RSS
 

Hari ke-4: Menjejak Dua Buah Mimbar Tua

13 May

Tarikh : 24 Disember 2011
Lokasi : Bireuen – Pidie – Sigli -  Tanoh Abee – Banda Aceh

Setelah sekian lama menyepi, kini saya muncul kembali di laman sanggar ini. Catatan kali ini akan memaparkan siri perjalanan hari ke-4 (sambungan catatan sebelumnya). Banyak lagi foto rakaman yang terperap dalam album perjalanan. Kesibukan menyempurnakan bab akhir penulisan ilmiah selain persediaan dalam sesi pembentangan Road Map  for Art Education Through Asian Perspective yang akan berlangsung sekitar Jun depan di UNNES, Jawa Tengah menjadi kekangan untuk saya berkongsi rentetan perjalanan. Kini, tibalah masanya untuk saya menampilkan catatan yang tertunda sekian lama. Mujur ada catatan harian (diari peribadi) yang dapat dijadikan rujukan yang bertindak sebagai pengkalan data untuk mengenalpasti semula aktiviti yang telah dilalui mengikut turutan. Sejumlah foto yang dirakam juga umpama sistem merekod maklumat kerana terkandung info seperti tarikh, masa dan lokasi foto dirakamkan semasa berada di lapangan.


Dari Takengon (bahagian tengah Acheh), saya dan keluarga bermalam di Penginapan Djarwal di Bireuen. Sebaik melangkahkan kaki untuk memulakan perjalanan hari ke-4, saya baru menyedari bahawa terdapat info tertera pada banner yang digantung pada kepala pintu yang mencatatkan bahawa Bireuen dikenal sebagai Kota Juang di Acheh.

Singgah di kedai gambar untuk mencuci sekeping foto sebagai buah tangan kepada Pak Yasin (Bilal Masjid Raya Labui di Sigli).

Seperti biasa, setiap siri perjalanan akan dipaparkan dengan terapi pandangan kehijauan alam yang tidak jemu dipandang.

Kunjungan pertama menuju ke lokasi masjid tinjauan iaitu Masjid Poteumeureuhom yang terletak di kemukiman Busu, Mutiara. Lokasi masjid ini dimaklumkan oleh seorang kenalan dari Acheh iaitu saudara Ajier Campees.

Saudara Mamuddin selaku bilal Masjid Poteumeureuhom berdiri di sisi mimbar kajian. Bilal muda berusia 20 tahun ini baru sahaja tiba di masjid ini sekembali dari bendang.

Saya agak teruja apabila diperlihatkan dengan kesan bekas tapak kaki Poteumereuhom di dalam ruang solat. Pada awalnya, saya tertanya-tanya siapakah Poteumeureuhom? Adakah gelaran tersebut diberikan kepada kerabat kesultanan Acheh yang pernah memegang tampuk pemerintahan atau gelar tersebut merujuk kepada Sultan Iskandar Muda. Persoalan ini sempat saya ajukan kepada Pengarah Muzium Acheh dan beliau memaklumkan bahawa gelaran Poteumeureuhom yang sebenarnya merujuk kepada Sultan Iskandar Muda. Di dalam masjid ini turut tersimpan khazanah lama iaitu manuskrip tulisan tangan yang dipercayai diperbuat sekitar 1600M.

Destinasi berikutnya adalah di Masjid Baitul Maaruf di Kandang. Keberadaan mimbar tua yang terdapat dalam ruang solat telah dimaklumkan oleh saudara Ajier Campees yang merupakan anak jati kampung ini. Lokasi masjid ini tidak jauh dari Masjid Poteumeureuhom yang dikunjungi sebelumnya.

Merakam foto kenangan bersama anak-anak yang menghadiri kelas agama di dalam kawasan masjid.

Dalam perjalanan pulang ke Banda Aceh, kenderaan kami berhenti di Masjid Raya Labui di Sigli. Ini adalah kali ke-4 saya singgah ke sini. Saya hadir ke mari untuk menyerahkan foto rakaman Pak Yasin yang pernah saya temui dalam siri tinjauan terdahulu. Sekadar ingin menyampaikan buah tangan berupa foto kenangan. Beliau tiada di ruang dalam atau di luar perkarangan masjid, namun dikhabarkan sedang menikmati minum petang di warung berdekatan.

Pak Yasin yang sedang bersantai agak terkejut melihat kedatangan saya ditemani ayahanda yang menurutinya sehingga ke warung berdekatan. Kami tidak pernah membuat temujanji melalui telefon apabila hadir ke sini, namun sudah rezeki bertemu. Beliau sering berada di masjid, justeru 3 daripada 4 kali kunjungan ke sini telah menemukan kami.

Lokasi terakhir adalah di Dayah Tanoh Abee, Aceh Besar. Hajat saya ke sini adalah untuk melihat lebih dekat mihrab tua di dayah ini. Kenderaan kami tiba pada waktu maghrib, justeru hajat untuk menjalankan penelitian ke atas subjek kajian perlu ditunda hari berikutnya.

Maklumat tentang Dayah Tanoh Abee…sila baca info tertera

~Catatan hari ke-5 bakal menyusul~

 

Hari Ke-3: Berlegar Sekitar Danau Laut Tawar

06 Mar

 

Tarikh : 23 Disember 2011
Lokasi : Danau Laut Tawar, Takengon 

 

Sambung catatan perjalanan hari ke-3…Saya dan keluarga bermalam di Wisma Intan malam sebelumnya. Lokasi penginapan terletak di atas bukit dan di sisi kanannya mengalir air sungai yang menjadi batas sempadan di antara Wisma Intan dengan Masjid Asir-Asir (lihat foto di bawah). 

 

Foto pemandangan dari arah Wisma Intan. Kelihatan kubah Masjid Asir-Asir dari kejauhan.

 

Perjalanan pagi ini berkeliling Danau Laut Tawar. Suasana hening di bendang dengan gunung-ganang melatari pandangan

 

Gerbang menuju ke Danau Laut Tawar

 

Dalam perjalanan singgah seketika merakam foto pemandangan gunung ganang yang dipayungi gumpalan awan

 

Angin bertiup, Awan berarak…Kisah menarik ingin saya kongsikan dengan khalayak, akan hadir musim awan berarak pada setiap tahun di Takengon. Pada musim inilah, spesis ikan dikenali sebagai ikan debik yang banyaknya sehingga boleh disauk. Jadi, kehadiran musim awan berarak umpama petanda musim ikan debik sudah tiba.

 

Cagar budaya Puteri Pukes (manusia jadi batu). Di sini terdapat sejumlah arca batuan yang dipahat pada dinding luar gua berupa anggota tubuh manusia seperti tangan, kaki, lidah dan sebagainya.

 

Gua Puteri Pukes…Tiada jurukunci semasa kami hadir ke sini, justeru hanya mengintai dari pintu berjeriji besi. Kelihatan binaan anak tangga yang diperbuat menuju ke bahagian bawah gua.

 

Batu pahatan berupa mulut dengan lidah terjelir dan kaki manusia di dinding luar gua. Penemuan objek cagar budaya ini membuatkan saya merasa agak janggal kerana ia menghadirkan suasana seperti berada di lokasi tapak candi.

 

Hampir 1 jam berlegar di sekeliling danau, terpandang kuda batu. Sebuah monumen prasasti pacuan kuda tradisional di Takengon.

 

Info yang tertera pada monumen…

 

2 pemuda berdayung menuju ke tengah danau. Barangkali ingin meninjau hasil tangkapan ikan pada jala atau pukat.

 

Seekor ulat sedang berehat dalam kelongsong…sesekali kepalanya tersembul seakan mengintai persekitaran.

 

Danau Laut Tawar bagai dipagari gunung-ganang. Sawah padi menghijau bak permaidani alam, luas terbentang sehingga ke kaki pergunungan.

 

Lokasi seterusnya adalah ke air terjun Mengaya

 

Terpesona dengan tompokan awan yang berarak di tengah banjaran

 

Air terjun dengan susunan batuan secara semulajadi bertingkat

 

Air terjun Mengaya

 

Buah kopi yang masih muda

 

Buah kopi yang sudah ranum ini, saiznya hanya sebesar guli. Tanah Takengon subur dengan tanaman padi dan buah kopi (termasuk kopi tahi musang atau lebih dikenali sebagai kopi luwak di wilayah Acheh). Harga secangkir (secawan) kopi mencecah RM18 dan ke atas.

 

Indahnya refleksi jalinan pergunungan pada permukaan danau

 

Tidak jemu mata memandang kehijauan, sebegitu jugalah tidak jemunya saya merakamkan keindahan alam melalui lensa kamera.

 

Petak-petak sawah

 

Kuda berkeliaran di jalanan…tidak pula saya terserempak dengan lembu sepanjang 2 hari berada di Takengon.

 

Indah, tenang & damai…3 patah perkataan untuk menggambarkan perasaan

 

Corak pada muka tebar layar mengundang perhatian. Motif Langkasuka yang sinonim dengan identiti ragamhias di Kelantan, Terengganu dan Patani ditemukan di bahagian Acheh Tengah.

 

Masa untuk pulang…hujan di sepanjang jalan menghadirkan perasaan bimbang. Kenderaan bertali arus bergerak perlahan sehingga akhirnya terpaksa akur untuk berhenti dek kejadian pokok tumbang dan tanah rebak di sana sini.

 

Agak lama juga kenderaan kami menanti sehinggalah laluan dibuka untuk meneruskan perjalanan menghala ke Pidie.

 

Laluan ini sedang dalam pembinaan. Justeru, aktiviti menarah tanah di bukit berdekatan menyebabkan air lumpur melimpah ke jalan semasa hujan.

 

Destinasi terakhir persinggahan adalah di Restoran Ser untuk menikmati makan malam…sesi isi perut sebelum menuju ke lokasi penginapan.

Sekian paparan catatan perjalanan hari ke-3 buat perkongsian. Bakal menyusul catatan berikutnya…

 

Hari Ke-2: Menuju Puncak Pantan Terong di Takengon

29 Feb

 

Tarikh : 22 Disember 2011
Lokasi : Takengon, Acheh Tengah 

 

Perjalanan hari ke-2 pun bermula…Dari arah lokasi penginapan Losmen Riza di Sigli, kenderaan kami bergerak menghala ke Takengon.

 

Suasana di bendang…melihat keindahan, hati jadi tenang

 

Tuai padi sumber rezeki

 

Tanam pinang rapat-rapat…biar senang nak kait nanti

 

Deretan kenderaan tersadai di bahu jalan dek menanti laluan ke arah Takengon dibuka bagi meneruskan perjalanan.

 

Seraga buah rambutan dibuat jualan…seikat saya beli untuk kudapan

 

Alhamdulillah, penantian kami hanya sementara…sekitar 15 minit kenderaan pun bergerak semula

 

Di hadapan kenderaan kelihatan sebuah pengangkutan bergerak perlahan. Kenderaan kami pula menunggu ruang di laluan yang agak lapang untuk memintas dari belakang.

 

Ayam penyet untuk juadah tengah hari…kami sebulat suara memesan menu yang sama

 

Suasana di pekan Takengon…jualan buah-buahan di sepanjang laluan

 

Buah durian berlonggokan…

 

Pemandangan yang mendamaikan…Binaan Masjid Tua Asir-Asir dari arah Wisma Intan

 

Kuda baka Belanda di Takengon…

 

Menuju puncak Pantan Terong…Menikmati panorama Danau Laut Tawar sambil menghirup udara segar

 

Binaan rumah adat khas Acheh di puncak Pantan Terong

 

Singgah menikmati makan malam di Samalero Cantino (bukan main glamor, nama ala-ala Mexico). Masing-masing memesan bakso.

 

Ayahanda nak merasa deghoyan Takengon…selesai makan kami semua pulang ke lokasi penginapan di Wisma Intan. 

Selesai catatan hari ke-2, bakal menyusul paparan kisah hari ke-3…

 

Hari Per-1: Pesawat Buat Hal dalam Perjalanan Tak Berjadual

21 Feb

Tarikh : 21 Disember 2012
Lokasi : K. Lumpur – Banda Aceh – Sigli 

Perkongsian catatan ini adalah paparan perjalanan hari per-1 dalam sanggar Jejak Mihrab Acheh: Siri 6.  Baru saya sedari bahawa genap 2 bulan foto ini terperap dalam “gobok” khas komputer riba. Kalaulah kepingan foto ini diibaratkan seperti kepingan roti, entah setebal mana la kulat yang bertempek di permukaannya. Sekadar berkias dalam tulisan untuk mengelakkan kebosanan…

 

Perjalanan kali ini saya sifatkan sebagai “serampang tak bermata” (kira macam main tembak-tembak tanpa peluru)…untung sabut timbul, untung batu tenggelam…tetapi kali ni nampaknya bagai tenggelam timbul! Perumpamaan ini bagi menggambarkan bahawa saya tidak sempat menyediakan sebarang jadual perjalanan sepertimana persediaan dalam 5 siri kunjungan terdahulu. Kira jadual kali ini saya susun dalam kepala ala-ala melengkapkan teka silangkata. Jujur saya katakan…jadual perjalanan kali ini agak santai. Hal demikian kerana saya membawa keluarga (termasuk seorang sepupu). Rancangan utama menuju ke Danau Laut Tawar di Takengon. Namun, lokasi tinjauan bagi menjejak mihrab dan mimbar tua tetap menjadi agenda selingan. Cagar budaya ini ibarat “santapan kegemaran”… Jika terjumpa, maka itulah “habuan” yang paling nikmat untuk ditelan. Jika hajat tak kesampaian, kelak kempunan! Mudah-mudahan ada jua penemuan subjek kajian di sepanjang perjalanan… 

 

Dah selesa menyandarkan kepala di kerusi pesawat, tiba-tiba dapat arahan turun semula. Maka berduyun-duyunlah penumpang bergegas menuju ke anak tangga. Seperti biasa, saya akan membiarkan penumpang lain menyerbu pintu pesawat sambil saya memerhatikan pelbagai aksi dan gelagat.

 

Diringkaskan cerita (untuk mempercepatkan proses menyempurnakan catatan), pesawat yang rosak semasa di darat tadi digantikan dengan pesawat kedua yang membawa kami semua terbang…sedor-sedor dah berada di atas awan.

 

Tang ni yang agak kurang selesa…sebab kami perlu berdiri lama. Sebaik tiba di sini, telah masuknya waktu solat maghrib (jam waktu Malaysia dengan Indonesia berbeza 1 jam…namun masuknya waktu solat lebih kurang sama- jam 6.37 petang di sana sudah masuk waktu maghrib). Rasa lenguh kepala lutut dek menanti lebih 30 minit lamanya. Sudahlah penerbangan ketika berangkat tertunda gara-gara enjin pesawat rosak. Kali ni pula perlu menunggu lama.  Sabo aja la…

 

Singgah dahulu ke salah sebuah kedai runcit dalam perjalanan ke Blang Bintang di Aceh Besar. Berhentinya kami di sini untuk membeli 10 kampit beras. Namun hanya 8 kampit sahaja yang ada sebelum saya borong semua (pesanan waris dari Malaysia yang meminta saya menyampaikan fidyah dan sedekah kepada anak-anak yatim dan fakir miskin). Saya dimaklumkan tentang beras yang semakin berkurangan. Dan ternyata benar, kerana hanya inilah satu-satunya kedai yang masih mempunyai stok  beras di sekitar Aceh Besar pada hari tersebut. 

 

Seperti siri perjalanan terdahulu, kunjungan pertama saya adalah menuju ke lokasi Dayah Nurul Huda (tempat berhimpunnya anak-anak yatim dan fakir miskin yang  mana penghuninya di antara 110-120 orang jumlahnya). Sebaik tiba, di dapati anak-anak di dayah Nurul Huda ini sedang menjalani kuliah agama selepas solat isyak.

 

Penghuni ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan (barangkali dikelompokkan mengikut usia).  Jika tidak salah,  penghuni lelaki dibahagikan kepada 4  kumpulan berdasarkan pemerhatian saya semasa kunjungan. Kumpulan ini berada di ruang solat lelaki.

 

Semua penghuni perempuan pula ditempatkan di ruang solat bersebelahan

 

Dari Dayah Nurul Huda, kenderaan sewaan meneruskan perjalanan ke Sigli. Dalam perjalanan, kami berhenti makan di warung ini.

 

Perut masing-masing dah berkeroncong…kami sepakat order bakso

 

Jika di Acheh, hari-hari makan bakso pun saya sanggup. Merata lokasi saya singgah pekena menu ni, semuanya tidak dapat menandingi kelazatan bakso di hadapan Hotel Sulthan.

 

Selesai menikmati juadah, saya menuju ke seberang jalan. Nak beli kartu punya pasal…

 

Inilah nombor pilihan (tak sempat nak pilih pun…). Mata saya sebenarnya lebih peka dengan simbol berbanding angka. Saya sebenarnya lebih tertarik dengan simbol hati dan huruf AS- singkatan bagi nama pena ‘Akal Sari’…

Saya tamatkan catatan hari per-1 di sini…sambungannya akan menyusul nanti. Entah esok, entah lusa, atau entah bila-bila. Bergantung kepada kesesuaian masa. Sekiranya tidak berserabut kepala, maka akan menyusul pula catatan hari ke-2).

 

Tinjauan Peribadi di Tapak Ekskavasi: Bekas Tapak Masjid atau Candi?

18 Feb


Perkongsian paparan dengan merujuk kembali catatan peribadi seperti tertera dalam diari. Akal Sari bukanlah seorang pakar arkeologi, namun kecenderungan terhadap senibina lama telah membawa langkah sepasang kaki ke sebuah tapak ekskavasi. Hadir tanpa dipaksa, malah dengan rela. Hadir bukan kerana tugasan yang diamanahkan, namun atas keinginan seorang insan yang inginkan kepastian dalam pencarian. Apakah binaan ini adalah masjid kuno seperti dakwaan sebilangan kecil peneliti budaya…sedangkan sebahagian besar yang lain menafikannya? Lalu, saya buka kembali catatan peribadi yang terakam kemas dalam lembaran diari. Saya kongsikan jua sebahagian foto rakaman beserta pandangan peribadi yang “terperap” lebih 2 tahun dalam “fail” komputer riba. 


Jadual Perjalanan (Kunjungan kali per-1) 

Tarikh     : 29 Ogos 2009
Hari        : Sabtu
Masa      : 3.15 petang
Lokasi    : Tapak Ekskavasi No. 23, Pengkalan Bujang

MASA

CATATAN

3.15 ptg  
  • Tiba di Muzium Arkeologi Lembah Bujang
  • Meminta khidmat bantuan daripada En Azhar bin Ahmad (Pengawal Keselamatan) untuk memberi penerangan tentang kedudukan lokasi tapak bekas candi.
3.40 ptg  
  • En. Atan bin Hashim (Pekerja Am) dengan sukarela membawa peneliti ke lokasi tinjauan yang terletak kira-kira 7 km dari Muzium Arkeologi.
4.00 ptg 
  • Tiba di lokasi tapak bekas candi
  • Sewaktu tiba, tapak ekskavasi ditakungi air ekoran hujan lebat beberapa hari sebelumnya. Namun atas keinginan yang kuat, saya harungi jua takungan air di dalam binaan (kecenderungan mengatasi ketakutan…tidak terfikir tentang spesis berbisa yang mungkin muncul dengan tiba-tiba dari air takungan). Cabaran semasa menjalankan kerja-kerja di lapangan adalah pengalaman paling berharga…tiada galang gantinya. Jadi, redah sahaja situasi yang telah ditakdirkan untuk ditempuhi dengan menyerahkan segalanya kepada yang Esa…
    “Hasbunallah hu wanikmal wakil”
  • En. Md. Ali bin Mohamad selaku pengawal yang bertugas di tapak arkeologi dengan rela hati memberi kerjasama. Selain memberi kebenaran masuk ke tapak ekskavasi, dia turut ikut serta mengharung air. Kami masuk sehingga ke ruang tengah tapak tinjauan. Oleh hal demikian, dapatlah saya menentukan paras ketinggian sisa binaan lama tersebut.
  • Selain tapak ekskavasi bernombor 23 ini, terdapat 2 lagi bekas tapak candi berdekatan lokasi tinjauan.
  • Takungan air ekoran hujan lebat beberapa hari sebelumnya menyebabkan kerja-kerja mengukur tidak dapat dijalankan. Hanya sekadar membuat pemerhatian melihat bongkahan binaan yang timbul.
5.30 ptg
  • Bertolak pulang

 

Oleh kerana hajat yang tidak kesampaian untuk melihat tapak bernombor 23 yang didakwa sebagai bekas binaan masjid kuno (sekitar 800M), maka saya telah hadir buat kali ke-2 beberapa bulan kemudiannya:

Tarikh     : 06 Disember 2009
Hari        : Ahad
Masa      : 10.40 pagi – 12.00 tengah hari
Lokasi    : Tapak Ekskavasi No. 23, Pengkalan Bujang

 

Tapak ekskavasi no. 23 di Pengkalan Bujang

 

Perhatikan struktur binaan…terdapat 3 laluan untuk menuju ke ruang dalam binaan iaitu 2 pintu (di sisi kiri dan kanan) dan 1 pintu di hadapan (pintu utama: laluan masuk dari arah kanan foto rakaman).

 

Saya alihkan seketika pandangan anda ke sebuah binaan masjid tertua di Patani. Masjid ini sering disebut sebagai Masjid Kreesek, walhal nama asalnya adalah Masjid Sultan Muzaffar Shah (seperti tertera pada papan info di sisi kanan gerbang utama). Kunjungan pada tanggal 12 Mac 2010 ke binaan masjid ini adalah tinjauan peribadi. Hadirnya saya ke sini bukannya mencari perkaitannya dengan tapak ekskavasi no. 23. Alang-alang menjejak Masjid Wadi Al Husein di Teluk Manok, lajakkan pula kaki ke masjid tanpa kubah ini (asalnya berkubah indah). Jejak mengikut gerak hati rupanya mewujudkan perkaitan dan bertali-temali di antara kunjungan terdahulu, kini (saat menaip catatan ini) dan akan datang…barangkali. Mari kita buat perbandingan, apa perkaitannya foto di atas dengan paparan foto binaan Masjid Kreesek ini? Lihatlah persamaan binaan tapak ekskavasi no. 23 dengan binaan masjid ini yang turut mempunyai 3 pintu iaitu 2 pintu (di sisi kiri dan kanan) serta 1 pintu utama di hadapan yang bertentangan dengan ruang mihrab). Jarak usia di antara kedua binaan memang jauh jurangnya untuk dibuat perbandingan, namun adakah wujud kemungkinan kedua binaan (masjid kuno Pengkalan Bujang dan Masjid Kreesek) ini berkongsi gaya senibina hasil pengaruh  dari mana-mana tamadun lain di dunia? Bagi anda yang mengkhusus penelitian bidang senibina pasti ada jawapannya. Saya yang amat dangkal dek baru meneroka bidang ini, amat mengalu-alukan perkongsian info yang pasti memberi input bermakna.

 

Ini pula adalah bahagian belakang mihrab Masjid Kreesek (dari arah luar binaan). Setelah melihat kepada 2 foto paparan, kita kembali semula kepada isu awal perbincangan…bicara tentang tapak ekskavasi no. 23 tadi.

 

Ruang seakan serambi di kedua sisi (kiri dan kanan) serta hadapan binaan

 

Ruang mihrab (paling hadapan) manakala di tengah binaan pula terdapat timbunan batu bata. Timbunannya kelihatan cembung. Telahan saya ianya seakan runtuhan bahagian atas binaan. Saya juga tertanya-tanya adakah ianya sebuah kubah dengan rekabentuk yang tidak ketara lengkungannya? Jika masjid biasa dominan dengan kubah berbentuk semi bulatannya, tetapi bentuk yang ini agak berlainan pula. Oleh kerana saya bukan seorang pakar arkeologi, maka timbul pelbagai pertanyaan bersifat telahan secara bermonolog dalaman. Ibarat seorang nelayan darat yang sering mendapat ikan jenis keli dan haruan, tiba-tiba diajak teman memancing di tengah lautan…lalu dapat ikan marlin biru. Mau tak teruja berdepan spesis ikan berharga nilainya! Andai bukan rezeki tangkapan, dapat berfoto kenangan dengan tangkapan milik rakan pun jadi la. Ini hanya perumpamaan atau ibarat betapa terujanya saya hadir dengan tujuan melihat lebih dekat lagi binaan kuno di tanah air sendiri. Jika telahan saya tersasar pun, sekurang-kurangnya saya telah hadir sebagai pemerhati daripada sekadar mendengar pertuturan secara lisan yang dikongsikan. Melihat sendiri dengan harapan dapat menilai dengan persepsi sendiri dan kemudiannya berkongsi foto dan catatan di sini. Hmm…dari darat membawa ke laut, dah macam melalut. Berbalik semula kepada tapak ekskavasi…

 

Timbunan dengan bentuk sedikit melengkung dapat diperhatikan dari sudut ini

 

Penemuan kaki tiang di penjuru timbunan yang menurut pandangan saya adalah tapak yang menjadi penyangga kepada 4 tiang kubah.

 

Perhatikan pula ruang hadapan…seakan lengkungan mihrab dengan penemuan 2 tapak tiang (batu bulat berlubang di tengahnya pada sisi kiri dan kanan binaan). Ruang sebegini mengingatkan saya terhadap rekabentuk ruang mihrab pada tapak rumah Rasulullah (lihat foto berikutnya).

 

Inilah foto yang saya maksudkan. Foto ini saya rakamkan dari sebuah teks rujukan ketika menjalankan kajian literatur di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM  Bangi sekitar tahun 2009.
Foto kiri: Ruang mihrab di tapak rumah Rasulullah
Foto kanan: Ruang tempat solat Rasulullah dengan mihrab yang menghadap ke arah kiblat
(Melalui perkongsian foto ini, anda pasti dapat membuat perkaitan dengan foto sebelumnya)

 

Batu bata ruang mihrab yang disusun secara melengkung

 

Kita lihat lebih dekat lagi susunan batu binaan

 

Bahagian belakang binaan mihrab

 

Catatan ini jika anda sedari, seolah-olah telah mengikat pendirian saya agar menyakini bahawa pernah berdirinya sebuah masjid di tapak ini. Memang pada awalnya saya membuat telahan berdasarkan pemerhatian di lokasi tinjauan. Namun, disebabkan ingin mendapat jawapan yang pasti, lalu saya telah melakukan solat istikharah agar Allah memberi petunjuk atas persoalan…agar saya tidak tersasar membuat telahan. Persoalannya, adakah ianya binaan masjid kuno atau candi? Apa yang diperlihatkan di alam mimpi memberi petanda bahawa di tapak ini pernah berdiri sebuah masjid. Timbunan di tengah pula adalah runtuhan bahagian puncak yang memayungi binaan.

Terbayang-bayang masjid indah berkubah emas yang menjadi episod akhir dalam mimpi (istikharah)…seakan memberi gambaran betapa gemilangnya Pengkalan Bujang suatu masa dahulu. Hal ini pernah dinyatakan oleh I-Tsing,  seorang pelayar Cina dalam catatannya yang menggambarkan pengkalan Bujang sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan yang teragung di rantau ini terutamanya semasa zaman kerajaan Srivijaya.

Bukti lain yang dapat menyokong kenyataan ini apabila tidak ditemukan sebarang patung penyembahan yang dapat mengaitkkan tapak ekskavasi ini dengan agama Hindu/ Buddha. Yang dijumpai adalah serpihan kaca dari Asia Barat semasa kerja-kerja carigali dijalankan. Malah fakta penemuan  mata wang logam buatan Arab tahun 848M di Kedah (James Bennet, 2006) memperlihatkan wujudnya jaringan ekonomi di antara pedagang-pedagang Arab sekitar kurun ke-9 di perairan tersebut.

Saya akhiri catatan setakat ini…catatan secara santai buat perkongsian tetamu di sanggar yang sekian lama sepi. Masa untuk menuju ke labuhan mimpi. Bertemu lagi di lain siri.

Wassalam =)