya akan hadir sebagai salah seorang pembentang makalah. Tajuk pembentangan terkait tentang aspek ragam hias gunungan mihrab dan mimbar di Alam Melayu. Tanpa perlu menyusun struktur ayat yang berjela-jela, maka setakat ini sahaja catatan saya. Info lanjut tentang wacana keilmuan buat perkongsian, sila ke pautan > 

http://hikmahmelayu.blogspot.com/2012/11/suai-kenal-hikmah-mendapat-restu-dari.html

 
No Comments

Posted in Hebahan

 

WACANA ILMIAH “HIKMAH” (4 NOVEMBER 2012)

30 Oct

 

Tarikh : 29 Oktober 2012
Lokasi : Akademi Pengajian Melayu

 

Perbincangan di meja rundingan akhirnya mencapai kesepakatan
 

Sekitar jam 11.00 pagi, tanggal 29 Oktober 2012 (semalam), saya dan beberapa teman seperjuangan telah diundang oleh Penaung HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) menghadiri sidang mesyuarat di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pengarah Prof. Madya Dr. Zahir Ahmad yang hadir bersama Timbalan Pengarah Ijazah Dasar iaitu Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hasan. Turut hadir beberapa peneraju kumpulan NGO Selangor yang tiba kemudiannya.

Saya difahamkan Prof. Madya Dr. Zahir Ahmad akan berangkat menghadiri kursus selama seminggu di negara China. Justeru, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hasan akan memangku jawatan dan mewakili Pengarah Akademi Pengajian Melayu pada program Wacana HIKMAH yang akan berlangsung 4 November 2012 (Ahad) depan. 

Secara jujurnya, saya amat berbesar hati apabila dapat turut serta sebagai pembentang makalah dalam program yang dianjurkan HIKMAH. Untuk menyertai sesi pembentangan, para pembentang tidak dikenakan sebarang bayaran. Hal ini berbeza dengan sesi pembentangan dianjurkan oleh mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi (IPTS) yang mewajibkan para pembentang membuat bayaran pendaftaran. Bagi mereka yang sering menghadiri seminar atau persidangan di dalam atau di luar negara pasti sedia maklum bahawa bayaran pendaftaran untuk seorang pembentang sahaja sekitar RM250 hingga RM450. Justeru, secara peribadinya saya melihat bahawa program anjuran HIKMAH ini adalah peluang keemasan yang menawarkan saya dan teman seperjuangan berkongsi ilmu di medan perbincangan tanpa perlu membuat sebarang bayaran. 

Berbalik semula kepada pengisian perbincangan di meja diskusi yang dihadiri~

Kehadiran Penaung HIKMAH (Saudara Radzi Sapiee) diiringi ahli yang lain dilayani penuh mesra oleh Pengarah APM iaitu Prof. Madya Dr. Zahir Ahmad, Timbalan Pengarah Ijazah Dasar iaitu Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hasan dan kakitangan jabatan. Malah, pihak tuan rumah turut menyediakan juadah sarapan yang secara tidak langsung mencerminkan betapa kunjungan tetamu HIKMAH sememangnya dinantikan. Medan diskusi bukan sahaja dijalankan di tempat yang amat selesa, malah turut dilaksanakan secara terancang apabila pihak tuan rumah turut memikirkan penyediaan juadah. Sesetengah pihak mungkin menganggap remeh layanan sebegini, namun dari kaca mata saya secara peribadinya, inilah adab yang seharusnya menjadi suri teladan bagi orang Melayu~ Layanan selaku tuan rumah kepada tetamu.

Diringkaskan catatan setelah meleret-leret membuat laporan santai hasil perbincangan. Hasil perbincangan di akhirnya menetapkan program akan berlangsung seperti butiran berikut:

 

Tarikh
4 November 2012 (Ahad)

Masa
9.00 pagi hingga 5.30 petang

Lokasi
Dewan Semarak
Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya, Kuala Lumpur

 

 
No Comments

Posted in Hebahan

 

Persidangan Serantau Kearifan Tempatan 2012

26 Sep


 

Sekadar perkongsian maklumat dalam catatan serba ringkas…

InshaAllah pada 15-16 Oktober 2012, saya bakal membentang makalah bertajuk
Ragam Hias Gunungan Mimbar di Tanah Melayu (1700 – 1900)
Bagi pencinta sejarah, seni dan budaya, kehadiran kalian  dialu-alukan
bagi mewarnai acara  seperti tertera pada butiran paparan

 

Info lanjut sila ke pautan http://rclk.usm.my/

 
No Comments

Posted in Hebahan

 

Azam Baru Satu/Satu/Dua Kosong Satu Satu

31 Dec

 

Azam Baru 2011 Masihi
Berkuatkuasa 1 Januari
 

 

Hari
25 hari setiap bulan… sepanjang 12 bulan
 

Masa
Selagi mampu bertahan


Lokasi
Meja perpustakaan
 

 
 Tujuan
Cari bahan rujukan
 
 
Ingatan
Ini adalah tahun akhir pengajian…
Justeru, beri 100% tumpuan!

  

* InshaAllah akujanji ini bakal dilaksanakan… = )

 
2 Comments

Posted in Hebahan

 

Sumbangan Amal Rumah Kebajikan Dayah Nurul Huda

25 Sep
 
 
Kebetulan hari ini saya terfikir untuk membuat hebahan tentang sumbangan amal di dalam sanggar ini. Justeru, pada catatan kali ini saya kongsikan paparan foto kunjungan ke rumah anak-anak yatim dan fakir miskin Dayah Nurul Huda dalam 3 siri tinjauan terdahulu. Dayah Nurul Huda ini terletak di desa Ajee Cut, Ingin Jaya, Aceh Besar. Sesi ziarah sambil beramal ini adalah agenda peribadi. Walaupun ianya program sampingan yang tiada dalam jadual kajian, namun rumah kebajikan ini adalah lokasi pertama kunjungan sebaik menjejakkan kaki ke lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh.
 
Pada 3 tinjauan terdahulu (Jun 2009, September 2009 dan April 2010), saya hanya menghebahkan secara lisan kepada waris terdekat dan sahabat handai yang ingin menghulurkan sumbangan peribadi. Alhamdulillah, ada individu dermawan yang sudi menghulurkan sumbangan. Hasil kutipan kewangan yang diterima terus disampaikan ke tangan Tgk. Darmansyah Daud selaku pucuk pimpinan Dayah Nurul Huda. Tiada limitasi dalam menetapkan jumlah sumbangan. Sama ada banyak atau sedikit apa yang penting adalah pemberian seikhlas hati sebagai tanda simpati. 
 
InshaAllah, pada pertengahan atau selewat-lewatnya penghujung November hadapan saya akan terbang ke wilayah Acheh buat kali ke-4 bagi melengkapkan pengumpulan data di lapangan. Justeru, saya amat mengalu-alukan sumbangan amal seikhlas hati daripada mana-mana pihak atau individu yang berhajat menghulurkan sumbangan kewangan bagi disalurkan kepada rumah kebajikan Dayah Nurul Huda ini. Sumbangan berbentuk barangan bukan tidak diterima sebaliknya agak sukar untuk diuruskan kerana saya sendiri telah melalui pengalaman berhadapan kekangan pada 2 daripada 3 siri tinjauan terdahulu. Berat muatan barangan  kiriman (pakaian khususnya) yang dibawa sahaja mencecah ratusan ringgit nilai timbangannya.
 
Hanya kapsyen ringkas yang tertera di bawah foto paparan dalam catatan pada kali ini. Info lanjut, silalah jengah ke sanggar yang akan saya highlightkan dengan warna merah di bawah nanti . Mudah-mudahan kisah yang saya sifatkan ‘terkesan di lubuk hati’ dalam laman http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/04/27/1894/ akan  menerbitkan keinsafan diri khalayak yang menghayati.

Dayah Nurul Huda

 

Bangunan Dayah Nurul Huda

  

 

SIRI KUNJUNGAN PER-1 (JUN 2009)

  

Foto 1: Siri Kunjungan Per-1

 

Foto 2: Siri Kunjungan Per-1

  

 

SIRI KUNJUNGAN KE-2 (SEPT. 2009)

 

Foto 1: Siri Kunjungan Ke-2

 

Foto 2: Siri Kunjungan Ke-2

  

 

SIRI KUNJUNGAN KE-3 (APRIL 2010)

 

Foto 1: Siri Kunjungan Ke-3

 

Foto 2: Siri Kunjungan Ke-3

 

Bagi mana-mana pihak atau individu yang berhajat memberi sumbangan mohon jasa baik untuk menghubungi talian 019-6972567  atau sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun 12-038-02-328220-1 (Bank Islam). 100% daripada hasil kutipan akan disalurkan terus ke tangan pucuk pimpinan Dayah Nurul Huda iaitu Tgk. Darmansyah Daud dalam siri kunjungan ke-4 akan datang. Mudah-mudahan sumbangan seikhlas hati daripada pihak saudara/saudari dapat meringankan beban saudara seagama kita di sana. Semoga ianya akan menjadi saham berkekalan sebagai bekalan menuju alam akhirat.

 
1 Comment

Posted in Hebahan